Showing posts with label Senyum. Show all posts
Showing posts with label Senyum. Show all posts

Wednesday, 23 April 2014

Baca, Fikir dan Faham (BFF): Allah tidak pernah melupakan kamu, wahai anakku…


Tanda-tanda simple Allah tidak pernah melupakan kamu, wahai anakku…

Selagi telinga kamu masih boleh mendengar… kerana Allah memudahkan komunikasi kamu dengan manusia lain.

Selagi mata kamu masih boleh melihat… kerana Allah membolehkan kamu menikmati keindahan dunia ciptaan Allah termasuk diri kamu sendiri.

Melalui zuriat kamu… kerana Allah memeriahkan kehidupan berkeluarga.

Melalui harta kamu… kerana Allah membolehkan kamu menikmati kehidupan yang sempurna.

Melalui haiwan ternakan… kerana Allah membolehkan kamu mendapatkan manfaat daripadanya, samada dagingnya atau digunakan sebagai kenderaan.

Melalui tumbuh-tumbuhan… Allah menghijaukan alam serta menghasilkan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai bekalan makanan kamu.

Bagaimana pula dengan kamu, wahai anak kesayanganku, apakah kamu pernah melupai Allah?

Adakah kamu menggunakan penglihatan dan pendengaran yang dikurniakan Allah untuk perkara-perkara yang baik atau perkara yang buruk?

Adakah kamu menggunakan penglihatan kamu untuk meneliti ayat-ayah Allah, samada yang makruah ataupun manzurah yang menjadi dalil dan hujah tentang kewujudan Allah SWT yang menciptakan alam semesta?

Ataupun engkau menggunakan pendengaran dan penglihatan kurniaan Allah untuk berseronok dan berpoya-poya di dunia semata-mata sehingga kamu lupa bahawa kamu akan bertemu dengan Allah Taala di akhirat kelak?

Ingatlah ayat ini, wahai anakku:

Al-A’raaf:51
(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami. 

Yang bermaksud Allah akan melupakan manusia yang melupakan-Nya. Ingatlah di dalam hatimu.

Senyum

Edisi Senyum: Alkisah seorang adik




Yusof telah menerima hadiah sebuah kereta cantik sebagai harijadi.

Satu hari, setelah keluar dari pejabat, Yusof melihat seorang budak sedang menghayati keretanya bersinar.

“Adakah ini kereta awak?” tanya lelaki itu.

Yusof menggangguk. “Ini hadiah daripada abang aku,” katanya dengan bangga.

Budak tersebut terkejut. “Maksud awak, abang awak bagi kereta ini pada awak tanpa sebarang bayaran. Saya pun… “ sebelum habis berkata budak itu disampuk Yusof.

Yusof tahu apa budak itu kata. Dia nak kata alangkahnya kalau dia pun ada abang seperti abang Yusof.

“Aku faham apa awak nak kata. Tak perlu jealous. Nak naik kereta aku?” kata Yusof pada budak itu.

Budak itu menggangguk.

Semasa dalam perjalanan, budak itu meminta Yusof menghantarnya ke rumah. 

Sesudah sampai di rumah budak itu, budak itu meminta Yusof membawa kereta itu mengeliling rumah budak.

Yusof terfikir budak itu nak menunjuk-nunjuk pada keluarga dan jirannya dia balik dengan kereta mewah.

“Boleh henti belakang rumah saya?” kata budak itu.

Sesudah henti kereta, budak itu meminta Yusof tunggu sebentar.

Budak itu menaiki tangga ke rumahnya. Selepas beberapa ketika, budak itu balik mendokong adiknya yang lumpuh dan meletaknya di bawah tangga.

Budak itu menuding jarinya pada kereta Yusof. Yusof pun keluar mendengar apa yang diceritakan budak itu pada adiknya.

“Itu keretanya, adik. Tadi abang kan bagitahu, kereta ini abang dia hadiah untuk dia dan dia tak perlu bayar satu sen pun,” kata budak itu pada adiknya merujuk kepada Yusof.

“Satu hari nanti, abang akan hadiahkan adik sebuah kereta juga supaya adik boleh lihat sendiri daripada cermin kereta betapa cantiknya di luar sana,” kata budak itu.

Yusof tersentak malu. Semua tanggapannya pada budak itu tersilap. Yusof terus tergerak hati mendokong adik budak itu ke keretanya lalu membawa mereka berjalan-jalan di kereta mewahnya sambil meninggalkan satu memori yang indah.


Wahai anakku,
Allah SWT berfirman yang maksudnya: (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri. (al-Hadid : 23) 

Inti pati ayat ini, wahai anak kesayanganku, mengingatkan manusia agar tidak berputus asa apabila terpaksa menerima sebarang kegagalan atau tidak bersedih dengan kemiskinan atau kecewa dengan kemelaratan hidup. 

Selain itu, manusia juga dianjurkan supaya tidak berbangga apabila mendapat sesuatu kejayaan atau tidak terlalu bergembira (tanpa bersyukur), hingga lupa daratan kerana mendapat kekayaan dan kemewahan hidup kerana kegagalan atau kejayaan, kemiskinan atau kekayaan itu pada hakikatnya adalah mengikut ketetapan Allah.

Ingatlah itu, wahai anakku. Jangan lupa senyum.

Edisi Senyum: Alkisah nelayan dengan penoreh getah




Satu hari si penoreh getah mengikut si nelayan ke laut untuk menangkap ikan. Si penoreh duduk di belakang kapal manakala nelayan di depan.

Laut yang agak bergelora menyebabkan si penoreh agak terumbang-ambing. Melihat si nelayan asyik berjaya mengail ikan tapi tidak dia, si penoreh meminta untuk menukar posisi memancing dengan si nelayan.

Si nelayan pun menukar posisi, namun situasinya sama, si penoreh masih tidak dapat mengail seekor ikan. Ikan-ikan semua seolah-olah lari mengikut si nelayan.

Mungkin ini adalah masalah joran. Maka si penoreh pun meminta menukar joran dengan si nelayan. Situasi tetap sama – hanya si nelayan mendapat ikan. Laut makin bergelora, si penoreh mengalami mabuk laut dan muntah-muntah.

Sesudah tiba di darat, si penoreh berkata: “Susah nak cari makan di laut. Elok buat kerja aku, lagi mudah.”

Pada satu hari, si nelayan mengikuti si penoreh ke ladangnya dan mencuba menoreh getah.

Ada 1,000 pokok yang perlu ditoreh bermula sebelum subuh. Si nelayan mengeluh susah. Masa menoreh, si nelayan cuai, tangan terkena sabit. Ketika ingin berehat, si nelayan terlanggar bekas menadah getah dan semua tertuang di atas kepalanya.

Si penoreh menoreh pokok getah dengan cukup senang tanpa sebarang gangguan.

“Susah betul kerja toreh getah. Tangkap ikan lagi mudah,” kata si nelayan.

Wahai anakku,
Rezeki kamu sudah ditentukan. Asalkan kamu berusaha, kamu akan mendapatnya. Jangan dengki dengan rezeki orang lain. Bersyukur pada rezeki yang Allah kurniakan pada kamu. Usah iri hati pada rezeki orang lain. Ada orang yang memang rezekinya di darat menoreh getah, dan ada yang di laut menangkap ikan. 

Setiap bidang ada cabarannya sendiri, namun asalkan hati kamu sentiasa dekat dengan Allah, kamu akan melihat segalanya dalam bentuk kesyukuran dan medan latihan untuk mempertingkatkan diri sebelum misi seterusnya.

Senyum.


Edisi Senyum: NAK KEAMPUNAN TUHANMU



Wahai anakku,
Kalau engkau suka Allah ampunkan dosamu, 
maaflah kesalahan orang lain padamu. Kerana 
kemaafanmu di dunia jauh lebih mudah 
berbanding engkau memohon keampunan dari 
manusia di akhirat. Aku sangat takut akan 
golongan yang muflis di akhirat, sebagaimana 
yang dinyatakan oleh Rasulullah, mereka adalah 
golongan yang banyak amalan, namun semasa di 
dunia banyak melakukan penganiayaan terhadap 
manusia; lalu mereka menuntut darinya di akhirat 
sehingga habis segala pahalanya dan diganti pula 
dengan dosa.

Wahai anakku,
Janganlah engkau terikut kehendak nafsu 
burukmu yang dihasut oleh syaitan, untuk tidak 
memaafkan kesalahan manusia lain, kerana itu 
puncak keegoan yang memusnahkan. Apalah erti 
engkau menyimpan dosanya atau dendammu. 
Yang penting wahai anakku, keinsafan terhadap 
kesalahan dan kekesalan terhadap apa yang 
berlaku, lalu ia menitis air mata taubat memohon 
pengampunan Allah. Kalaulah Allah sedia 
mengampuni dosa hambaNya, janganlah engkau 
menjadi makhluk yang lebih sombong dariNya.




Wahai anakku,
Rasulullah S.A.W Bersabda: "Dua mata yang tidak 
akan disentuh oleh api neraka di akhirat. Mata 
yang menangis kerana takutkan Allah dan mata 
yang berjaga malam kerana memperjuangkan 
agama Allah." Menangislah kerana dosamu, 
kerana tangisan itu akan mendapat rahmat dan 
kasih sayang Allah, walaupun terlalu sukar 
manusia menangis kerana dosanya. Dan berjaga 
malamlah demi memperjuangkan agama Allah. 
Sabarlah wahai anakku di atas kepenatanmu 
sehingga tengah malam, di saat semua orang 
sedang tidur lena dibuai mimpi, kamu masih 
berada di atas jalanraya menahan kepenatan dan 
keletihan memperjuangkan agama Allah.

Wahai anakku,
Aku sering mengingati pesanan Tuan Guru Nik 
Aziz, biarlah kita penat di dunia, semoga kita 
tidak penat nanti di akhirat. Salam perjuangan 
buat semua. Senyum.


sumber: Facebook Dato' TITM

Sunday, 9 March 2014

Edisi Senyum: Alkisah Semut

Satu pagi, seekor semut sedang terjumpa sehelai bulu yang besar. Semut amat menyukai bulu tersebut lalu berusaha membawanya pulang ke sarang.


Perjalanan semut tidak mudah, satu demi satu halangan terpaksa dilepasi dengan berjalan agak jauh.

Di satu halangan, tetiba semut itu berhenti. Rupanya, ada sebuah gaung sebesar 10mm yang tidak dilepasinya. Semut berulang-alik membawa bulu itu kebuntuan.

Akhirnya, semut terfikir penyelesaiannya. Ia meletakkan bulu tersebut untuk menutup gaung tersebut. Selepas ia lintasi gaung tersebut, semut mengambil bulu lalu meneruskan perjalanan ke arah sarangnya. Hebat sang semut ciptaan Allah ini!

Akhirnya, sang semut tiba di sarangnya yang berlubang di bawah penjuru sebuah rumah. Sang semut berasa sangat gembira dan puas kerana berjaya membawa pulang bulu meskipun berdepan bermacam halangan.

Setibanya di pintu sarang, sang semut baru tersedar bahawa lubang ke sarangnya sebegitu kecil, macam mana bulu yang besar ini dapat dibawa masuk?

Akhirnya, semut terpaksa berputus asa. Tidak mungkin ia dapat melepasi halangan ini. Semut mengambil keputusan untuk meninggalkan bulu, dan pulang ke sarangnya meskipun semut telah mengatasi setiap satu halangan dengan bijaksana, kekentalan jiwa dan segala tenaga untuk membawa bulu tersebut sehingga tiba di pintu rumah.

Wahai anakku,
Sang semut sebenarnya terlupa untuk berfikir mengenai masalahnya secara mendalam sebelum memulakan usaha membawa bulu pulang ke sarang.

Di akhir perjalanan, baru tersedar bulu yang disangka bernilai hanya satu beban yang tidak perlu.

Wahai anak kesayanganku, dalam kehidupan seharian kamu, ada kalanya kamu akan melalui apa yang dirasai semut. Kamu bimbang mengenai banyak perkara duniawi, seperti air muka, mengumpul duit dan harta, mencari pekerjaan lebih baik, risau keterlaluan pada keluarga dan sebagainya.

Namun, apabila tiba di penghujung jalan hidup kamu barulah engkau tersedar, segala yang dikejar dan dirisaukan kamu, sebenarnya tidak dapat dibawa bersama seperti bulu yang ditinggalkan sang semut.

Senyum via Dato' Tuan Ibrahim

Sunday, 2 March 2014

Edisi Senyum: Alkisah lobak merah, telur dan biji kopi


Jamil datang ke rumah Ustaz Ibrahim menceritakan bagaimana hidupnya diuji dengan penuh kesusahan. Jamil berkata beliau tidak mampu menghadapinya lagi dan ingin berputus asa. Jamil memberitahu ustaz Ibrahim beliau teramat letih untuk meneruskan perjuangan dan berlawan… setelah satu masalah selesai, satu masalah baru pula timbul.

Ustaz Ibrahim hanya mendengar dan tidak berkata apa-apa. Beliau menyuruh Jamil mengikutnya ke dapur.

Jamil pun mengikut tanya bertanya. Ustaz Ibrahim mengisi air di dalam tiga periuk kecil dan mendidih ketiga-tiganya serentak.

Semasa air mendidih, Ustaz Ibrahim memasukkan lobak merah ke periuk pertama, telur ke periuk kedua dan biji kopi ke periuk ketiga.

Jamil bertanya, “Apa yang ustaz buat? Nak masak apa tu?”

Ustaz Ibrahim tidak berkata apa-apa dan membiarkan air mendidih selama 20 minit. Setelah 20 minit, Ustaz Ibrahim mengeluarkan lobak merah, telur dan biji kopi ke dalam sebuah mangkuk.

“Jamil, apa yang enta nampak?”

“Lobak merah, telur dan kopi,” jawab Jamil.

Ustaz Ibrahim menyuruh Jamil untuk menyentuh lobak merah tersebut. Jamil terasa lembut. Kemudian Ustaz Ibrahim menyuruh Jamil untuk memecahkan telur tersebut. Selepas mengupas kulitnya, Jamil dapat satu telur masak penuh. Kemudian, Ustaz Jamil menyuruh Jamil mencuba air kopi di periuk ketiga. Jamil berasa rasanya penuh aroma kopi.

“Ustaz, apa maksud semua ini?” Jamil bertanya.

“Setiap benda ini (lobak merah, telur dan biji kopi) telah melalui kesusahan yang sama, iaitu air mendidih. Tapi setiap satunya memberikan reaksi berlainan.

Lobak merah masuk dalam keadaan keras, kuat dan kasar. Akan tetapi setelah melalui ujian air mendidih ia keluar lembik dan lemah.

Telur masuk dalam keadaan rapuh dan mudah pecah. Dalam cecair yang hanya dilindungi satu kulit yang nipis… akan tetapi setelah melalui ujian air didih, ia bertukar menjadi keras.

Bagi bijih kopi pula… ini lebih menarik. Semasa mereka dalam air mendidih, mereka menukar seluruh air mendidih kepada air kopi yang wangi aroma seperti yang diminum Jamil tadi,” terang Ustaz Ibrahim sambil tersenyum.

Mata Jamil seolah-olah terpukau dengan penjelasan Ustaz Ibrahim.

“Jadi, Jamil adalah yang mana satu? Bila kesusahan melanda, bagaimana Jamil menghadapinya? Lobak merah, telur ataupun biji kopi?” tanya Ustaz Ibrahim kepada Jamil yang tersentak dengan persoalan itu.

Wahai anakku,
Semasa ujian Allah datang mengetuk pintu kamu, bagaimana engkau harus menghadapinya?

Adakah kamu seperti lobak merah yang nampak kuat, tapi dengan sedikit ujian dan kesusahan, kamu bertukar menjadi lembik dan hilang segala kekuatan?

Ataupun kamu seperti telur dengan hati yang bagaikan cecair yang mudah dipengaruhi haba dan setelah melalui musibah, luaran kamu nampak tidak berubah, akan tetapi hati kamu dah bertukar menjadi keras, tidak gembira dan tidak beransur.

Ataupun kamu ialah biji kopi, makin didih, kamu mampu mengubah keadaan situasi kamu sehingga keadaan itu mengeluarkan bau aroma yang menakjubkan.

Jadi siapakah kamu, wahai anak kesayanganku?

Ingat, Allah tidak akan menguji seseorang melebihi kemampuannya. Apabila menghadapi kesusahan, ingatlah Allah sedang menguji kamu, dan aku berharap kamu bertindak seperti biji kopi, bertambah baik dan mengubah keadaan sekeliling kepada situasi positif.

Waktu yang paling sukar adalah masa terbaik untuk meningkatkan diri ke tahap yang lain.

Senyum.

Friday, 28 February 2014

Kisah Ummu Aiman: Mujahidah Islam


Ummu Aiman...Mujahidah Islam

Rapatnya beliau dengan Rasulullah tidak membuat Ummu Aiman untuk meminta alasan kepada Rasulullah untuk tidak turut serta dalam jihad. Ummu Aiman memiliki jasa besar dalam lapangan jihad. Dia ikut bergabung dalam Perang Uhud sebagai pembagi air minum untuk para mujahidin dan memberikan khidmat perubatan untuk mujahid yang terluka.

Tak hanya itu, Ummu Aiman juga ikut serta dalam Perang Khaibar bersama beberapa isteri para sahabat. Setelah kemenangan, Rasulullah memberi mereka sebahagian dari harta rampasan perang. (ghanimah). Lalu pada Perang Hunain, dia berada dalam satu rombongan bersama kedua putranya, Aiman dan Usamah. Kedua anak termasuk para sahabat yang teguh bertahan melindungi Rasulullah pada saat itu. Namun Aiman kemudian mati syahid. Kesyahidan Aiman semakin menambah keimanan dan penyerahan total dirinya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan pada Perang Mu`tah, suaminya (Zaidd bin Haritsah) yang bertindak sebagai komandan pasukan menjadi pahlawan syahid pertama. Ummu Aiman menerima berita kesyahidan suaminya dengan hati yang ridha dan sabar. Dia menggantungkan harapannya kepada Allah semata-mata.

Ketika Rasulullah wafat, Ummu Aiman terdiam dengan kesedihan meliputi hatinya. Air mata membanjiri kedua matanya. Tergeraklah batinnya yang bersih, lalu memuji Nabi dengan syair yang indah:

“Mata menangis... kerana air mata itu menyembuhkan. Maka perbanyaklah tangismu
ketika mereka berkata, “Rasul telah tiada," Itulah musibah tiada nilai taranya. Tangisilah orang terbaik yang menjadi nikmat bagi kita di dunia. Orang yang diistimewakan dengan wahyu dari langit.”

Tak hanya dikenal kerana ketulusannya berbakti kepada Rasulullah, Ummu Aiman juga memiliki keluasan ilmu, keutamaan, dan kecerdasan. Hal ini ditunjukkan oleh riwayat Muslim dari Anas, dia berkata bahawa setelah wafat Rasulullah, Abu Bakar berkata kepada Umar, “Marilah kita berangkat menuju Ummu Aiman untuk mengunjunginya sebagaimana Rasulullah SAW selalu mengujunginya.” Ketika tiba di rumahnya, keduanya mendapati Ummu Aiman sedang menangis. Abu Bakar bertanya, “Kenapa engkau menangis, segala apa yang dikehendaki Allah adalah yang terbaik bagi Rasulullah SAW?”

Dia menjawab, “Aku menangis bukan kerana aku tidak tahu bahawa segala apa yang dikehendaki Allah adalah yang terbaik bagi Rasulullah SAW, akan tetapi aku menangis kerana terputusnya wahyu dari langit.” Jawapannya ini menggoncangkan Abu Bakar dan Umar, dan membuat keduanya menangis bersamanya. Ummu Aiman pun turut serta dalam periwayatan hadits. Dia meriwayatkan 5 buah hadits dari Rasulullah. Di antara sahabat yang meriwayatkan hadits darinya adalah Anas bin Malik, Hanasy bin Abdullah Ash-Shan’ani, dan Abu Yazid Al-Madani.

Ummu Aiman wafat tak lama setelah Rasulullah wafat. Imam Adz-Dzahabi dan Ibnu Hajar Al-‘Asqalani mengatakan, “Dia meninggal dunia lima bulan setelah Nabi SAW wafat.” Semoga Allah ridha kepada Ummu Aiman dengan memberikan surga kepadanya.

Wassalam

kredit: Dato' Tuan Ibrahim

Thursday, 27 February 2014

Facebook: Ayah dan Anaknya


.... Seorang pemuda duduk di hadapan laptopnya. Log in facebook.

Benda pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama ini. Bahagian 'OTHER' di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Mesej 3 bulan yang lepas tarikhnya.

Ditatap isinya,

"Salam.

Ini kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni. 

Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.

Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?

Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, 'Abah, abah, abah'. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.

Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, sekolah, kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.

Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu.

Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu kamu ada kekasih. Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?

Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.

Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu. 

Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi.

Abah tak minta banyak...

Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah. Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu. 

Apapun. Maafkan abah atas curhat abah ini. 

Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman. 

Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.

Maafkan abah atas segalanya."

Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya.

Tulisan ayahandanya itu dibaca setelah 3 bulan beliau pergi buat selama-lamanya.

Di saat tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya.

cerita oleh: Muhammad Rusydi

kredit: Dato' Tuan Ibrahim

Monday, 24 February 2014

Edisi Senyum: Alkisah seekor tikus dan sahabat-sahabatnya...


Sang Tikus melihat daripada satu lubang tepi rumah untuk lihat petani dan isterinya sedang membuka satu bungkusan…

“Apa makanan dalam kotak ini?” bayang tikus tersebut yang kelaparan.

Sang Tikus terkejut melihat apa yang dikeluarkan petani dan isterinya berupa perangkap tikus!

Sang Tikus yang ketakutan balik ke kandang memberitahu kawan-kawannya, “Ada satu perangkap tikus dalam rumah Pak Ali! Ada satu perangkap tikus!”

Ayam yang sedang tidur, bangun dan menggaru dan menaikkan kepalanya lalu berkata, “Sang Tikus, ana tahu ini ialah masalah besar untuk enta, tapi ini tak ada kena mengena dengan ana… Ana tak kisah pun, jangan kacau tidur ana.”

Kecewa, Sang Tikus pun mencari Sang Kambing yang juga rakan karibnya untuk memberitahu berita perangkap tikus.

“Ada perangkap tikus di rumah Pak Ali! Ada perangkap tikus di rumah Pak Ali,” kata Sang Tikus.

Sang Kambing melihat Sang Tikus dengan mata tak bermaya lalu berkata, “Maafkan ana Sang Tikus. Ana tak boleh berbuat apa-apa selain berdoa. Ana akan pastikan enta dalam doa ana.”

Kecewa lagi, Sang Tikus pergi berjumpa dengan Sang Kerbau dan berkata, “Ada perangkap tikus di rumah Pak Ali! Ada perangkap tikus di rumah Pak Ali” dengan harapan Sang Kerbau akan mengambil peduli masalah yang dihadapinya.

Sang Kerbau berkata,”WOW, Sang Tikus. Ana simpati pada enta, tapi perangkap itu, kulit saya pun tak terasa kalau terpijak.”

Sang Tikus pun balik ke rumahnya, kecewa dan sedih untuk menghadapi perangkap tikus itu bersendirian tanpa rakan-rakan di kandangnya.

Malam tersebut juga, Sang Tikus terdengar bunyi “PAPP!” seolah-olah perangkap tikus itu telah mendapat mangsanya yang pertama.

Sang Tikus pergi menjenguk di lubang yang sama. Ketika tiba di sana, Sang Tikus terlihat kaki isteri Pak Ali berdarah dan Pak Ali sedang merawatnya. Kelihatan di perangkap tikus itu ialah bangkai seekor ular berbisa yang ekornya terkena perangkap tikus.

Isteri Pak Ali rupanya bergegas ke dapur untuk melihat hasil tangkapan perangkap tikus dan sebaik saja tiba ular berbisa itu yang mengarang terus menyengat isteri Pak Ali.

Pak Ali bergegas membawa isterinya ke hospital, dan beberapa hari kemudian isterinya diarahkan pulang.

Isteri Pak Ali masih tidak sembuh, dan terkena demam panjang. Ada orang kampung memberitahu sup ayam bagus untuk merawat demam – maka Pak Ali telah menyembelih Sang Ayam untuk membuat sup untuk isterinya.

Tapi kerana isteri Pak Ali masih tidak sembuh, ramai sanak-saudara yang datang menjenguk ulang-alik menjaga isteri Pak Ali – Pak Ali menyembelih Sang Kambing untuk memberi makan kepada mereka sebagai tanda penghargaan.

Akhirnya, isteri Pak Ali sembuh. Pak Ali kegembiraan dan mengadakan kenduri kesyukuran dan menyembelih Sang Kerbau untuk menjamu seluruh kampung.

Sang Tikus melihat semua ini terjadi dengan penuh kesedihan.

Wahai anakku,
Beringatlah lain kali, apabila terdengar seseorang sahabat mempunyai masalah, jangan memandang remeh kerana masalah itu tiada kaitan dengan kamu… Bumi ini bulat dan semuanya berkait dalam satu roda - semua yang Allah inginkan kamu bertemu ada tujuannya termasuklah sahabat yang mempunyai masalah ini.

Bila sahabat datang dengan masalah, bantulah dia setakat mampu – jangan tidak mengendahkannya, mesti ada sebab Allah mengutuskan kamu bertemu dengan sahabat tersebut pada waktu terdesak. Sekurang-kurangnya pun berilah kata-kata semangat. 

Demi Allah, berilah bantuan – usah anggap bantuan adalah untuk sahabat, anggaplah bantuan itu sebagai menunaikan amanah yang diberikan Allah untuk mendapat pahala ke akhirat.

Senyum.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Sunday, 23 February 2014

Edisi Senyum: Alkisah seorang pakcik tua


Ah Seng lama tidak kembali ke kampungnya sepanjang tahun ini. Meneruskan tradisi keluarga, Ah Seng tetap pulang meraikan Tahun Baru Cina di kampung.

Setibanya di rumah, Ah Seng seperti biasa disambut dengan penuh kesayangan oleh keluarganya. Menjadi kewajiban untuk mereka yang bekerja untuk memberikan duit kepada ibu bapa dan saudara mara yang lebih tua sebagai tanda ketaatan.

Rumah kampung Ah Seng hanyalah rumah terus setingkat. Di belakang rumah, dapur menghadap dapur.

Setibanya di dapur, Ah Seng terlihat Pak Chong, jirannya sedang memasak untuk makan besar sekeluarga.

“Pak Chong, 'Gong Xi Fa Cai'” jerit Ah Seng pada Pak Chong.

Pak Chong melihat ke arah Ah Seng: “Oi, lama tak jumpa. Sihat?”

“Baik sahaja,” jawab Ah Seng.

“Ah Seng, tak perlu ucap untuk pakcik jadi kaya. (Gong Xi Fa Cai adalah ucapan untuk seseorang menjadi kaya) Kaya tak guna bila tua-tua ini. Yang penting semua keluarga selamat dan badan sihat,” jawab Pak Chong.

“Mengapa Pak Chong? Pak Chong tak sihat ke?” jawab Ah Seng.

“Ya. Mungkin kali ini ialah kali terakhir pakcik masak untuk keluarga. Tahun depan mungkin tak berpeluang lagi. Pakcik dapat kanser prostat tahap 3,” jawab Pak Chong.

“Maaf Pak Chong…” jawab Ah Seng.

“Ingatlah Ah Seng. Jagalah tubuh badanmu. Lakukan apa yang patut supaya badan kekal sihat. Jangan malas. Kalau kamu boleh rajin mencari duit, mengapa tidak rajin menjaga badan Tuhan bagi. Pakcik dulu hebat cari duit, sekarang ada duit pun tak leh repair badan yang pakcik hancurkan tanpa penjagaan.

Pakcik rela menukar semua duit pakcik sekarang untuk mendapat balik kesihatan dan masa yang hilang bersama keluarga dan cucu pakcik. Tapi sayang, pakcik dah tua baru faham perkara ini. Pakcik selama ini rasa duit adalah segala-galanya. Sebenarnya bukan duit. Manusia paling kaya ialah manusia yang sihat. Selagi dia sihat, selagi itulah dia boleh mencari duit,” jawab Pak Chong.

“Ah Seng, tolong sediakan meja makan,” jerit ayah Ah Seng dari dalam rumah.

“Cepat pergi. Bila tua, Ah Seng akan tahu, inilah perkara yang sebenarnya paling bernilai di dalam kehidupan,” jawab Pak Chong.

Wahai anakku,
Betulkah kamu sayang pada badanmu? Jika ya, mengapa kamu sanggup membiarkannya tidak bersukan untuk sekian lama? Jika ya, mengapa kamu sanggup menyuapkannya dengan makanan tidak sihat untuk sekian lama? Jika ya, mengapa kamu tiada disiplin untuk menjaganya sebagaimana kamu menjaga kereta kamu.

Jangan tunggu sampai hari badan kamu mengkhianati kamu, baru engkau insaf dan kesal kezaliman yang kamu lakukan pada badan kamu.

Senyum.

Dato' Tuan Ibrahim

Wednesday, 19 February 2014

Kisah Senyum: Alkisah Belon - Realiti Kehidupan


Alkisah belon

Sekumpulan 100 orang dewasa mendaftarkan diri ke seminar Senyumlah bersama Ustaz Rahim.

Sebelum menamatkan kuliah, Ustaz Rahim memberikan seorang setiap belon dan meminta para peserta untuk menulis nama mereka di atas belon. Belon yang ditiup besarkan dan diberikan kepada Ustaz Rahim.

Ustaz Rahim melepaskan 100 belon tersebut ke dalam sebuah bilik. 100 peserta ini disuruh mencari belon yang tertulis nama mereka secara serentak dalam masa 5 minit tanpa memecahkan sebarang belon. Lima orang pertama akan mendapat hadiah.

Keadaan di dalam bilik terus menjadi kelam kabut. Para peserta berebut, menolak antara satu sama lain untuk mencari belon masing-masing.

Suasana cukup melemaskan. Lima minit berakhir, tiada seorang pun dapat mencari belon mereka.

Ustaz Rahim tersenyum dan meminta para peserta untuk mengambil satu belon seorang dan memberikan kepada pemiliknya berdasarkan nama di atas belon.

Dalam masa tiga minit, semua mendapat kembali belon masing-masing.

Ustaz Rahim tersenyum lagi.

Wahai anakku,
Inilah yang berlaku di dalam kehidupan manusia. Semua orang mencari kegembiraan sendiri, tapi tidak tahu di mana dan bagaimana. Walhal, wahai anak kesayanganku, kegembiraan kamu bersangkut paut dengan kegembiraan orang lain. Buat orang lain gembira, kamu akan mendapat kegembiraan.

Seperti kisah di atas, jika para peserta tidak pentingkan diri kerana tamakkan hadiah, mereka akan terfikir untuk mencari belon untuk orang lain dan bukan diri sendiri. Akhirnya belon milik sendiri akan datang daripada orang lain. Jika semua berebut, suasana akan menjadi kelam-kabut dan akhirnya semua orang rugi.

Senyum

Saturday, 15 February 2014

Edisi Senyum: Alkisah Jane dan June


Jane, seorang pelajar senior di universiti tempatan yang tidak banyak bergaul dengan rakan-rakan lain.


Setiap kali kuliah habis, Jane akan bergegas pulang. Pada mulanya, rakan sekuliahnya tidak mengetahui mengapa.



Satu hari, Jane membawa anaknya June ke sekolah. Terperanjat semua rakan sekuliahnya termasuk para pensyarahnya.



Jane tak kahwin lagi sudah ada anak berumur 4 tahun. Disebabkan Jane seorang yang tidak merapatkan diri dengan orang lain, maka tiada berani yang bertanya, namun perkara-perkara yang disebut-sebut tidak elok didengar.

Jane membawa June berjumpa dengan seorang pelajar Master bernama Badi yang bekerja sambil belajar di sebuah taska.

“Badi, sudi tak mengajar June?” tanya Jane.

Badi bersetuju setelah melihat perwatakan June yang begitu mentaati ibunya.

Setiap hari, Jane bergegas ke taska untuk menjemput June. Mereka akan pergi ke pasar bersama membeli barangan untuk dimasak malam dan juga dijadikan bekal pada hari esok.

June akan mencuci sayur dan daging, manakala ibunya memasak. Setelah habis makan, June akan duduk bercerita apa yang dipelajarinya hari itu sambil ibunya membersihkan pinggan dan dapur.

Kemudian, Jane akan menghabiskan masa ulangkaji pelajaran dan membaca cerita kepada June sebelum tidur sebelum mengulangkaji bahan pelajarannya sendiri sambil menyiapkan pakaian June untuk ke taska keesokan hari.

Walaupun memenatkan, tapi melihat senyuman June setiap hari menyebabkan Jane merasakan segalanya berbaloi.

“Inilah ibu,” bisik Jane di hati.

Adakalanya Jane tertidur ketika membaca cerita kepada June. Anaknya akan secara senyap-senyap menyelimutkannya sambil menutup lampu dan memastikan keesokan paginya, dia akan bangun lebih awal dan bersiap sebelum mengejutkan ibunya dari tidur.

Ada sekali ketika peperiksaan berlangsung, Badi membawa June melawat universiti untuk memberi semangat kepada Jane.

Melihat anaknya berdiri di pintu kaca luar kelas sambil memberikan isyarat kepadanya untuk melakukan yang terbaik, mata Jane kemerahan menahan air mata kegembiraan.

Demi June, segalanya berbaloi.

Setelah beberapa bulan dan telah menjadi rapat dengan Jane, ketika Jane menunggu June keluar dari kelas, Badi akhirnya bertanya…

“Mengapa Jane tidak mahu menceritakan perkara sebenar pada rakan-rakan di universiti? Mereka tengah bercakap di belakang kamu, dan kata-kata mereka sangat tidak sedap didengar?”

Jane melihat pada Badi.

“5 tahun lalu, saya ingat lagi pada 6 Februari 2014, waktu itu petang. Jane baru habis ulangkaji dan ingin keluar mencari makan. Jane berjalan ke McDonald dan membeli nuggets dan air dan makan sambil berjalan ke taman.

Tiba di satu simpang tempat perbuangan sampah, Jane mendekati untuk buang air yang telah habis diminum. Kawasan itu cukup busuk. Tetiba Jane melihat ada gerakan di dalam sebuah beg usang yang terbuang di situ.

Jane ingatkan kucing. Lalu Jane membuka beg. Di situlah Jane terjumpa June yang masih bayi..,” kata Jane.

Badi tidak berkata apa-apa.

“Oleh itu, Jane lebih sudi mereka mengumpat mengenai Jane daripada mereka mengumpat mengenai June,” kata Jane lagi.

Tetiba, June keluar dari kelas dengan membawa sesuatu di tangannya yang disembunyikan di belakang.

“Mak, June sayang mak. Ini kad hari jadi June buat sendiri,” kata June sambil mencium pipi maknya.

Jane tersenyum manis puas.

Melihat ini, Badi cukup terharu. Jane adalah wanita yang paling cantik di dunia baginya.

Wahai anakku,
Apakah terlintas pada pemikiran kamu bahawa Jane ini seorang yang tidak berakhlak ketika awal cerita ini? Itulah manusia, yang suka membuat kesimpulan melulu tanpa bersangka baik terlebih dahulu. 

Ingatlah wahai anak kesayanganku, jangan suka dan terlalu cepat buat ‘judgment’ pada orang lain atau situasi tanpa maklumat yang cukup. Apa yang nampak di depan mata dan terfikir di minda bukan selalunya betul, malah kamu kena awasi kerana biasanya ia lebih cenderung ke arah bersangka buruk.

Senyum.

Edisi Senyum: Alkisah sebuah kemenangan

Ali seorang pelari yang amat mementingkan kemenangan. Bagi Ali, asalkan menang. Segalanya diukur dari sudut kemenangan, dan baginya kemenangan dan tepukan adalah kegembiraan.

Kehebatan Ali dalam berlari memang dikenali di kampungnya.

Satu hari ada pertandingan berlari di kampungnya. Cuacanya panas. Ramai orang kampung datang menyaksikan pertandingan tersebut, termasuk seorang tua yang datang jauh untuk menyaksikan kehebatan Ali yang didengarinya.

Perlumbaan pertama bermula. Meskipun sengit, Ali dengan semangat tidak mengalahnya telah berlari dengan segala jiwa, tenaga dan kekentalan dan memenangi perlumbaan pertama.

Orang ramai bertepuk gemuruh dan menyorak untuk Ali. Tapi orang tua itu tidak memberikan sebarang reaksi. Ali terpandang orang tua itu, pelik tapi tidak peduli. Bagi Ali, rasa bangga dan dipentingkan lebih utama.

Esok harinya, perlumbaan kedua bermula, dengan lebih ramai pelari muda untuk menyaingi Ali. Ali tetap menang dan hadirin semakin gila menyorak untuk Ali. Walaupun seronok, Ali tetap berasa pelik pada reaksi orang tua itu, yang tidak memberikan sebarang reaksi.

Mendengar sorakan yang semakin riuh, Ali terasa kembang dan menjerit, “Jom lumba lagi! Jom lumba lagi!”

Orang tua itu tetiba bersuara. “Saya ingin menaja perlumbaan ketiga. Ali sudi sertai? 3 pelumba sahaja kali ini.”

“Sudah tentu,” kata Ali.

Orang tua meletakkan Ali di tengah. Kemudian orang tua itu membawa seorang nenek tua dan seorang buta untuk berlumba dengan Ali.

“Apa ini? Ini aku jalan pun menang,” bisik Ali di hatinya.

Perlumbaan ketiga pun bermula. Ali berlari dengan secepat hati ke garisan penamat. Nenek dan orang buta tidak sampaipun di tengah perlumbaan, Ali sudah menghabiskan lariannya.

“Aku menang lagi,” jerit Ali sambil menggengam tangannya ke langit.

Namun kali ini. Tiada sorakan daripada para hadirin. Sunyi.

Ali berasa pelik dan terkejut. Mengapa tiada sorakan kali ini? Mengapa tiada yang gila memuji?

“Mengapa ini berlaku? Mengapa mereka tidak meraikan kemenangan saya?” tanya Ali pada orang tua itu.

Orang tua itu berkata: “Lumba lagi. Kali ini pastikan kamu tiba di garisan penamat bersama dengan nenek dan orang buta itu.”

Ali bersetuju.

Perlumbaan keempat bermula. Kali ini Ali memegang tangan nenek dan orang buta dan sama-sama melepasi garisan penamat.

Para hadirin memberikan sorakan semangat sehinggalah akhir perlumbaan. Mereka melambai-lambai ke arah Ali. Ali terasa pelik, apa bezanya?

Orang tua itu memandang Ali sambil mengangguk kepalanya.

“Pakcik, saya tak faham. Kali ini mereka sorak untuk apa? Siapa antara kita bertiga yang menang?” tanya Ali.

Orang tua itu meletakkan tangan di belakang bahu Ali. “Dalam perlumbaan ini, kamu menang jauh lebih banyak daripada perlumbaan-perlumbaan yang lepas kerana perlumbaan ini mereka tidak menyorak untuk siapa yang menang.”

Wahai anakku,
Kadang-kala kamu terlupa erti kehidupan sebenar. Ia bukan diukur daripada jumlah angka di akuan bank, ia bukan diukur daripada jumlah pujian, ia bukan diukur daripada kedudukan, ia bukan diukur daripada jumlah sanjungan manusia dan ia bukan diukur daripada jumlah harta.

Ia diukur daripada perbuatan amal dan pahala kamu yang tidak dapat dihisab di dunia ini. Berlumbalah untuk perkara-perkara amal yang membanyakkan pahala.

Ingatlah wahai anak kesayanganku, sesuatu barangan itu bernilai bukan sangat kepada barangan, tetapi keadaan menentukan nilainnya.

Sebatang buluh yang hanyut tiada nilai dalam keadaan biasa, namun ia akan lebih mahal dari dunia dan isinya bagi seseorang yang sedang terkapai-kapai kelemasan.

Demikian juga sebotol air minuman, mungkin nilainya hanya satu ringgit dalam keadaan biasa., akan tetapi ia akan mencecah ribuan ringgit di saat sedang dahaga di padang pasir.

Demikianlah pahala tidak dirasai nilainya sewaktu di dunia, berbanding di akhira , yang semua tiada bernilai melainkan pahala.

Setiap 1 minit yang berlalu bermaksud 60 saat kamu menghampiri kematian, maka kutiplah apa yang menjadi bekalan pahala, walau sekadar manis muka pada saudaramu.

Senyum


kredit: Dato' Tuan Ibrahim