Showing posts with label Perpaduan. Show all posts
Showing posts with label Perpaduan. Show all posts

Sunday, 23 February 2014


BICARA HARI MINGGU: MENCARI MAKSUD PERPADUAN MELAYU?


Dalam wawancara dengan Berita Harian, Profesor Diraja Ungku Aziz menyatakan perpaduan Melayu sukar dicapai. Ini kerana kurangnya semangat patriotisme dalam jiwa orang Melayu. Kata Prof. Ungku lagi: "If there is (spirit of patriotism), they would not be challenging the government.” 

Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan pandangan Prof. Ungku. Tapi bagi saya, mengandaikan Melayu yang tidak patuh pada kerajaan sebagai kurang patriotismenya adalah kenyataan umum yang boleh dibahaskan.

Bagi sesetengah yang lain pula melihat perpaduan Melayu hanya akan dicapai apabila UMNO dan PAS bersatu. Betulkah begitu?

Sukar menjawab soalan ini kerana tafsirannya pelbagai bergantung pada ‘baju politik’ apa yang kita pakai. Sebab itulah saya tidak mendefinisikan perpaduan Melayu di sini. Yang saya cuba jelaskan ialah konflik politik orang Melayu telah beberapa kali berlaku.

Pertama, pada tahun 1969 apabila Perikatan gagal mempertahankan kemenangan dua pertiga majoritinya sehingga membawa kepada peristiwa 13 Mei. Selepas itu Dr Mahathir dipecat dari UMNO dan Tunku pula meletakkan jawatan memberi laluan kepada Tun Abdul Razak menjadi PM Malaysia.

Kedua, pada tahun 1987 UMNO bergolak lagi apabila Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir untuk jawatan presiden UMNO. UMNO menghadapi krisis kepimpinan dan hasilnya muncullah parti Semangat 46 yang menggugat hegemoni BN dalam PRU 1990.

Ketiga apabila berlaku krisis kewangan pada tahun 1997. Akibat krisis ini, UMNO sekali lagi bergolak apabila DSAI dipecat dari jawatannya dalam kerajaan dan parti. Maka, muncullah Reformasi dan tertubuhlah Parti KeAdilan Rakyat.

Sejak itu, kuasa dan hegemoni UMNO dicabar sehingga muncul tanggapan mencabar kuasa UMNO itu sebagai mencabar kuasa Melayu dan mencabar perpaduan Melayu. Saya fikir ramai yang melihat definisi perpaduan Melayu dalam konteks ini.

Betulkah tanggapan sebegitu? Saya tidak mahu mentafsirnya. Tapi yang jelas ialah akibat kerisauan kepada kuasanya yang semakin dicabar, maka UMNO terlalu sibuk bercakap tentang perpaduan Melayu sehingga kurang memberi perhatian kepada kekuatan parti-parti lain dalam komponen BNnya. Selain itu, muncul NGO yang dilihat terlalu bergerak ke kanan seperti Perkasa. Akibatnya bukan Melayu yang selama ini menjadi pendokong kuat BN mulai beralih menyokong pembangkang.

Hasilnya, pada PRU 2008 berlakulah tsunami politik dan pada tahun 2013, berlaku pula tsunami Cina. Pada PRU 2008, dikatakan tsunami politik kerana majoriti pengundi India dan Cina tidak menyokong BN, dan pada PRU 2013 dikatakan tsunami Cina kerana majoriti pengundi Cina tidak menyokong BN. Menariknya, kedua-dua tsunami ini tetap mempertahankan kuasa BN biarpun tanpa kemenangan majoriti dua pertiga.

Sekarang ini berlaku isu kalimah Allah pula. Selesaikan isu ini dengan cepat sebelum ia merebak menjadi barah. Sekiranya isu ini tidak selesai, maka akan berlaku satu lagi tsunami. Bila tsunami ini berlaku, akan tercabar hebatlah kuasa Melayu, kuasa UMNO dan kuasa BN.

Tsunami apakah itu? Itulah tsunami Borneo. Apabila tsunami ini datang, waktu itu usah tercari lagi maksud perpaduan Melayu. Tsunami itu sudah mulai terbentuk sekarang.


kredit: Prof. Agus

Friday, 14 February 2014

Wahai lelaki, lindungilah wanita

Hadith: 
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “Hendaklah kamu saling meminta nasihat tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkan dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkok maka saling menasihatilah dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut”. (Riwayat: Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith:
Para suami hendaklah bersikap bijaksana dalam membentuk kehidupan isteri-isteri mereka. Jika berlaku sebaliknya akan mengakibatkan kepincangan rumahtangga yang mungkin berakhir dengan perceraian.

Adalah menjadi kewajipan setiap suami untuk memberi didikan dan tunjuk ajar secukupnya dengan penuh kesabaran kepada isteri mereka agar tidak terumbang-ambing dalam hidup.

Berulang-ulangnya pesanan Rasulullah SAW mengenai wanita menunjukkan ia sangat-sangat penting kerana mereka adalah golongan yang lemah dan perlu kepada orang yang melindungi mereka dan menguruskan hal mereka serta mengawal pergerakan mereka ini kerana kebebasan tanpa sempadan yang diberikan kepada anak-anak gadis menyebabkan berlakunya kepincangan besar dalam masyarakat yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Hadis ini memberi tunjuk ajar dan panduan kepada lelaki supaya bertolak ansur dan bersabar dalam berinteraksi dengan kaum wanita. Suami mestilah bersabar terhadap sikap isteri yang kurang memuaskan kerana lelaki lebih mampu sabar.


kredit: Ustaz Nasrudin Hassan