Showing posts with label Al-Kisah. Show all posts
Showing posts with label Al-Kisah. Show all posts

Wednesday, 7 May 2014

Baca, Fikir dan Faham (BFF): TAKSUB YANG MEMBENTUK ASOBIYYAH - TIDAK NABI AKUI SEBAGAI UMATNYA



Umat Islam adalah Umat nabi Muhammad SAW, nama dan sifat yang kita akui penyaksiannya dalam syahadah kita. Apabila baginda tidak mengakui kita sebagai ummat, itu bermakna tertolaklah syahadah kita. Asobiyyah adalah salah satu sifat atau tabiat yang membuatkan status kita selaku ummat Nabi Muhammad SAW tertolak.

Manusia adalah makhluk bersifat baharu dan penuh dengan kesilapan. Mengagungkan pemimpin atau kelompok sendiri secara keterlaluan adalah 'taksub' kepada makhluk. Ketaksuban ini membentuk tabiat 'asobiyyah' yang akan menjadikan keislaman kita tertolak. Ini kerana ketaksuban kepada makhluk yang lemah akan membuatkan kita mudah tersasar dengan menolak kebenaran dan membenarkan kebatilan.

PERUMPAMAAN MUSLIMAH YANG IKUT BERDEMO SEBAGAI PELACUR AMAT KETERLALUAN

Ya, memang kami dengan jelas ada nukilkan pendapat kami dalam rencana mengenai demontrasi membantah GST baru-baru ini bahawa kami tidak setuju dengan wanita dan kanak-kanak yang ikut keluar berdemo. Namun ulasan mengumpamakan mereka sebagai pelacur, yang keluar dari mulut seorang yang digelar ‘ustaz’ benar-benar menggetarkan hati kita. Ia amat keterlaluan. Alangkah beratnya tuduhan itu.

Islam adalah agama ilmu dan nasihat yang penuh toleransi dan perdamaian. Tidak semua pemikiran dan tindak tanduk kita, pemimpin maupun kelompok kita sentiasa benar dan betul kerana kita adalah manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan. Kerana itu tindakan menyokong atau membangkang secara membabi buta melalui pelbagai tindakan dan ulasan adalah satu ketaksuban yang akan membuatkan kita bersikap asobiyyah yang tertolak keIslamannya.

Sifat taksub ini membuatkan mata hati dan fikiran waras kita tertutup. Itulah yang menjadikan kita tidak nampak atau buat-buat tidak nampak akan kebenaran kelompok lain dan kesilapan kelompok kita. Di situlah berjayanya Dajjal yang membuatkan kita melihat kebenaran dengan sebelah mata lalu menolaknya.

Ketaksuban juga akan membuatkan kita menutup sebelah mata untuk menerima bulat-bulat segala kebatilan yang ada pada kelompok kita. Ini membuatkan kita bersifat TOGHO, iaitu melampaui batas dan susah menerima nasihat. Di situlah hilangnya keadilan dalam pertimbangan. Inilah juga antara ciri yang membuatkan assobiyyah itu tertolak Islamnya, kerana Islam itu agama yang 'adil dan tidak melampui batas'.

Melalui sifat taksub dan ciri asobiyyah ini turut terhimpunnya rasa kebencian yang meluap-luap terhadap kelompok lain dan menyemarakkan lagi pecah belah. Hal ini turut menolak keislaman kita kerana Islam itu agama penyatuan. AN AQIMUDDINA WALA TATAFARRAQUFIH – "Tegakkanlah Dien dan janganlah berfirqah firqah tentangnya".




WASATIYYAH SERTA BIJAKSANALAH DALAM BERDAKWAH DAN BERPOLITIK

Islam itu agama yang mengamalkan kesederhanaan (WASATIYYAH). Berlebih-lebihan dalam agama itu tabiat syaitan. Ia jelas dinukilkan dalam alquran dan kita semua sudah sedia tahu. Hari-hari kita dengar seruan untuk bersederhana dan jangan keterlaluan (ekstrim). Ketaksuban kepada makhluk akan membuatkan kita sering kecundang dan tersasar kerana sifat manusia itu adalah lemah dan terdedah kepada khilaf.

Malangnya kita juga memerhatikan banyak pihak yang melakukan seruan WASATIYYAH itu turut melakukan tabiat yang sama. Kita tidak bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang kita kata. Samada kita ini seperti burung tiung atau orang gila dan mabuk yang tidak benar-benar memahami apa yang kita kata, atau seperti thoghut yang suka melanggar perintah dan larangan Allah dengan sengaja. Inilah yang membuatkan Allah, para malaikat dan manusia yang melihat gelagat kita jadi semakin membenci.

Surah As-Saff, AYAT 2-3:
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? 'Amat besar' kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

Ketaksuban kita seharusnya tertumpu kepada Allah dan dibuktikan melalui kepatuhan kita kepada tuntutan wahyuNya. Inilah yang dijamin benar dan akan menghasilkan kesejahteraan dalam hidup kita. Kesejahteraan hasil perlaksanaan itulah hakikat ISLAM yang sebenarnya. Jika kesejahteraan itu tidak terhasil, maka mari muhasabah mencari di mana TIDAK ISLAMNYA KITA.

KESIMPULAN

Selagi kita hanyut dengan 'umpan' sistem demokrasi tajaan Dajjal ini, selagi itulah kita tidak akan bersatu. Kebebasan bersuara telah menghapus kedaulatan agama melalui sistem kepimpinan negara. Selagi itu jugalah kita akan bersifat melampau dan taksub. Rasa kebencian semakin meluap-luap dan itu amat membuatkan hidup kita sengsara laksana neraka. Kasih sayang dan nikmat kesejahteraan hidup bersaudara tidak akan kita nikmati sampai bila-bila. Itulah kesan besar dari taksub dan asobiyyah yang dikatakan tertolak Islam (kesejahteraan)nya.

Kami suka jika para ustaz sentiasa bersifat neutral dan tidak keterlaluan dalam menegur masyarakat dan pemimpin. Yang betul kita katakan betul yang salah tetap salah biar pada kelompok mana sekalipun. Meletak misal ‘pelacur’ kepada muslimah yang tersilap menyertai demontrasi adalah amat keterlaluan dan melukakan hati banyak pihak. Bersederhanalah, bijaksanalah dalam berdakwah.

Islam itu agama ilmu dan nasihat. Nasihatilah dengan ilmu, bukan dengan nafsu. Toleransi dan perdamaian serta kesabaran dalam menasihati dan menyeru manusia adalah kunci kepada kejayaannya. Apabila nasihat yang benar dapat disampaikan dengan sabar dan mampu diterima, insyaAllah pembaikan (ISLAH) akan terhasil jua. Itulah hakikat AMAL SOLEH yang Allah mahukan.

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal SOLEH. Dan ingat mengingati dengan kebenaran. Ingat mengingati dengan kesabaran.” (SURAH AL-ASR)

Seteruk perangai jahiliayah itu telah dapat Rasulullah SAW didik dan Islamkan dalam masa 23 tahun sahaja. Semakin hari masyarakat menjadi semakin baik (ISLAH). Itulah tanda amal SOLEH dari usaha baginda SAW dan para sahabat R.A. Semua 'manual' pengurusan yang penuh strategi dalam pembentukan serta pengurusan negara dan umat itu telah diwariskan kepada kita melalui kitab dan sunnah baginda.

Sudah berapa lama kita merdeka dan mengurus negara ini? adakah kita di sini, bahkan Islam di seluruh dunia menjadi semakin teruk atau semakin baik? anda tahu jawapannya negetif. Apakah sebabnya? Adakah kerana ilmu, isi dan cara nasihat kita itu masih belum betul-betul BENAR? Atau kita sebenarnya tidak SABAR? Sudahkah kita berbuat kerana Allah, dengan sistem Allah? atau kerana kepentingan peribadi dan dengan menurut hawa nafsu sendiri?

Kita tahu ada 1001 macam kelamahan dan kekurangan pada YAB PM, isterinya dan partinya. Kita (mungkin hanya sebahagian sahaja yang buka mata) juga tahu banyak kesilapan dan kelemahan DSAI, TGNA, TGHA dan lain-lain serta parti mereka, kerana mereka juga manusia biasa dan tidak terlepas dari khilaf belaka.

Dengan hanya semata-mata mahu meraih simpati, lalu kita tunduk akur dengan membiarkan anak dan isteri DSAI terjerumus dalam konflik politik ini. Kita sanggup lihat rumah tangga mereka porak peranda. Sebenarnya kita yang faham akan batas seorang wanita sedang menipu diri sendiri. Wanita itu memerlukan perlindungan, perlu dipimpin, bukan memimpin. Allah tetapkan lelaki pemimpin kepada wanita (QS;4:34) bukan sebaliknya. Oleh kerana itu,

1. Kami ingin semua pemimpin lelaki yang hebat di negara ini bersatu dan disatukan untuk memimpin kita dengan bersatu hati dan berkasih sayang.

2. Kami ingin melihat TGNA nikmati sisa usianya dengan melihat hudud terlaksana dengan baiknya, bermanfaat kepada umat Islam dan juga bukan Islam sepertimana berjayanya PIAGAM MADINAH.

3. Kami seru agar DSAI dimaafkan dan tidak dipenjarakan. Hidup ini tidaklah lama pun. Berilah peluang dia menikmati sisa usia bersama keluarganya. Sementara itu kami juga seru DSAI agar berhenti merasuk rakyat dari perjuangan yang bersifat ananiah yang emosional. Janganlah ikuti nafsu dengan ingin meletakkan diri menggantikan tahta pemimpin yang ingin ditumbangkan. Itu bukan sunnah Rasulullah SAW. Baginda tidak gantikan Abu Sufian dan ketua negara lain yang menerima Islam. Jika kita ikhlas, jadilah orang bijak yang memberi nasihat tanpa mengejar pangkat dan harta. InsyaAllah nasihat kita akan mudah didengar. Kami harapkan, agar kerajaan ambil DSAI jadi penasihat atau berkerjasama dengan YAB PM dalam kabinet. WIN WIN SITUATION.

4. Kami kagumi kebijaksanaan Y.Bhg Tun Mahathir. Alangkah baik jika beliau dijadikan penasihat kepada kita di hujung usia beliau. Kita dengar nasihat beliau selagi tidak bercanggah dengan agama. Beliau juga manusia biasa. Jika beliau tersilap dalam isu yang bukan bidangnya, mari kita yang tahu pula nasihati beliau dengan ilmu dan penuh hormat. Hentikanlah caci maki kepada warga emas ini di hujung usianya.

5. Kami nampak kebijaksanaan YAB PM dan ketelusannya untuk menyelamatkan dan membangun negara. Tidak habis-habis beliau temui rakyat melalui pertemuan teh tariknya untuk mencari idea dan saranan bernas. Namun sebagai manusia, beliau juga banyak silap. Alangkah baiknya jika kita ada wadah yang berakhlak sebagai saluran untuk menasihati beliau.

6.Terlalu berat juga cercaan terhadap isteri YAB PM. Ya beliau juga manusia biasa yang banyak silap dan memerlukan nasihat berbentuk seruan murni. Kami seru dan berdoa agar kita sabar untuk terus menasihati DS ROSMAH dengan penuh kasih sayang, agar beliau berubah menjadi wanita, ‘muslimah contoh’ yang terbaik, agar layak dijadikan ikon wanita di negara ini. YAB PM akan jadi lebih hebat dan bersemangat dengan perubahan isterinya dan dengan sokongan padu kita semua InsyaAllah.

7. Islam tidak boleh lari dari Sultan dan Raja. Itulah isi Fatihah pembukaan quran yang kita baca 17 kali sehari. Itu juga isi Surah An-Nas surah terakhir penutup Mushaf quran yang kita baca selepas mesyuarat. Kami sedih bila banyaknya pemegang institusi Raja sudah tidak lagi senonoh akhlaknya dan menjadi cercaan rakyat dan pemimpin negara di sini sana sepanjang masa. Mari kita tarik nafas dan cari di mana silapnya.

8. Kami simpati dengan kerja keras TGHA, TG Harun Din, Dr Hasan Ali, Ismail Kamus, Dr MAZA dan banyak lagi tokoh agama negara kita. Kami harap mereka ini segera diberi peluang untuk membentuk jemaah orang alim, Majlis Ulamak yang bersatu padu dan tulus buat menunjang usaha menerapkan Islam yang sebenar di negara ini.

Kami yakin, majlis ulamak yang bersifat LILLAH BILLAH akan mampu mengawal keadaan, menasihati mana yang perlu dinasihati, mendidik mana yang perlu dididik, melantik yang perlu dilantik dan menukar yang perlu ditukar (TERMASUK DI KALANGAN RAJA).

Hentikanlah adu domba, caci maki yang banyak sekali membazirkan dana negara dan keringat rakyat. Jika ketaksuban masyarakat asobiyyah dan kempen partisan yang berterusan ini dapat dihentikan, kita akan dapat menjimatkan banyak belanja, masa dan tenaga. InsyaAllah penjimatan yang ditambah dengan pemberhentikan KETIRISAN pengurusan dana negara ini akan menjadikan ekonomi dan politik Malaysia akan teguh dan stabil semula. Mungkin GST pun kita tidak perlukan lagi.

Kudap petang
WARGA PRIHATIN

P/S:

Kami kepilkan semula firman berikut untuk renungan bersama:

"Serulah kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk".(SURAH 16. An Nahl 125)

"Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan".(SURAH 10. Yunus 36).

"Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu. Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu."(SURAH 4. An Nisaa' 86)

"Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar."(SURAH 16. An Nahl 126)

"Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik. Dan biarkanlah Aku (saja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar".(SURAH 73. Al Muzzammil 10-11)

“Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan Hari AKHIRAT," pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar.”

“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta. Dan bila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi". Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan." Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerusakan, tetapi mereka tidak sadar.” (SURAH 2. Al Baqarah 8-12)

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (SURAH 2. Al Baqarah 208)

Renung-renungkanlah. Anak-anak kita sudah lama keliru dengan tindak tanduk kita…


Perkongsian dari Warga Prihatin

Artikel daripada: http://goo.gl/6aygYW

Wednesday, 23 April 2014

Baca, Fikir dan Faham (BFF): Allah tidak pernah melupakan kamu, wahai anakku…


Tanda-tanda simple Allah tidak pernah melupakan kamu, wahai anakku…

Selagi telinga kamu masih boleh mendengar… kerana Allah memudahkan komunikasi kamu dengan manusia lain.

Selagi mata kamu masih boleh melihat… kerana Allah membolehkan kamu menikmati keindahan dunia ciptaan Allah termasuk diri kamu sendiri.

Melalui zuriat kamu… kerana Allah memeriahkan kehidupan berkeluarga.

Melalui harta kamu… kerana Allah membolehkan kamu menikmati kehidupan yang sempurna.

Melalui haiwan ternakan… kerana Allah membolehkan kamu mendapatkan manfaat daripadanya, samada dagingnya atau digunakan sebagai kenderaan.

Melalui tumbuh-tumbuhan… Allah menghijaukan alam serta menghasilkan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai bekalan makanan kamu.

Bagaimana pula dengan kamu, wahai anak kesayanganku, apakah kamu pernah melupai Allah?

Adakah kamu menggunakan penglihatan dan pendengaran yang dikurniakan Allah untuk perkara-perkara yang baik atau perkara yang buruk?

Adakah kamu menggunakan penglihatan kamu untuk meneliti ayat-ayah Allah, samada yang makruah ataupun manzurah yang menjadi dalil dan hujah tentang kewujudan Allah SWT yang menciptakan alam semesta?

Ataupun engkau menggunakan pendengaran dan penglihatan kurniaan Allah untuk berseronok dan berpoya-poya di dunia semata-mata sehingga kamu lupa bahawa kamu akan bertemu dengan Allah Taala di akhirat kelak?

Ingatlah ayat ini, wahai anakku:

Al-A’raaf:51
(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami. 

Yang bermaksud Allah akan melupakan manusia yang melupakan-Nya. Ingatlah di dalam hatimu.

Senyum

Edisi Senyum: Alkisah seorang adik




Yusof telah menerima hadiah sebuah kereta cantik sebagai harijadi.

Satu hari, setelah keluar dari pejabat, Yusof melihat seorang budak sedang menghayati keretanya bersinar.

“Adakah ini kereta awak?” tanya lelaki itu.

Yusof menggangguk. “Ini hadiah daripada abang aku,” katanya dengan bangga.

Budak tersebut terkejut. “Maksud awak, abang awak bagi kereta ini pada awak tanpa sebarang bayaran. Saya pun… “ sebelum habis berkata budak itu disampuk Yusof.

Yusof tahu apa budak itu kata. Dia nak kata alangkahnya kalau dia pun ada abang seperti abang Yusof.

“Aku faham apa awak nak kata. Tak perlu jealous. Nak naik kereta aku?” kata Yusof pada budak itu.

Budak itu menggangguk.

Semasa dalam perjalanan, budak itu meminta Yusof menghantarnya ke rumah. 

Sesudah sampai di rumah budak itu, budak itu meminta Yusof membawa kereta itu mengeliling rumah budak.

Yusof terfikir budak itu nak menunjuk-nunjuk pada keluarga dan jirannya dia balik dengan kereta mewah.

“Boleh henti belakang rumah saya?” kata budak itu.

Sesudah henti kereta, budak itu meminta Yusof tunggu sebentar.

Budak itu menaiki tangga ke rumahnya. Selepas beberapa ketika, budak itu balik mendokong adiknya yang lumpuh dan meletaknya di bawah tangga.

Budak itu menuding jarinya pada kereta Yusof. Yusof pun keluar mendengar apa yang diceritakan budak itu pada adiknya.

“Itu keretanya, adik. Tadi abang kan bagitahu, kereta ini abang dia hadiah untuk dia dan dia tak perlu bayar satu sen pun,” kata budak itu pada adiknya merujuk kepada Yusof.

“Satu hari nanti, abang akan hadiahkan adik sebuah kereta juga supaya adik boleh lihat sendiri daripada cermin kereta betapa cantiknya di luar sana,” kata budak itu.

Yusof tersentak malu. Semua tanggapannya pada budak itu tersilap. Yusof terus tergerak hati mendokong adik budak itu ke keretanya lalu membawa mereka berjalan-jalan di kereta mewahnya sambil meninggalkan satu memori yang indah.


Wahai anakku,
Allah SWT berfirman yang maksudnya: (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri. (al-Hadid : 23) 

Inti pati ayat ini, wahai anak kesayanganku, mengingatkan manusia agar tidak berputus asa apabila terpaksa menerima sebarang kegagalan atau tidak bersedih dengan kemiskinan atau kecewa dengan kemelaratan hidup. 

Selain itu, manusia juga dianjurkan supaya tidak berbangga apabila mendapat sesuatu kejayaan atau tidak terlalu bergembira (tanpa bersyukur), hingga lupa daratan kerana mendapat kekayaan dan kemewahan hidup kerana kegagalan atau kejayaan, kemiskinan atau kekayaan itu pada hakikatnya adalah mengikut ketetapan Allah.

Ingatlah itu, wahai anakku. Jangan lupa senyum.

Edisi Senyum: Alkisah nelayan dengan penoreh getah




Satu hari si penoreh getah mengikut si nelayan ke laut untuk menangkap ikan. Si penoreh duduk di belakang kapal manakala nelayan di depan.

Laut yang agak bergelora menyebabkan si penoreh agak terumbang-ambing. Melihat si nelayan asyik berjaya mengail ikan tapi tidak dia, si penoreh meminta untuk menukar posisi memancing dengan si nelayan.

Si nelayan pun menukar posisi, namun situasinya sama, si penoreh masih tidak dapat mengail seekor ikan. Ikan-ikan semua seolah-olah lari mengikut si nelayan.

Mungkin ini adalah masalah joran. Maka si penoreh pun meminta menukar joran dengan si nelayan. Situasi tetap sama – hanya si nelayan mendapat ikan. Laut makin bergelora, si penoreh mengalami mabuk laut dan muntah-muntah.

Sesudah tiba di darat, si penoreh berkata: “Susah nak cari makan di laut. Elok buat kerja aku, lagi mudah.”

Pada satu hari, si nelayan mengikuti si penoreh ke ladangnya dan mencuba menoreh getah.

Ada 1,000 pokok yang perlu ditoreh bermula sebelum subuh. Si nelayan mengeluh susah. Masa menoreh, si nelayan cuai, tangan terkena sabit. Ketika ingin berehat, si nelayan terlanggar bekas menadah getah dan semua tertuang di atas kepalanya.

Si penoreh menoreh pokok getah dengan cukup senang tanpa sebarang gangguan.

“Susah betul kerja toreh getah. Tangkap ikan lagi mudah,” kata si nelayan.

Wahai anakku,
Rezeki kamu sudah ditentukan. Asalkan kamu berusaha, kamu akan mendapatnya. Jangan dengki dengan rezeki orang lain. Bersyukur pada rezeki yang Allah kurniakan pada kamu. Usah iri hati pada rezeki orang lain. Ada orang yang memang rezekinya di darat menoreh getah, dan ada yang di laut menangkap ikan. 

Setiap bidang ada cabarannya sendiri, namun asalkan hati kamu sentiasa dekat dengan Allah, kamu akan melihat segalanya dalam bentuk kesyukuran dan medan latihan untuk mempertingkatkan diri sebelum misi seterusnya.

Senyum.