Showing posts with label Prof. Agus. Show all posts
Showing posts with label Prof. Agus. Show all posts

Saturday, 1 March 2014

Surat untuk Kerajaan Kelantan (PART II)


Bersama ini saya sertakan senarai panjang permintaan kawan-kawan yang saya susun serta berikan kepada kerajaan negeri untuk semakan dan penilaian lanjut semua. Permintaan kawan-kawan supaya saya sampaikan komen, permintaan dan cadangan kepada kerajaan negeri telah saya lakukan dan diterima dengan baik oleh kedua-dua MB dan TMB kita dan mereka menyampaikan ucapan terima masih kepada usaha kita semua.

Hasil daripada usaha kita ini, ada tiga orang pelabur yang telah datang berjumpa dengan saya secara peribadi dan meminta kerjasama saya untuk menolong mereka mendapatkan tapak tanah bagi membina kilang yang dapat menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 700 orang kepada rakyat Kelantan dan seorang lagi mahu membina hotel tiga bintang di Bachok. Seorang lagi memohon tanah untuk mengusahakan pertanian di Loging. 

Saya menilai hanya dua projek yang saya sebutkan awal sahaja yang reliable dan saya telah sampaikan hal ini kepada kedua-dua MB dan TMB. Mereka menyambut baik dan meminta pelabur tersebut memohon melalui saluran yang betul dan berjanji akan meminta UPEN menilai hal ini dengan cepat dan cekap.

Selepas ini, saya akan lanjutkan usaha ini dengan kerajaan pusat pula dan akan berjumpa dengan Dato' Seri Mustaffa Mohamed dalam masa yang terdekat bagi menyampaikan hasrat rakyat Kelantan kepada kerajaan pusat pula. Saya akan meminta soalan yang sama dari kawan-kawan semua nanti.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berperanan memajukan negeri kita. Terima kasih atas semua kerjasama yang diberikan.

PENGURUSAN KERAJAAN TEMPATAN


1. Kebersihan bandar teruk sangat. Kutipan sampah sarap tidak terurus. Cadang sediakan banyak tong sampah dan belikan lori sampah. 
2. Tandas awam kotor dan tidak terurus. Tidak menggambarkan Kelantan sebagai sebuah negeri Serambi Mekah.
3. R&R Gua Musang kotor sebagai tempat makan dan singgahan. Tandasnya juga tidak terjaga. Tidak sesuai untuk dijadikan sebagai pintu masuk ke Kelantan.
4. Tempat buang sampah dan tong sampah di bandar-bandar tidak disediakan. 
5. Restoran dan kedai makan kotor. Contohnya, medan selera belakang pantai timur. Tempat makan memang ramai, tetapi persekitarannya tidak bersih dan penuh dengan tikus dan lalat. Tempat parkir juga teruk dengan jalan yang berlubang hingga apabila hujan, air bertakung.
6. Sistem perparitan bandar yang kotor dan tersumbat dan berbau busuk. Apabila hujan pula, air mudah melimpah jalan. Lihat HUSM.
7. Papan tanda yang uzur. Mohon kerajaan negeri melengkapkan papan tanda di jalan-jalan utama, khususnya pintu masuk ke Kelantan seperti di Gua Musang.
8. Ceriakan landskap Kota Bharu dan bandar-bandar utama. Sekurang-kurangnya tanamlah rumput di sepanjang jalan dan bersihkan kawasan tepian jalan secara berkala, terutamanya di laluan utama yang sentiasa dilalui oleh pengunjung luar. Misalnya, di Kota Bharu, tidak ada pokok-pokok bunga yang sedap mata memandang. Kalau ada pun sedikit sahaja dekat dengan bulatan jam saja. Di Rantau Panjang paling kotor dengan sampah yang bersepah.
9. Kerajaan negeri perlu perbaiki kelemahannya jika mahukan rakyat membayar cukai pintu dan lainnya.
10. Perancangan bandar lemah dengan pembinaan rumah dan taman perumahan yang tidak tersusun.
11. Kerajaan negeri perlu sediakan ruang penjaja kecil yang lebih tersusun, selesa dan kemas kerana kawasan pasar Siti Khadijah sudah padat. Bersihkan juga kipas angin dan longkang di Pasar Siti Khadijah.
12. Sediakan tong sampah bagi setiap taman perumahan. Rakyat tidak puas hati kerana cukai pintu kena bayar, tapi tong sampah dan lampu jalan tidak disediakan.
13. Rakyat cadangkan penguatkuasaan ke atas kebersihan dilakukan seperti di Singapura. Mesti saman biarpun RM5. 
14. Untuk menangani kebersihan, usaha terapkan pendidikan di kalangan masyarakat (contoh melalui kuliah agama, khutbah Jumaat, roadshow ke sekolah-sekolah) dan tindakan penguatkuasaan. 
15. Wajibkan setiap premis perniagaan mempunyai tong sampah yang standard untuk diletakkan di luar premis.

AGAMA

1. Masjid tidak ada penjagaan.
2. Tandas masjid kotor.
3. Masjid dikelilingi dengan pengemis dan tidak ada tindakan yang diambil seperti Masjid Muhamammadi. 

POLITIK

1. Apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk menunjukkan komitmennya dalam melaksanakan hudud?
2. Apakah langkah yang diambil untuk merapatkan hubungan ulama dan profesional dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang?

KEBAJIKAN SOSIAL

1. Pengemis yang ramai, mengapa tidak ambil tindakan? Mana Jabatan kebajikan masyarakat? Mana wang zakat?

PERUMAHAN RAKYAT

1. Apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan agenda perumahan rakyat? Apa kemajuannya setakat ni?
2. Selain rumah kos rendah, kerajaan negeri perlu juga beri perhatian pada rumah kos sederhana. Jangan hanya bina projek kondo mewah, tetapi bina juga apartmen di bawah 150k.
3. Rakyat mengeluh kerana harga rumah di Kelantan juga tinggi seperti di Kuala  Lumpur.
4. Rakyat mahu tahu berapa projek preumahan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri setakat ini dan projek perumahan yang sedang dibina pada tahun 2013 dan akan dibina pada tahun berikutnya?

MASALAH AIR

1. Bila kerajaan negeri mahu selesaikan masalah air rakyat? Apa tindakan yang telah diambil setakat ini?
2. Kerajaan sediakan tangki air kepada rakyat supaya bila tidak ada air, setiap rumah sudah ada simpanan air di tangki.
3. Tindakan untuk mengatasi masalah air berkarat dan juga tekanan air yang perlahan.
4. Bilakah masalah air di Kelantan akan dapat diatasi oleh kerajaan negeri?


PENGANGKUTAN DAN LEBUH RAYA RAKYAT

1. Sejauh mana kerajaan negeri serius untuk menyiapkan lebuh raya rakyat? Ini kerana tidak ada peruntukan dalam bajet 2014. Jika kerajaan tidak ada peruntukan untuk siapkan lebuh raya rakyat, mengapa tidak beri kepada syarikat swasta untuk siapkannya dengan bayaran tol dikenakan kepada rakyat?
2. Mencadangkan kerajaan negeri membuka tender tol, tetapi tender tersebut hendaklah telus dan tidak dirahsiakan dari pengetahuan rakyat. Jika tendernya telus, rakyat sanggup untuk membayar tolnya.
3. Rakyat mohon kerajaan sediakan laman web yang up-to-date untuk melaporkan perkembangan lebih raya rakyat.
4. Jika kerajaan negeri tidak mampu untuk menyiapkan lebuhraya rakyat sekarang, mohon buat bypass di persimpangan lampu isyarat Gua Musang-Kota Bharu dan persimpangan lampu isyarat Guchil kerana inilah punca kesesakan.
5. Kelantan perlukan road map jangka panjang untuk kemudahan pengangkutan awam rakyat. Selain jalan menghubungkan antara bandar ialah mengatasi kesibukan di bandar Kota Bharu. Apa tindakan kerajaan negeri setakat ini untuk mengatasi masalah kesesakan ini?
6. Kerajaan negeri perlu campur tangan dalam sistem bas ulang alik. Sudahlah perkhidmatannya sejam sekali, waktu pun tidak tepat dan ini membazirkan waktu. 
7. Mohon kerajaan negeri bina satu lagi jambatan menghubungkan Machang-Tanah Merah atau hidupkan semula Jambatan Kusial.
8. Minta kerajaan negeri baiki banyak jalan yang rosak.
9. Minta kerajaan negeri baiki dan tingkatkan jalan Kota-Bharu-Pasir Puteh.
10. Minta kerajaan negeri buat flyover dari pejabat kerajaan negeri Kota Darulnaim melepasi Wakaf Che Yeh sampai ke traffic light Tendong bagi mengelakkan kesesakan dekat kawasan Wakaf Che Yeh.
11. Gaji pekerja Jurutera Perunding Zaki (JPZ) yang tidak dibayar hingga sekarang. Seminggu sebelum Aidil Fitri, gaji dibayar separuh bagi bulan Januari dan tidak dibayar lagi sejak Januari hingga Mei. Sudah berapa kali pekerja berjumpa pihak berwajib, tapi tidak selesai. Surat terbaru dari Baldah Toyibah lagi menyakitkan hati pekerja JPZ, nampak sangat mereka tidak hendak bayar baki gaji (hal ini telah saya nyatakan secara khas kepada MB dan TMB. Jawapan MB dan TMB memuaskan hati saya).

PENDIDIKAN

1. YIK kekurangan guru terlatih dan tidak terlatih.
2. Bilakah hendak selesaikan masalah guru kontrak yang telah bekerja melebihi lima tahun dengan YIK?
3. YIK perlu tubuhkan sekolah vokasional Islam
4. Kerajaan negeri sediakan kolej teknikal supaya dapat memahirkan anak-anak Kelantan untuk memenuhi jawatan-jawatan profesional.
5. Kerajaan negeri wujudkan satu maahad tahfiz sains bagi setiap daerah dengan memulakannya sejak dari sekolah rendah lagi.
6. Minta YIK tingkatkan dua perkara: infrastrukur sekolah agama rakyat yang terlalu daif dan meningkatkan lagi sistem pembelajaran yang lebih baik supaya setanding dengan sekolah-sekolah kerajaan.
7. Mohon kerajaan buat pemantauan yang agresif ke atas kemudahan infrastruktur sekolah-sekolah YIK dan juga sistem pengajaran dan pembelajarannya.
8. Bagaimana dengan status sekolah agama negeri (SAN) dan SAR? Masih terbuka lagi ke untuk diserap ke status SABK (sekolah agama bantuan kerajaan). Ramai yang mengeluh dan tertanya-tanya apa sebabnya masih tidak diserah?

KEWANGAN NEGERI

1. Apa tindakan dan strategi kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan kerajaan negeri tanpa hanya bergantung kepada hasil balak dan hasil sedia ada? Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan kerajaan negeri tidak boleh uruskan pembangunan negeri kerana masalah dengan kerajaan pusat atau tunggu duit royalti sahaja.
2. Bagaimana dengan status pengunaan Dinar dan Dirham serta pencairannya? Rakyat yang menyimpannya mengadu kerana simpanan mereka masih belum dapat dicairkan untuk keperluan harian. Mereka membeli masa harganya tinggi dan sekarang, KGT sendiri pun tidak berusaha untuk mempromosikan penggunaannya lagi. Duit simpanan dilaburkan ke situ, tetapi tidak boleh digunakan. Apabila Dinar mahu dicairkan dengan wang kertas dengan wakil PMBK, ia mengambil masa yang sangat lama untuk dilunaskan. Mereka dakwa Dinar yang diserahkan kapada wakil PBMK untuk dicairkan telah disimpan sebagai stok kerajaan negeri untuk keperluan kerajaan negeri. Di Kota Bharu, belum ada satu pun kedai yang mahu menerima Dirham untuk belian barangan. Kalau ditanya pada KGT, jawapan mudah yang diberi adalah tidak tahu, dan banyak kali panggilanpun tidak dijawab (hal ini telah saya nyatakan secara khas kepada MB dan TMB. Saya sendiri masih kabur dengan jawapannya). 

PELANCONGAN

1. Apa tindakan kerajaan negeri untuk menarik pelancong luar ke Kelantan?
2. Mengapa kerajaan negeri tidak menjaga tempat rekreasi sehingga Kelantan yang kaya dengan ekopelancongan sepi aktivitinya? Contoh Pantai Sri Tujuh, siapa yang menyelia kawasan ini kerana pantainya kotor dan tidak terurus?
3. Apa rancangan untuk memajukan tanah tinggi lojing menjadi kawasan pelancongan seperti Cameron Highlands? Mengapa tidak dibuka ladang sayur dan strawberi serta menyediakan kemudahan hotel untuk penginapan?
4. Rakyat mahukan tempat rekreasi yang boleh dikunjungi seisi keluarga. Jika adapun sudah terabai seperti zoo di Kuala Krai, hutan lipur Bukit bakar, Jeram dan lainnya. Selain itu, surau dan tandas yang ada di kawasan ini kotor sekali sehingga tidak tergamak menggunakannya. Mengapa kolam air panas Tok Bok tidak dimajukan macam kolam air panas di Baling, Kedah? 
5. Mohon jadikan kawasan Tok Bali betul-betul sebagai pusat pelancongan.
6. Mengapa kerajaan Kelantan tidak membangunkan flora dan faunanya? Melaka telah menggunakan setiap inci dan ruang yang ada untuk menambah daya tarik ke negerinya. Ada Jeram Pasu, Jeram Linang dan lainnya. Jika tidak mampu usahakan, kenapa tidak diswastakan?
7. Majukan kelebihan yang ada seperti kebudayaan dan kesenian.
8. Beca adalah salah satu keunikan Kelantan, namun semakin pupus kerana pendapatannya tidak seberapa. Mengapa tidak menjadikan beca sebagai ikon Kota Bharu seperti di Penang dan Melaka? Mengapa tidak sediakan sedikit peruntukan untuk penarik beca ini menghias beca mereka dan sediakan kawasan khas untuk mempromosikan beca mereka?

PERINDUSTRIAN

1. Apakah sektor perindustrian tempatan yang kerajaan Kelantan bangunkan sekarang ini? Bagaimana dengan industri pertukangan, perak, emas, wau bulan, batik dan lainnya? 
2. Apakah strategi yang diambil oleh kerajaan negeri untuk membangunkan teknologi industri pertanian?
3. Apakah plan infrastruktur untuk masa depan pembangunan perindustrian di Kelantan? 
4. Apakah strategi kerajaan untuk menarik pelabur domestik atau asing? Mengapa permohonan serius dari pelabur untuk memohon bantuan kerajaan negeri sukar dilayan dan mendapat kelulusan? Kesan kelembapan pengurusan kerajaan negeri ini ialah berlakunya brain drain.
5. Tingkatkan industri pembuatan budu dan keropok, jika boleh dipasarkan sehingga ke Eropah. Thailand jual budunya sehingga ke Eropah dan Amerika.
6. Rakyat mahu tahu program-program yang dirancang berkaitan dengan pembangunan usahawan dan keusahawanan.
7. Mengapa kerajaan negeri tidak gunakan teknologi tinggi untuk industri perkapalan di Tok Bali bagi membolehkan nelayan kita guna kapal besar untuk ke laut. Ramai anak muda Kelantan berkebolehan dalam bidang bina kapal dan penyelenggaraan. 
8. Bagaimana dengan perkembangan industri gelatin halal?
9. Berapakah projek industri yang ada dalam perancangan kerajaan negeri dan berapakah bilangan pekerjaan yang boleh diwujudkan dari perindustrian ini?

SUKAN DAN BELIA

1. Apakah dasar sukan kerajaan negeri untuk meningkatkan sukan negeri supaya boleh cemerlang di peringkat negara?
2. Apakah perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan aktiviti belia?
3. Apakah perancangan negeri untuk mewujudkan taman rekreasi di setiap bandar bagi membolehkan anak muda dan warga tua berehat dan berjogging?
4. Apa tindakan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah gejala dadah yang teruk dalam kalangan kaum belia? Masalah dadah jangan dilepaskan tanggungjawabnya kepada kerajaan pusat sahaja. Kerajaan negeri juga perlu ikhtiar dengan memberi penerangan/kerjasama atau buat program untuk belia. 
5. Mana janji kerajaan kepada Persatuan Bola Keranjang (KBA) untuk membina sebuah gelanggang bola keranjang awam untuk rakyat Kelantan? Janji ini diberikan oleh Exco negeri berkaitan pada waktu itu. Rujuk link. 

https://fbcdn-sphotosba.akamaihd.net/hphotosakprn1/35436_121767067866367_7201114_n.jpg; 
stadium-baru-1.3056; dan 
http://www.sinarharian.com.my/cmlink/sinar-harian/edisi/kelantan/sedia-bina-stadium-baru-1.3056) 
(Saya menyatakan hal ini secara khusus kepada MB dan TMB. Kerajaan negeri akan melihat semula hal ini).

PERTANIAN DAN PENTERNAKAN

1. Apakah projek pertanian di tanah lojing?
2. Apakah dasar projek pertanian untuk menyediakan keselamatan makanan kepada rakyat Kelantan?
3. Bagaimana status projek kambing jamnapari?
4. Bagaimana dengan projek padi organik?
5. Apakah rancangan kerajaan negeri untuk membantu petani supaya menjadi lebih efektif?

PERHUTANAN, TANAH DAN GALIAN

1. Bagaimana dengan status lombong bijih besi yang kononnya mempunyai rezab sebanyak 2 billion Ringgit? Rakyat mahukan penjelasan kepada dakwaan YB Husam ini.
2. Rakyat minta kerajaan negeri bersikap telus dalam soal pemberian konsesi balak kerana maklumat dalaman mengatakan walaupun berlainan nama syarikat, tetapi sebenarnya hanya 2,3 org Cina sahaja yang sama membolotnya.
3. Apakah inisiatif kerajaan untuk membangunkan tanah-tanah terbiar di Kelantan, lebih-lebih lagi tanah yang dahulunya adalah bekas penanaman padi? 
4. Mengapa saban tahun tempat yang sesuai untuk menanam padi digantikan dengan bangunan? Mengapa tidak ambil model contoh Kuala Selangor?
5. Mengapa kompleks perkayuan Kelantan selalu rugi? Apakah tindakan kerajaan negeri untuk mengatasi kerugian ini?
6. Bagaimana dengan status hutan simpan gunung Stong yang dimohon untuk milikan oleh penduduk? Dahulunya kerajaan kata tanah tersebut boleh dipohon untuk milikan.
7. Bagaimana dengan perkembangan perlombongan emas di Sokor, Kuala Krai dan Gua Musang serta bijih besi di Felda Kemahang,Temangan dan Gua Musang?
8. Mengapa wujudnya sehingga lebih 200 perlombongan pasir yang terlalu banyak di sepanjang Sungai Kelantan? Akibatnya, berlaku beberapa kesan negatif seperti hakisan, pencemaran, merendahkan paras sungai dan suburnya amalan rasuah kepada pihak penguatkuasa PTG. Rakyat mohon kurangkan lesen-lesen perlombongan pasir ini kerana ia menyebabkan ekosistem sungai hancur.
9. Sejauh manakah kerajaan negeri mengadakan perundingan dengan peladang besar yang mempunyai lebih 200 ekar ke atas untuk meningkatkan pendapatan hasil negeri? 
10. Mohon kerajaan negeri mengkaji semula kedudukan tanah terbiar laluan TNB semasa LLN dulu. Tanah berkenaan tidak dibayar LLN, hanya pampasan hak laluan sahaja yang diberi. Sepatutnya TNB membayar semula tanah ini mengikut harga semasa atau dikenakan terus pungutan hasil kepada TNB.
11. Bagaimana dengan dasar dan polisi pemilikan tanah di Jajahan Kuala Krai, Mukim Enggong secara khususnya? Ini kerana dasar kerajaan hanya membenarkan satu nama sahaja di atas mana-mana lot dan tidak membenarkan tanah-tanah di sini dipecah lot walaupun ia mempunyai keluasan untuk dibahagi. Isu ini akan menjadi masalah besar apabila ia melibatkan pembahagian harta pusaka dan akan menjadi lebih rumit apabila melibatkan generasi kedua dan ketiga. 
12. Apakah status sebenar royalti minyak yang dikatakan milik kerajaan Kelantan? Rakyat minta kerajaan neegri menyediakan laman web khusus untuk melaporkan perrkembangan tentang hal ini.
13. Apakah langkah kerajaan negeri untuk memastikan pengeluaran bijih besi dikawal selia supaya tidak berlaku penipuan oleh pemaju? Mencadangkan supaya wujudkan mekanisme untuk pihak berkuasa tempatan atau kastam memantau proses pemindahan hasil bumi keluar dari Kelantan.
14. Pengeluaran bijih besi sekarang dieksport 100% keluar negara dan ini merugikan kerana kerajaan negeri hanya mengutip royalti sahaja. Mencadangkan supaya diwujudkan satu industri berkaitan besi dengan mensyaratkan supaya 30% daripada pengeluaran diproses dalam negeri dan eksport yang sudah siap. Pelabur juga disyarat mewujudkan satu kilang pemprosesan bagi menyediakan satu industri baru dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
15. Apakah betul bijih besi yang bercampur tanah telah dieksport melalui pelabuhan Tok Bali? Sekiranya ini benar, maknanya kita telah bersetuju menjual tanah kita kepada orang luar. Dalam konteks ini, kerajaan negeri dicadangkan memikirkan satu kaedah supaya yang dieksport ini adalah 100% bijih besi sahaja. Teknologi pengasingan ini telah dibina di Teluk Kalung, Kemaman dan ianya sepatutnya digunakan juga di Kelantan.


PENTADBIRAN DAN GOVERNANS 

1. Rakyat tidak puas hati dengan tadbir-urus dan ketelusan dalam membuat keputusan. Misalnya, rakyat mahukan sebarang kenaikan kos atau tarif di bawah bidang kuasa kerajaan negeri diumumkan terlebih dulu sebelum dilaksanakan untuk menunjukkan ketelusan kerajaan.
2. Sistem tender kerajaan perlu telus. Ikut Pulau Pinang yang menggunakan sistem tender terbuka, tapi Kelantan masih dengan sistem runding terus. Contohnya, pembinaan lebuhraya rakyat.
3. Rakyat minta kerajaan mewajibkan semua YB-YB terutamanya yang memegang jawatan di kerajaan negeri untuk mengisytihar harta masing-masing. Jangan hanya pandai berceramah menggunakan cerita Khalifah Umar Abdul Aziz dan minyak kereta kerajaan jika pengisytiharan harta pun tidak berlaku. 
4. Rakyat mahu tahu tentang kewajaran kerajaan negeri yang hanya memilih calon dari kalangan anak beranak dan suku sakat saja dalam menjawat setiap jawatan kosong yang diwujudkan. Kata rakyat, iklan jawatan kosong ada siap dengan jual borangnya sekali, tetapi akhirnya calon menunggu dari keluarga sendiri sudah ada. Jika begitu, apa gunanya iklankan jawatan kosong jika sudah ada calon?
5. Kerajaan negeri perlu tubuhkan Jawatankuasa Hibah bagi meningkatkan ketelusan dalam pentadbirannya seperti kerajaan Pulau Pinang yang ada CAT dan Selangor yang ada SELCAT.
6. Pentadbiran Tanah dan Jajahan perlu dipertingkatkan untuk melicinkan perkhidmatan kepada rakyat dan menambahkan hasil negeri. Pejabat Penggawa perlu diperkasa bukan ditutup. Pengurusan tunggakan hasil tanah perlu diserahkan kepada penggawa seperti masa Dato`Asri dulu. 
7. Pentadbiran tanah di peringkat mikro seperti pecah sempadan, pecah bahagian dan permohonan tanah baru diserahkan kepada Pejabat Penggawa. Satu badan pemantau perlu ditubuhkan kerana ada JET (Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah) yang opportunis. Contohnya, di mukim Meor Long Jeli, ada tanah lebih 100 ekar diluluskan kepada individu, sedangkan had sebenar yang boleh diluluskan adalah 50 ekar sahaja.

LAIN-LAIN

1. Bila YB Dato' MB (dan Exco) hendak bertemu mata dan adakan dialog bersama dengan anak-anak Kelantan di Lembah Kelang?
2. Tubuhkan sebuah entiti ilmuan seperti Majlis Profesor Negeri atau lain-lain demi memerah idea cendikiawan untuk membangunkan Kelantan. 
3. Lantik penasihat ekonomi kerajaan Kelantan.
4. Bagaimana hubungan-pusat negeri?
5. Apakah keajaan negeri mempunyai rancangan untuk memperkenalkan insurans perubatan kepada kakitangannya supaya mereka boleh ke klinik swasta untuk mendapatkan perawatan kerana mutu perkhidmatan dan masa menunggu di klinik dan hospital kerajaan adalah lama.
6. Sebelum pilihan raya, wisma Tok Guru dirasmikan di Kmpung Padang Pak Amat Pasir Puteh, namun sehingga kini hanya rumput yang makin panjang. Apa perancangan kerajan negeri untuk Wisma ini? Mengapa tidak digunakan Wisma ini?
7. Rakyat mahu kerajaan negeri tetapkan gaji minimum untuk mereka yang bekerja di kedai makan dan juga pasaraya. Ini kerana gaji di Kelantan sangat rendah berbanding dengan gaji di negeri lain, hatta lebih murah dari bandar Kuala Terengganu dan Kuantan.
8. Bagaimana dengan perkembangan projek stadium?

CADANGAN

1. Adakan makmal bagi setiap portfolio untuk merangka strategi membangunkan negeri. Jemput sama pegawai kerajaan berkaitan dan juga pemimpin UMNO untuk membincangkan hal ini.
2. Kerajaan negeri memperkasakan bahagian komunikasi korporatnya supaya aduan rakyat dapat dijawab dengan cepat oleh kerajaan negeri. Laman web juga perlu ditingkatkan untuk membolehkan kerajaan negeri berhubung dengan rakyat di alam maya. 

Selamat membaca. Sekian, terima kasih.

Kredit: Prof. Agus

Friday, 28 February 2014

Surat untuk Kerajaan Kelantan

Saya telah bertemu dengan MB dan TMB Kelantan pada 14 Oktober 2013 seperti yang dijanjikan. Pertemuan dengan TMB adalah secara empat mata dan dengan MB adalah enam mata.

Dalam pertemuan tersebut saya menyampaikan soalan-soalan yang saya kumpul dari rakan-rakan fb dan memohon kerajaan negeri supaya mengambil perhatian berat kepada semua perkara yang ditimbulkan oleh rakan-rakan. Alhamdulillah, kerajaan negeri berjanji akan melihat kesemua teguran dan cadangan yang kita berikan dan akan menyelesaikan kesemuanya secepat mungkin dengan syarat kita yang menuntut memahami satu perkara: kerajaan negeri mempunyai kekangan kewangan.

Saya telah nyatakan kepada kerajaan negeri, soal menambahbaik pentadbiran negeri tidak memerlukan kewangan dan soal menjaga kebersihan bandar juga tidak memerlukan peruntukan kewangan yang banyak. Kerajaan negeri memahami kehendak kita tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada kita semua atas desakan, teguran dan cadangan yang kita berikan.

Fokus pertemuan saya adalah kepada masalah air dan lebuh raya rakyat. Ini memang merupakan agenda utama saya. Saya berpuas hati dengan penjelasan kerajaan negeri mengenai pembinaan lebuh raya. Apa yang boleh saya katakan setakat ini ialah: (i) kerajaan telah mempunyai RM2.6 juta hasil kutipan dari orang ramai; (ii) kerajaan negeri akan membina laluan Machang-Kuala Krai dengan peruntukan RM669 juta; (iii) laluan Kota Bharu-Machang akan dibina oleh kerajaan pusat seperti pengumuman yang telah dibuat oleh kerajaan pusat dengan kerajaan negeri memudahkan urusan pengambilan tanah; (iv) kerajaan negeri mempunyai 3 pilihan untuk membiayai laluan Machang-Kuala Krai (pilihan tersebut logik pada saya dan saya simpan dahulu maklumatnya); (v) kerajaan negeri dalam perundingan terakhir dengan kontraktor untuk memulakan pembinaan dan sekiranya berjalan dengan baik, Insya' Allah, pembinaan akan dimulakan secepatnya pada (awal) tahun 2014.

Mengenai masalah air pula, saya tidak mendapat jawapan yang konkrit mengenainya, melainkan kerajaan negeri mempunyai masalah kewngan. Begitupun, kerajaan negeri memberi perhatian serius tentang masalah ini dan sekarang ini sedang berurusan dengan pihak pusat untuk menyerahkan air supaya diurus oleh SPAN.

Berkaitan dengan soalan yang saya berikan kepada kerajaan negeri, saya akan meletakkan soalan tersebut di wall saya kemudian.

Saya juga berjanji dengan kawan-kawan untuk menguruskan hal rakyat dengan kerajaan pusat selepas ini. Saya akan mengadakan pertemuan dengan Dato Seri Mustapha Mohamed dalam masa yang terdekat ini bagi menyampaikan perasaan dan permintaan rakyat Kelantan kepada kerajaan pusat. Saya akan tetap meminta kerjasama kawan-kawan untuk memberikan saya soalan dan permintaan yang perlu saya bawa apabila berjumpa dengan kerajaan pusat nanti. Mohon tunggu pengumuman yang saya akan buat.

Doakan yang terbaik untuk kebaikan rakyat dan negeri kita. Salam.


kredit: Prof. Agus

Wednesday, 26 February 2014

Pemimpin Muda Negara


SIAPA PEMIMPIN PEMUDA YANG HEBAT?


Dalam pilihan raya yang lalu, ramai yang bercakap perlunya pemimpin parti politik memahami aspirasi anak muda sebagai asas penting untuk menang dalam pilihan raya. Maka, banyaklah parti politik meletakkan calon anak muda sebagai wakil masing-masing. Setelah 6 bulan pilihan raya berlalu, bagaimana dengan prestasi ahli parlimen muda di parlimen? 

Dari barisan pembangkang saya melihat yang aktif di parlimen adalah dari DAP dan juga PKR, itupun beberapa sahaja yang betul-betul aktif. Dari PAS, saya melihat ahli parlimen mudanya sepi. Jika meragui kenyataan saya ini, pergilah ke parlimen, sunyi!

Contohnya, semasa perbahasan laporan audit, suara dari ahli parlimen muda PAS tidak ada yang dapat dibanggakan. Dari PKR juga sunyi kerana YB Rafizi Ramli (36 tahun) tidak ada. Mujurnya ada YB Nurul Izzah (33 tahun). Maka saya bertanya, mengapakah begitu sunyi suara ahli parlimen muda pembangkang dari PAS dan PKR di parlimen? Sukar saya mahu mencari jawapannya. Atau mungkinkah saya terlepas pandang?

Tetapi jika dari DAP, saya lihat ramai yang menyerlah. Antaranya ialah Ahli Parlimen Serdang YB Ong Kian Ming (38 tahun), Ahli Parlimen Bukit Bendera 2008 dan Kluang (2013) Liew Chin Tong (35 tahun), dan Ahli Parlimen Serdang 2008 dan Kulai 2013 Teo Nie Ching (32 tahun). Mereka ini aktif dan mempunyai maklumat di tangan untuk berdebat dan membahaskan sesuatu isu. Bagaimana ahli parlimen muda DAP ini boleh aktif? Siapa yang membekalkan mereka maklumat untuk terlibat dalam debat di parlimen atau apakah itu adalah hasil usaha sendiri? Saya sendiri tidak pasti.

Yang saya pasti ialah saya puas hati dengan YB Khairy Jamaluddin (37 tahun) sebagai menteri kabinet. Ya, beliau mungkin ada zaman silapnya semasa di ‘Tingkat 4,’ tapi beliau telah banyak berubah ke arah politik yang lebih matang dan demokratik sesuai dengan aspirasi rakyat hari ini.

Berkelulusan Oxford dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi serta Sarjana dalam bidang Perundangan dan Teori Politik dari University College London, saya senang melihat beliau berhujah dan menjawab soalan.

Nampak beliau membuat kerja rumah, bersikap terbuka dan berani berhujah. Ada ketikanya hati saya berkata: Kalaulah PM DS Najib boleh mencari ramai lagi pemimpin dalam UMNO seperti beliau, UMNO akan terus kekal menerajui kerajaan tanpa cabaran sengit dari pembangkang.

Siapakah anak muda lain yang hebat dalam UMNO? Yang saya nampak ialah Dr Najmil Faiz, anak muda lulusan PhD dari Universiti Brunel, tetapi beliau bukan ahli parlimen. Beliau baru menang jawatan Ketua Pemuda UMNO Kuala Terengganu dan mempunyai personaliti yang menarik. Jikalah beliau dan YB Khairy dapat berganding bahu dan bekerjasama membawa aspirasi yang diingini anak muda serta didokong pula oleh beberapa pemimpin lain yang mempunyai kaliber yang sama, saya lihat semakin sukarlah pembangkang untuk mencabar status quo UMNO dalam pilihan raya akan datang.

Pun begitu, jangan dilupa dalam PAS juga akan muncul pemimpin pemudanya yang juga dinamik selepas muktamar PAS nanti. Apakah itu Suhaizan Kayat, Zulhazmi Shariff atau Kamarulzaman Mohamed, hanya waktu menentukan?

Jika PAS dapat meletakkan pemimpin mudanya yang agresif sesuai dengan trend politik hari ini, maka persaingan sengit antara UMNO-PAS akan berlaku. Jika Pemuda PAS tidak dapat mencabar wibawa KJ sebagai Ketua Pemuda UMNO, maka akan semakin kuatlah sokongan anak muda kepada UMNO dan BN.

Setakat ini, begitulah nampaknya. Pemuda PAS dan pembangkang hilang staminanya.


kredit: Prof. Agus

Sunday, 23 February 2014


BICARA HARI MINGGU: MENCARI MAKSUD PERPADUAN MELAYU?


Dalam wawancara dengan Berita Harian, Profesor Diraja Ungku Aziz menyatakan perpaduan Melayu sukar dicapai. Ini kerana kurangnya semangat patriotisme dalam jiwa orang Melayu. Kata Prof. Ungku lagi: "If there is (spirit of patriotism), they would not be challenging the government.” 

Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan pandangan Prof. Ungku. Tapi bagi saya, mengandaikan Melayu yang tidak patuh pada kerajaan sebagai kurang patriotismenya adalah kenyataan umum yang boleh dibahaskan.

Bagi sesetengah yang lain pula melihat perpaduan Melayu hanya akan dicapai apabila UMNO dan PAS bersatu. Betulkah begitu?

Sukar menjawab soalan ini kerana tafsirannya pelbagai bergantung pada ‘baju politik’ apa yang kita pakai. Sebab itulah saya tidak mendefinisikan perpaduan Melayu di sini. Yang saya cuba jelaskan ialah konflik politik orang Melayu telah beberapa kali berlaku.

Pertama, pada tahun 1969 apabila Perikatan gagal mempertahankan kemenangan dua pertiga majoritinya sehingga membawa kepada peristiwa 13 Mei. Selepas itu Dr Mahathir dipecat dari UMNO dan Tunku pula meletakkan jawatan memberi laluan kepada Tun Abdul Razak menjadi PM Malaysia.

Kedua, pada tahun 1987 UMNO bergolak lagi apabila Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir untuk jawatan presiden UMNO. UMNO menghadapi krisis kepimpinan dan hasilnya muncullah parti Semangat 46 yang menggugat hegemoni BN dalam PRU 1990.

Ketiga apabila berlaku krisis kewangan pada tahun 1997. Akibat krisis ini, UMNO sekali lagi bergolak apabila DSAI dipecat dari jawatannya dalam kerajaan dan parti. Maka, muncullah Reformasi dan tertubuhlah Parti KeAdilan Rakyat.

Sejak itu, kuasa dan hegemoni UMNO dicabar sehingga muncul tanggapan mencabar kuasa UMNO itu sebagai mencabar kuasa Melayu dan mencabar perpaduan Melayu. Saya fikir ramai yang melihat definisi perpaduan Melayu dalam konteks ini.

Betulkah tanggapan sebegitu? Saya tidak mahu mentafsirnya. Tapi yang jelas ialah akibat kerisauan kepada kuasanya yang semakin dicabar, maka UMNO terlalu sibuk bercakap tentang perpaduan Melayu sehingga kurang memberi perhatian kepada kekuatan parti-parti lain dalam komponen BNnya. Selain itu, muncul NGO yang dilihat terlalu bergerak ke kanan seperti Perkasa. Akibatnya bukan Melayu yang selama ini menjadi pendokong kuat BN mulai beralih menyokong pembangkang.

Hasilnya, pada PRU 2008 berlakulah tsunami politik dan pada tahun 2013, berlaku pula tsunami Cina. Pada PRU 2008, dikatakan tsunami politik kerana majoriti pengundi India dan Cina tidak menyokong BN, dan pada PRU 2013 dikatakan tsunami Cina kerana majoriti pengundi Cina tidak menyokong BN. Menariknya, kedua-dua tsunami ini tetap mempertahankan kuasa BN biarpun tanpa kemenangan majoriti dua pertiga.

Sekarang ini berlaku isu kalimah Allah pula. Selesaikan isu ini dengan cepat sebelum ia merebak menjadi barah. Sekiranya isu ini tidak selesai, maka akan berlaku satu lagi tsunami. Bila tsunami ini berlaku, akan tercabar hebatlah kuasa Melayu, kuasa UMNO dan kuasa BN.

Tsunami apakah itu? Itulah tsunami Borneo. Apabila tsunami ini datang, waktu itu usah tercari lagi maksud perpaduan Melayu. Tsunami itu sudah mulai terbentuk sekarang.


kredit: Prof. Agus

Thursday, 20 February 2014

Wujud Pesaing, Minima Monopoli, Peningkat Prestasi


UNTUK MUTU YANG LEBIH BAIK, ASTRO PERLU ADA PESAING



Semalam lagi badan saya tidak sihat. Berkebetulan hari ini hari minggu, maka saya bercadang untuk menonton satu dua program Astro. Malang sekali, siarannya tergendala disebabkan oleh gangguan cuaca.

Saya lalu memikirkan tentang caj Astro. Saya tahu Astro telah menaikkan caj yurannya pada 24 November 2013, iaitu RM2 untuk pakej Family dan RM6 untuk Pakej Sports. Semasa mengumumkan kenaikan itu dahulu, pihak Astro menyatakan komitmennya untuk terus memberikan nilai yang terbaik kepada semua pelanggannya.

Betulkah Astro memberikan perkhidmatan terbaik?



Saya tidak nampak terbaiknya. Hari ini, dengan sekadar angin bertiup sepoi sahaja, siarannya terganggu. Aduh! Jika di England, tempat saya belajar dahulu, hujan atau ribut, siaran tv berbayarnya tidak pula terganggu. Itulah bezanya.

Mengenang kembali, saya ingat hal ini berlaku sejak Astro mula diperkenalkan lagi. Sudah banyak rungutan dibuat, tetapi sampai sekarang Astro tidak mengatasinya. Ini kerana jika Astro buat pun tidak ada tambahan keuntungan padanya. Yang Astro buat ialah memperkenalkan pakej baru yang melibatkan tambahan yuran dan menggantikan Astro dengan Astro Beyond yang juga melibatkan tambahan yuran kepada pelanggannya.

Apa lagi kelemahan mutu perkhidmatan Astro?



i. Menyiarkan rancangan sama secara berulang-ulang sehingga naik jemu untuk melihatnya.

ii. Memperkenalkan pakej baru untuk mewajarkan tindakannya mengenakan caj yang baru kepada pelanggan. Astro perlu ingat, apabila cajnya naik, maka pelanggan juga perlu membayar cukai tambahan kepada caj baru yang dikenakan. Jadi di sini sudah berlaku dua kenaikan. Tidakkah Astro terfikir dengan beban yang dipikul oleh rakyat dengan kenaikan ini?

iii. Jika ada masalah teknikal, apabila kita telefon Astro untuk dibaiki tindakannya lambat sekali melainkan cepat memotong talian kita apabila terlambat membayar bil.

Mengapa Astro boleh bersikap begini?

Ini kerana Astro memonopoli siaran berbayar di negara ini. Pada 2 Julai 2011, kerajaan pernah berjanji untuk menghapuskan monopoli ini, namun sehingga hari ini janji tersebut sepi begitu sahaja. Saya sendiri tidak pasti apakah tindakan Astro menaikkan yurannya pada November lalu adalah dengan kelulusan menteri atau sebaliknya.

Yang saya tahu ialah sebelum menaikkan caj yuran Astro perlu terlebih dahulu perlu memaklumkan hal ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). SKMM pula perlu menyiasat kewajaran permintaan Astro tersebut. Selepas itu, Menteri dengan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Seksyen 199 Akta Komunikasi dan Multimedia boleh menentukan harga setiap perkhidmatan yang ditawarkan demi kepentingan orang ramai.

Namun, dalam soal ini saya tidak mempunyai maklumat lengkap siapa yang memberi kelulusan kepada Astro untuk menaikkan caj ini. Yang saya tahu ialah Astro menyatakan kenaikan pada bulan November lepas adalah buat pertama kali dalam tempoh dua tahun dan menyifatkannya sebagai ‘peningkatan sederhana’.

Yang saya tahu juga ialah kualiti perkhimatan Astro lemah.

Yang saya tahu ialah Astro memonopoli siaran tv berbayar di negara ini. Ini berbeza dengan negara lain. Misalnya, India dan Indonesia mempunyai enam operator TV berbayar, dan Australia tiga. Salah satu syarikat TV berbayar di India menawarkan 155 saluran TV dengan harga serendah RM9.17, jauh lebih murah dengan caj bayaran di negara kita.

Saya teringat semasa saya di Bahrain dan Oman, saya tengok siaran tvnya di hotel sampai ratusan saluran. Kita di sini, masuklah hotel berapa bintang pun, siaran tvnya terbatas sekali. Jadi, kalau kita mahu berehat di hotel sambil menonton tv, jawapannya bukanlah di hotel Malaysia.

Rugikah Astro jika tidak menaikkan yuran tambahan? 



Astro menyatakan ia terpaksa menaikkan pakej sukan kerana bayaran untuk mendapatkan siaran sukan telah meningkat dan Astro terpaksa menampung kosnya dengan banyak. Wajarkah alasan Astro tersebut? Saya fikir di peringkat ini masih belum wajar. Ini kerana Astro boleh menampung kenaikan kosnya dengan bayaran iklan yang diperolehinya. Tontonlah program popular Astro, penuh dengan iklan yang cukup lama. Jika Astro hendak menaikkan bayarannya, maka kurangkanlah durasi iklan tersebut. Astro juga perlu berlaku adil kepada pelanggannya.

Menutup rungutan hari minggu ini sambil menunggu demam dan sakit badan saya sembuh, saya mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah berikut.

i. Hapuskan monopoli Astro.
ii. Nilai semula caj yang dikenakan oleh Astro supaya rakyat tidak lagi terbeban dengan kos bayaran bil yang semakin tinggi.
iii. Menyediakan saluran tv sukan untuk anak-anak muda menonton sukan yang dibiayai oleh kerajaan. Ini supaya Astro tidak lagi memonopoli siaran sukan dan tidak lagi sewenang-wenangnya menaikkan caj langganan kepada pelanggannya.

Di akhirnya, dengan tahap rakyat resah dengan kenaikan pelbagai barangan dan kos hidup sekarang ini, wajar sekali untuk Astro menurunkan semula caj yurannya, sebaliknya yang perlu dinaikkan ialah mutu perkhidmatannya.

Sesungguhnya, hari ini hasrat saya untuk menonton program Astro tergendala seketika.



kredit: Prof. Agus

Wednesday, 19 February 2014

Hudud di Malaysia, Kelantan dan Pusat

Alhamdulillah, akhirnya ketemu post berkenaan hudud oleh prof. Agus. Berikut dikongsikan realiti isu hudud di Malaysia dari kaca mata prof. Agus

---------------------------------------------------------------------------------------------

Hudud ini untuk dilaksanakan bukan untuk dipolitikkan. Tetapi bolehkah hudud ini dilaksanakan di Kelantan tanpa kelulusan kerajaan pusat? 

Saya ingin nyatakan undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan kerajaan pusat. Ini kerana undang-undang hudud melibatkan penguatkuasaan undang-undang jenayah yang bidang kuasanya terletak di bawah kerajaan pusat seperti peruntukan Senarai 1, Jadual ke-9 Perlembagaan.

Pun begitu, jika negeri tetap mahu melaksanakan hukum hudud ini, ia boleh dilakukan dengan meminta kerajaan pusat (parlimen) membuat undang-undang bagi hal yang sedemikian seperti yang terdapat dalam Perkara 76(1)(c). Hal ini pernah dibuat oleh kerajaan negeri selepas Undang-Undang Jenayah Hudud Kelantan diluluskan oleh DUN pada tahun 1993, namun ditolak poleh kerajaan pusat pada tahun 1994.

Setelah ditolak oleh kerajaan pusat, maka habislah ikhtiar negeri untuk melaksanakan hukum ini di negerinya. Jika dilaksanakan juga, maka ini adalah bertentangan dngan Perkara 75 perlembagaan yang menyatakan: “Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”

Jadi, apa tindakan negeri jika mahu melaksanakan hudud? Negeri tidak perlu membawa hal ini ke pentas ceramah dan berterusan berjanji akan melaksanakan hukum ini. Itu omongan kosong. Yang boleh dilakukan ialah kerajaan negeri dan pusat berunding dan bertolak ansur untuk saling menyokong hukum ini di parlimen bagi dilaksanakan di Kelantan. Maka, ini memerlukan kekuatan politik kedua-dua peringkat kerajaan.

Jika kedua-dua peringkat kerjaaan tidak boleh bertolak ansur, carilah kaedah lain. Tapi janganlah berterussan mendesak hukum ini dilaksanakan jika tidak adanya kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri.

Cukuplah politikkan isu hudud ini.


kredit: Prof. Agus

Sunday, 16 February 2014

Politik Thailand: Pengajaran Buat Kita


KRISIS POLITIK THAILAND: APA PENGAJARAN UNTUK MALAYSIA?


Thailand adalah sebuah negara yang paling kerap bertukar kuasa antara orang awam dan tentera. Dari 1932 hingga 2006, telah berlaku sebanyak 17 kali rampasan kuasa—10 kali berjaya dan 7 kali gagal. 

Rampasan kuasa pertama dilakukan pada tahun 1932 oleh sekumpulan anak muda lulusan luar negara sehingga memaksakan Raja Prajadhipok ketika itu mengubah Thailand daripada sebuah negara monarki mutlak kepada negara raja berperlembagaan.

Rampasan kuasa terakhir pula adalah pada 19 September 2006 apabila pihak tentera yang diketuai Jeneral Sonthi Boonyaratglin mengambil alih kuasa dan menyingkirkan PM Thaksin Shinawatra yang ketika itu berada di New York menghadiri persidangan PBB.

Sejak rampasan kuasa terakhir tersebut, Thailand tidak pernah aman. PM bertukar tangan, tetapi keamanan tidak juga tercapai. Semuanya kerana satu sebab—pengaruh bekas PM Thaksin yang berada dalam buangan. Thaksin Shinawatra dicintai oleh jutaan rakyatnya yang miskin kerana dasarnya yang prorakyat, akan tetapi tidak mendapat dukungan dari pegawai kerajaan, tentera dan golongan kelas menengah. Mengapa begitu? Ini kerana Thaksiin menggunakan wang rasuah untuk merasuah rakyat miskin supaya menyokongnya.

Setelah enam tahun dalam buangan, adiknya Yingluck Shinawatra menjadi PM wanita Thailand yang pertama setelah menang besar dalam pilihan raya pada 3 Julai 2011 mengalahkan Abhisit Vejjajiva. Pun begitu, politik Thailand terus bergolak. Krisis terakhir ialah pada November 2013 apabila Yingluck cuba meluluskan Undang-Undang Pemberian Amnesti untuk membolehkan abangnya pulang ke tanah air setelah hidup di luar negara kerana tuduhan rasuah yang dihadapinya.

Tindakan Yingluck ini mendapat bantahan keras pembangkang yang diketuai oleh bekas ahli Parlimen Demokrat, Suthep Thaugsuban. Suthep menuduh Yingluck menjadi boneka abangnya, Thaksin. Tindakan Yingluck yang tidak menghiraukan bantahan Suthep ini menyebabkan beliau dan kumpulan baju kuningnya mengadakan demonstrasi jalanan sehingga mencetuskan krisis yang besar di Thailand.

Kesan Krisis kepada Thailand


Krisis ini telah memberi kesan besar kepada Thailand. Pertama, krisis ini telah menyebabkan ekonomi Thailand merosot. Pelabur tidak datang lagi kerana bimbang berlakunya rampasan kuasa tentera. Akibatnya, pertumbuhan ekonomi Thailand menjunam dari 6.5% pada tahun 2012 menjadi hanya 2.7% pada suku ketiga 2013.

Kedua, sektor pelancongan yang menyumbang 7% kepada pendapatan negara telah merosot kerana pelancong asing tidak lagi datang ke Thailand kerana bimbang ancaman terhadap keselamatan mereka, apatah lagi peringatan telah diberikan oleh kedutaan mereka supaya menangguhkan dahulu perjalanan ke Thailand.

Ketiga, ketidakstabilan politik ini meredam belanja pengguna domestik serta rancangan pelaburan oleh syarikat-syarikat asing. Banyak syarikat multinasional yang menangguhkan pelaburan mereka di Thailand. Akibatnya ramai rakyat Thailand kehilangan peluang pekerjaan.

Keempat, krisis ini memberi kesan kepada kestabilan politik Thailand. Kerajaan gagal berfungsi dengan baik dan jika hal ini berterusan, maka Thailand sekali lagi terdeddah kepada rampasan kuasa tentera.

Bagaimana Menyelesaikan Krisis Politik Thailand?


Justeru krisis ini memberi kesan kepada ekonomi dan politik Thailand, maka ia perlu segera diselesaikan. Pertama, dua pihak yang bertelagah ini—kumpulan baju kuning dan baju merah—perlulah bersedia untuk berdialog dan berbincang. Jika gagal untuk bertolak ansur, maka perlulah ada orang tengah yang dapat menganjurkan perbincangan di antara kedua-dua pihak ini.

Kedua, isu Thaksin tidak boleh dibiarkan berlarutan. Sekiranya Thaksin masih dibiarkan bebas di luar negara tanpa pulang menghadapi undang-undang negara, maka selagi itulah rakyat Thailand akan terus berpaksi kepada dua kumpulan—baju kuning yang penyokongnya ramai di Bangkok dan bahagian selatan Thailand—dan baju merah yang penyokongnya juga ramai di Bangkok dan utara Thailand.

Yang pastinya, jika krisis ini tidak dapat diselesaikan, ia bakal menyaksikan lebih banyak keganasan serta pertumpahan darah. Kematian 90 orang penyokong baju merah dalam demonstrasi pada tahun 2010 hendaklah dielakkan dari berlaku lagi.

Dari kisah di atas, apakah pengajaran untuk kita? Tafsirlah!



Kredit: Prof. Agus

Friday, 14 February 2014

Rasional Sistem PBS, Masalah dan Kaedah


MEMBANGUNKAN MURID CEMERLANG: SESUAIKAH SISTEM PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)?


Tanggungjawab guru dalam membangunkan generasi besar sekali. Di sekolah, guru mengajar, menjadi kerani, mengisi data dan maklumat murid, menjadi jurulatih, dan pelakon di pentas. Pun begitu, guru tetap seronok dengan tugas mereka.

Namun, dengan terlaksananya sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada tahun 2011, keseronokan guru berubah. Guru tidak senang dengan PBS bukannya kerana beban tugas yang bertambah, tetapi tidak tahan dengan karenah merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat. Ini kerana sistemnya lembab dan selalu tergantung. Keadaan inilah yang menyebabkan terdapat guru yang bangun sebelum Subuh sewaktu trafik internet lancar bagi memasukkan data ke dalam sistem PBS kementerian.

Kementerian menyedari rungutan guru ini dan berjanji untuk mengatasinya pada April 2014 nanti. Maka, guru diminta bersabar. Pun begitu, terdapat guru yang hilang sabar. Pada 22 Februari ini, sekumpulan guru yang menamakan Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) merancang untuk mengadakan bantahan di Putrajaya.

Persoalannya, mengapa mereka mahu mengadakan bantahan ini? Apa masalahnya dengan sistem PBS ini? Perlukah sistem ini diteruskan atau dihapuskan? Bagi saya, sistem ini mempunyai banyak kelemahan yang mewajarkan Kementerian melihat semula pelaksanaannya? Apa kelemahannya? Saya perturunkan hujahnya di bawah.

MASALAH DENGAN SISTEM PBS


1. Sistem ini tiada peperiksaan akhir tahun dan tiada peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR. Jika tanpa peperiksaan, bagaimana menilai pencapaian murid? Bagaimana ibu bapa dapat mengetahui pencapaian anak mereka?

2. Sistem ini tidak sesuai dilaksanakan selagi nisbah guru-murid dan kemudahan sekolah bandar-luar bandar tidak seimbang. Di sekolah pedalaman misalnya, bagaimana mereka mahu mendapatkan kemudahan internet untuk merekodkan maklumat pelajar?

3. Sistem ini memerlukan kemudahan sekolah yang mencukupi. Bagaimana melaksanakannya dengan baik jika mendapatkan kertas dari pejabat sekolah pun sukar? Tinjauan saya mendapati guru membeli sendiri kertas, pencetak dan toner yang diperlukan mereka.

4. Cara pembahagian band tidak konsisten. Guru-guru sendiri mengakui hal ini dengan mengatakan sistem ini sebenarnya tidak jujur; adakalanya mereka terpaksa meluluskan band setiap pelajar atas dasar simpati dan hendak mengejar band.

5. Sistem ini menyebabkan tugas utama guru mengajar menjadi semakin kurang kerana masa banyak ditumpukan kepada merekodkan maklumat pelajar dan membuat kerja-kerja perkeranian. Jika macam ini, bagaimanakah kita boleh menghasilkan insan yang cemerlang?

6. Sistem ini mewujudkan murid dan pelajar yang malas membaca, malas berusaha, malas berfikir dan hilangnya sifat ingin berlumba menjadi yang terbaik. Ini kerana murid-murid tidak lagi mempunyai tekanan untuk bersedia bagi menghadapi peperiksaan. Ibu bapapun tidak ghairah lagi untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Bila malas berfikir, malas mengulangkaji, maka apa hasil cemerlangnya dengan sistem ini?

MENGATASI KELEMAHAN PBS


Hujah di atas menunjukkan kelemahan sistem PBS. Bagi mengatasinya saya mencadangkan dua perkara.

Pertama, sistem peperiksaan berpusat UPSR dan PMR perlu diadakan semula. Bagi saya buatlah sistem PBS atau apapun, tetapi jangan hapus bentuk peperiksaan yang sedia ada sekarang. Pelajar perlu dinilai, bukan sahaja untuk mengetahui tahap pencapaian mereka,tetapi untuk mereka mempunyai semangat berlumba, dan juga untuk membolehkan ibubapa menilai prestasi anak mereka.

Saya menekankan keperluan peperiksaan ini kerana saya tidak mahu melihat pelajar menjadi semakin malas dan tidak suka berfikir. Bagi saya, UPSR dan PMR sudah elok, cumanya jika hendak menilai kedua-dua aspek akademik dan kokurikulum, buatlah 50% peperiksaan dan 50% kokurikulum dan kerja kursus, selesai masalah.

Kedua, jika sistem ini mahu diteruskan juga, maka guru-guru perlu diberikan pembantu untuk merekodkan data kerana tanggungjawab utama guru adalah mengajar. Guru perlu diberikan kembali keseronokan mereka mengajar tanpa dibebankan dengan kesibukan mengisi maklumat dalam komputer.

Semoganya dengan mengembalikan keseronokan mengajar guru, maka guru kekal menjadi lilin yang menerangi perjalanan generasi akan datang. Amin.


credits: Prof. Agus

Thursday, 13 February 2014

Nota Hari Minggu: Bola Sepak Kita Pun Ganas Juga

Dahulu, mutu bolasepak negara kita tidaklah teruk. Pada tahun 1972, kita melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Munich setelah menewaskan negara-negara hebat Asia seperti Jepun dan Korea Selatan. Pemain-pemain kita ketika itu ialah seperti adik beradik Namat dan Shaharuddin Abdullah, Abdullah Nordin (ketua pasukan) Wong Fook Chuan, Zulkifli Norbit dan N. Thanabalan.


Pada tahun 1980, negara kita sekali lagi layak ke Sukan Olimpik Moscow, namun memboikotnya kerana menentang tindakan Kesatuan Soviet menceroboh Afghanistan. Antara pemain yang menjadi sanjungan peminat ketika itu ialah Mokhtar Dahari, V. Arumugam, Santok Singh, Serbegeh Singh dan Soh Chin Aun.

Namun, memasuki tahun 1990-an, mutu bola sepak kita merudum sekali. Faktornya banyak untuk dibincangkan bermula dari rasuah, perubahan format liga dan kepimpinan FAM. Akibatnya ranking Malaysia yang berada di tangga 75 pada Ogos 1993 (di atas Turki dan Afrika Selatan), kini berada di kedudukan 154 pada Januari 2014 mengikut senarai FIFA, hanya setanding dengan pasukan Bangladesh, Maldives dan Chad.

MINAT BOLA SEPAK MENINGKAT SEMULA



Setelah beberapa waktu bola sepak negara kita sepi, ia kembali mendapat perhatian peminat setelah negara kita menjadi juara Bola Sepak ASEAN yang dikenali sebagai Piala Suzuki pada tahun 2010. Kehebatan Malaysia menyerlah lagi apabila di Stadium Bong Karno, kita membaham Garuda dengan penalti 4-3 untuk menjadi juara Sukan Sea 2011.

Dalam perlawanan liga tempatan pula, bola sepak Malaysia juga mulai mendapat dokongan peminat apabila muncul pasukan Kelantan dan beberapa pasukan hebat dari negeri lain yang bertanding dalam Liga Super. Kesengitan ini bertambah lagi apabila pasukan Johor yang dikenali sebagai JDT membawa warna baru dalam bola negara dengan mengimport pemain-pemain mahal. Maka bergemalah kembali stadium dengan laungan dan sorokan penonton.

BOLA SEPAK MULA MENJADI GANAS



Namun, kemeriahan ini tidak lama. Pada 15 Januari 2013, pasukan JDT membawa askarnya sendiri ke stadium Kota Bharu untuk mengawal keselamatan pasukannya, suatu tindakan yang disifatkan oleh DS Ahmad Shabery Cheek, menteri sukan ketika itu sebagai bukan budaya sukan kita dan tidak sewajarnya berlaku.

Awal tahun 2014 pula, sudah berlaku dua kekecohan besar, semuanya melibatkan pasukan Johor. Pada 2 Februari, riuh satu negara pasal insiden dalam terowong yang melibatkan pasukan JDT dengan T-Team sehingga pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan atas alasan keselamatan. Pada 7 Februari, berlaku pula kekecohan di Stadium Darul Makmur yang juga melibatkan pasukan JDT.

Jelasnya, sudah wujud budaya samseng dan ganas dalam bola sepak kita.

FAM PERLU TEGAS



Pertanyaannya, mengapa bola sepak yang sepatutnya menjadi sukan yang dapat menghiburkan anak muda dan menyatukan rakyat sudah bertukar menjadi satu pemainan ganas yang melibatkan pergaduhan? Di manakah semangat kesukanan kita? Siapakah yang membawa budaya ini?


Football Association Malaysia (FAM)
credits to: Pemilik Gambar

Bagi mengekalkan minat rakyat kepada sukan bola sepak kita, adalah penting bagi FAM mengambil tindakan yang tegas untuk memastikan kejadian yang sama tidak lagi berulang dalam sukan bola sepak kita. FAM perlu menghukum sesiapa sahaja pemimpin tertinggi, pengurus atau pemain bola sepak yang terlibat dalam kejadian yang mencemarkan maruah bola sepak negara.

Jangan hanya nila setitik rosak susu sebelanga.



AYUH SEMARAKKAN LIGA KITA!!!

"Jika bukan kita, siapa lagi?, 

Jika tidak sekarang, bila lagi?"