Showing posts with label PBS. Show all posts
Showing posts with label PBS. Show all posts

Friday, 14 February 2014

Rasional Sistem PBS, Masalah dan Kaedah


MEMBANGUNKAN MURID CEMERLANG: SESUAIKAH SISTEM PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)?


Tanggungjawab guru dalam membangunkan generasi besar sekali. Di sekolah, guru mengajar, menjadi kerani, mengisi data dan maklumat murid, menjadi jurulatih, dan pelakon di pentas. Pun begitu, guru tetap seronok dengan tugas mereka.

Namun, dengan terlaksananya sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada tahun 2011, keseronokan guru berubah. Guru tidak senang dengan PBS bukannya kerana beban tugas yang bertambah, tetapi tidak tahan dengan karenah merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat. Ini kerana sistemnya lembab dan selalu tergantung. Keadaan inilah yang menyebabkan terdapat guru yang bangun sebelum Subuh sewaktu trafik internet lancar bagi memasukkan data ke dalam sistem PBS kementerian.

Kementerian menyedari rungutan guru ini dan berjanji untuk mengatasinya pada April 2014 nanti. Maka, guru diminta bersabar. Pun begitu, terdapat guru yang hilang sabar. Pada 22 Februari ini, sekumpulan guru yang menamakan Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) merancang untuk mengadakan bantahan di Putrajaya.

Persoalannya, mengapa mereka mahu mengadakan bantahan ini? Apa masalahnya dengan sistem PBS ini? Perlukah sistem ini diteruskan atau dihapuskan? Bagi saya, sistem ini mempunyai banyak kelemahan yang mewajarkan Kementerian melihat semula pelaksanaannya? Apa kelemahannya? Saya perturunkan hujahnya di bawah.

MASALAH DENGAN SISTEM PBS


1. Sistem ini tiada peperiksaan akhir tahun dan tiada peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR. Jika tanpa peperiksaan, bagaimana menilai pencapaian murid? Bagaimana ibu bapa dapat mengetahui pencapaian anak mereka?

2. Sistem ini tidak sesuai dilaksanakan selagi nisbah guru-murid dan kemudahan sekolah bandar-luar bandar tidak seimbang. Di sekolah pedalaman misalnya, bagaimana mereka mahu mendapatkan kemudahan internet untuk merekodkan maklumat pelajar?

3. Sistem ini memerlukan kemudahan sekolah yang mencukupi. Bagaimana melaksanakannya dengan baik jika mendapatkan kertas dari pejabat sekolah pun sukar? Tinjauan saya mendapati guru membeli sendiri kertas, pencetak dan toner yang diperlukan mereka.

4. Cara pembahagian band tidak konsisten. Guru-guru sendiri mengakui hal ini dengan mengatakan sistem ini sebenarnya tidak jujur; adakalanya mereka terpaksa meluluskan band setiap pelajar atas dasar simpati dan hendak mengejar band.

5. Sistem ini menyebabkan tugas utama guru mengajar menjadi semakin kurang kerana masa banyak ditumpukan kepada merekodkan maklumat pelajar dan membuat kerja-kerja perkeranian. Jika macam ini, bagaimanakah kita boleh menghasilkan insan yang cemerlang?

6. Sistem ini mewujudkan murid dan pelajar yang malas membaca, malas berusaha, malas berfikir dan hilangnya sifat ingin berlumba menjadi yang terbaik. Ini kerana murid-murid tidak lagi mempunyai tekanan untuk bersedia bagi menghadapi peperiksaan. Ibu bapapun tidak ghairah lagi untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Bila malas berfikir, malas mengulangkaji, maka apa hasil cemerlangnya dengan sistem ini?

MENGATASI KELEMAHAN PBS


Hujah di atas menunjukkan kelemahan sistem PBS. Bagi mengatasinya saya mencadangkan dua perkara.

Pertama, sistem peperiksaan berpusat UPSR dan PMR perlu diadakan semula. Bagi saya buatlah sistem PBS atau apapun, tetapi jangan hapus bentuk peperiksaan yang sedia ada sekarang. Pelajar perlu dinilai, bukan sahaja untuk mengetahui tahap pencapaian mereka,tetapi untuk mereka mempunyai semangat berlumba, dan juga untuk membolehkan ibubapa menilai prestasi anak mereka.

Saya menekankan keperluan peperiksaan ini kerana saya tidak mahu melihat pelajar menjadi semakin malas dan tidak suka berfikir. Bagi saya, UPSR dan PMR sudah elok, cumanya jika hendak menilai kedua-dua aspek akademik dan kokurikulum, buatlah 50% peperiksaan dan 50% kokurikulum dan kerja kursus, selesai masalah.

Kedua, jika sistem ini mahu diteruskan juga, maka guru-guru perlu diberikan pembantu untuk merekodkan data kerana tanggungjawab utama guru adalah mengajar. Guru perlu diberikan kembali keseronokan mereka mengajar tanpa dibebankan dengan kesibukan mengisi maklumat dalam komputer.

Semoganya dengan mengembalikan keseronokan mengajar guru, maka guru kekal menjadi lilin yang menerangi perjalanan generasi akan datang. Amin.


credits: Prof. Agus

Thursday, 13 February 2014

Isu Pendidikan Malaysia: Apa Kata Insan Bernama Guru!


Lagi Luahan Isihati Guru: Yang di PM kepada saya.:
Baca Sampai Habis. Renung dan Fikir ... Pun Jadilah:
(tanpa edit dari asal ... kecuali ubah para ... agar lebih kemas)

" .......negara Jepun yg tewas dlm perang dunia kedua, bangkit menjadi negara maju dalam masa yg singkat. Begitu juga Korea yg musnah kerana perang saudara juga bangun dan telah mengalahkan Jepun dalam beberapa aspek! 

Negara kita Malaysia...masih terkial-kial mencari identiti dan solusi khasnya terhadap bidang pendidikan! ........" Ada benarnya! 

Selepas merdeka ada sekolah aliran Inggeris, sekolah tersebut dihapuskan dan dijadikan sekolah aliran Bahasa Kebangsaan, kononnya nak memartabatkan bahasa Melayu...kemudian tukar pulak Matematik Sains dlm Bahasa Inggeris (PPSMI).... alasannya istilah Sains banyak dlm bahasa Inggeris...kemudian dihentikan PPSMI...tukar pulak MBMMBI....import guru dari India ajar bhs Inggeris.....sebelum tu panggil peacecorps dari USA ajar BI.....apa yg berlaku dalam masa dua bulan, bukan murid kita yg mahir BI, tetapi mat salih tu yg pandai cakap melayu! 

Tukar menteri, maka bertukarlah polisi! Nama kementerian pun telah bertukar bbp kali. Mula2 Kementerian Pelajaran, lepas tu tukar Kementerian Pendidikan, lepas tu tukar Kementerian Pelajaran semula! Yg terkini tukar balik kpd Kementerian Pendidikan! Banyaknya ringgit yg dibelanjakan utk menukar2 tu tak dapatlah nak dihitung! 

Dulu diperkenal 6 anjakan pendidikan, bagai nak rak guru2 diarah menghafal setiap ayat....kemudian tukar menteri baru, kena hafal pulak 5 polisi baru.....sekarang ada pulak pppm, diarah hafal pulak 3 gelombang, 5 aspirasi perubahan, 6 aspirasi murid, 11 anjakan....dan macam2 lagi...

Ironinya bidang pendidikan negara semakin merudum! Sistem pentaksiran pula ditukar konon tidak mahu fokus kpd akademik semata2.,,tambah 3 lagi aspek pentaksiran....sistem komputer pulak yg sepatutnya mempercepatkan proses menjadi lambat hingga guru2 terpaksa berjaga ke 3 pagi.....kisah guru bangun jam 3 pagi ini telah menjadi bahan ketawa rakan2 guru dari negara jiran...... 

Yang menyentuh hati ialah...hingga kini...kita masih terkial2 mencari identiti dan solusi! Sedang negara jiran yg dulunya mundur, kini telah jauh di hadapan. Vietnam umpamanya, ibarat pelari yg berjaya memintas laju tanpa menoleh lagi ke belakang! Produk pendidikan kita juga terkial2 tidak menjadi.....murid2 semakin tidak beradab, ajaran agama makin terpinggir drp hidup mereka....di sekolah, masalah2 disiplin tidak berubah, bahkan semakin bertambah kronik! 

Peraturan2 disiplin sekolah masih menggunapakai pekeliling tahun 50-an.... Kalau diubahpun, ia diubah kpd yg lebih teruk dan tidak membantu membuat penambahbaikan....

Agaknya sistem pendidikan kita terlalu di "politik" kan serta di"business" kan.... Bila politik dan business mencampuri sebarang urusan...maka akan punah-ranahlah urusan itu! Ini kerana politik dan business lebih menjurus kpd kepentingan diri, parti, kroni dan kompeni! Perlantikan org2 yg diamanahkan memegang kuasa akhirnya dipilih lebih berdasar kpd kroni berbanding kompetensi! Maka kuasa diguna semahunya utk menjaga kepentingan politik dan business tadi mengakibatkan berlaku side-effects yg memudaratkan... 

Sekadar berkongsi dr rakan2 seluruh pelusuk Malaysia... bukan pendapat peribadi."



Rencana ini dikongsi dari Dr. Shukri Abdullah

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------


p/s: Secara ringkasnya, apabila dibaca post ini, hayatilah akan hadis Nabi yang berikut:



Dari Abu Hurairah r.a : Pada suatu ketika Nabi saw sedang berbicara dengan orang ramai (memberi ceramah atau pengajian), tiba-tiba datang seorang Arab Dusun menanyakan kepada beliau, ‘Bilakah datangnya saat (kiamat)?’

Nabi saw tidak langsung menjawab, tetapi beliau meneruskan pembicaraannya dengan orang ramai. Kerana sikap Nabi saw yang demikian itu, sementara orang mengatakan Nabi saw mendengar pertanyaan itu, tetapi beliau tidak menyukainya dan setengah lagi mengatakan beliau tidak mendengarnya.

Setelah Nabi saw selesai berbicara, beliau bertanya, “Di mana orang yang bertanya perkara saat (kiamat) tadi?”

Orang itu menyahut, “Saya! Ya Rasulullah!”

Rasulullah saw bersabda, “Apabila amanah telah disia-siakan orang, maka waspadalah terhadap datangnya saat (kiamat).”

Tanya orang itu, “Bagaimanakah caranya disia-siakannya amanah?”

Jawab Nabi saw, “Apabila suatu urusan (pekerjaan) diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka waspadalah terhadap datangnya saat (kiamat/kehancuran)[Hadis 0049]



Apa yang dapat diambil perhatian ialah, berilah kepada yang ahlinya.