Showing posts with label Hudud. Show all posts
Showing posts with label Hudud. Show all posts

Thursday, 1 May 2014

Baca, Fikir dan Faham (BFF): HUDUD : SATU PENDIDIKAN & PENCEGAHAN YANG MURNI - BAHAGIAN 1


Alhamdulillah pengumuman telah dibuat oleh Kerajaan Brunei untuk meneruskan Hudud hari ini. Timbalan Perdana Menteri juga sudah buka ruang untuk bersama-sama mengkaji Hudud dengan PAS. Pemuda UMNO juga mahu menwujudkan jawatankuasa Ulamak untuk mengkaji Hudud, walaupun ada yang ditempelak dengan gambar aib individu Pemuda UMNO dengan dua wanita seksi. Yang menempelak dan yang ditempelak kedua-duanya juga perlu dididik dengan falsafah hudud.
Secepat itu juga masing-masing sibuk membuat kenyataan yang berbagai-bagai. Yang bukan Islam dan tidak faham hudud pun sibuk membuat pelbagai ungkapan yang tambah mengeruhkan suasana, rata-rata menolak perlaksanaan Hudud. Di kalangan umat Islam juga ada yang ‘belum bersetuju’ namun majoritinya menyokong.
Di RPWP, hampir setiap tetamu yang datang, termasuk dari kalangan yang bukan Islam, terutamanya pengamal undang-undang turut menyentuh soal hudud. Email dan inbox juga bertanyakan pendapat kami tentang hudud. Semua meminta agar kami kongsikan kefahaman dan pengalaman kami tentang hudud.
FALSAFAH HUDUD BERBANDING QISAS, DIYAT & TA’ZIR
HUDUD ialah salah satu dari bentuk hukuman di bawah undang-undang syariah. Hukuman itu ialah dari Allah dan tidak boleh dipinda-pinda. Ia juga tidak boleh ditebus atau dimaafkan oleh teori siapa sahaja di dunia. Itulah hukum hudud yang meliputi kesalahan-kesalahan seperti mencuri, berzina, minum arak, menuduh orang berzina, murtad dan menderhakai Daulatulislamiyah.
Ia tidak seperti hukum QISAS yang juga di bawah undang-undang syariah Islam yang menuntut pembalasan setara. Ia meliputi jenayah seperti membunuh atau merosak anggota badan. Ini disebut dalam quran “..jiwa dibalas jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka luka pun ada kisasnya.
DIYAT pula adalah hukuman yang membolehkan mangsa atau waris mangsa memberi keampunan kepada pesalah atau melalui denda. TA’ZIR pula adalah hukuman yang tidak ditetapkan dalam ketiga-tiga kumpulan hukum yang di atas. Ia mengikut pertimbangan hakim dan kesan moral jenayah yang berlaku.
Demikian tertibnya Allah melakarkan manual hukum untuk kita gunakan dengan selamat. Tidaklah seperti apa yang kita amalkan sekarang. Zina jenayah yang harus dimusnahkan sebelum ia memusnah generasi, hanya didenda dengan RM500 sahaja oleh hakim. Bagi waris yang tidak puashati, rogol dibalas dengan rogol, bahkan ada yang menyimpan dendam sehingga membalas dengan bunuh bersambung keturunan bagi kesalahan yang lebih kecil dari itu.
PENERIMAAN NON-MUSLIM
Mungkin ramai yang bukan Islam akan rasa gerun apabila membaca penerangan tentang hudud dan qisas ini di perenggan di atas. Itu kerana ia hanya menceritakan tentang hukuman-hukuman yang mengerikan. Ingin kami tunjukkan kepada anda tentang konsep hudud menurut Islam sehingga jika ia difahami, tiada siapa yang akan menolak sekalipun mereka bukan Islam.
Piagam Madinah yang dirintis oleh Nabi Muhammad SAW meliputi semua masyarakat di Madinah pada ketika itu sebagai sebuah Daulatulislamiyah (negara Islam dengan masyarakat majmuk). Perlembagaan Madinah ketika itu ialah Al-Quran. Ternyata ia mampu untuk mendamai dan mentadbir secara adil masyarakat Ansar & Muhajjirin (Islam) serta golongan Yahudi dan Nasrani.
Madinah menjadi aman dan tidak porak peranda. Hukum Syariah Islam yang dilaksanakan oleh nabi itu bukan sahaja tidak ditentang oleh yang bukan Islam, bahkan mereka sanggup membayar jizyah kerana orang Islam membayar zakat.
Kita yang Muslim harus terima hakikat apabila DAP & MCA juga kaum yang mereka wakili memberontak tentang perlaksanaan hudud. Itu bukan salah mereka tetapi adalah kelemahan kita dalam menjelaskan falsafah dan perlaksanaan sebenar hudud itu sendiri.
Kami telah laksanakan hudud di RPWP semenjak hari pertama ditubuhkan kira-kira sedekad lalu. Tiada pula yang dipotong tangannya atau mati direjam. Mengapa? Kerana hudud yang sebenarnya ialah satu pendidikan. HUDUD itu sendiri satu istilah dari bahasa Arab yang berasal dari perkataan HAD (Batas/Had/Limit). Apabila dijamakkan lalu ia menjadi HUDUD (batasan/had-had/limitations). Sudah nampak apa sebenarnya hudud?
Islam itu mudah dan ia tidak mungkin menyusahkan sesiapa termasuk yang bukan Islam. Malangnya, hari ini ramai yang bertempik tentang hudud juga tidak jelas tentang hudud. Yang mereka fikir ialah pencuri mesti kena potong tangannya. Pecahan kanun jenayah melalui katagori hukuman di bawah HUDUD, QISAS, DIYAT & TA’ZIR itu sendiri adalah satu bentuk pembatasan agar hukuman itu adil dan tidak berlebih lebihan.
Islam itu jauh lebih adil dalam menimbang sehingga kes curi juga perlu tahu mengapa mereka mencuri. Adilkah Islam jika menghudud pencuri yang mencuri kerana anak di rumah kelaparan tiada susu. Adilkah jika menghukum penzina yang berzina disebabkan urusan pernikahan terlalu dipersulitkan dengan kos pelamin, hotel, kereta pengantin, hantaran berupa smartphone mahal dan ipad (contohnya) dan banyak lagi?
Hudud bukan sekadar potong tangan, sebat dan rejam. Islam lebih cenderung mencegah bukan menghukum walaupun hari ini operasi Jabatan Agama lebih kepada menangkap orang BERZINA berbanding membendung gejala yang mampu mencambahkan zina. Ia satu pembatasan yang berlaku dalam undang-undang syariah. Polis negeri Perak yang tahan kereta salah masuk jalan sehala pun masih ada budi bicara bila dilihat nombor pendaftaran dari Singapura. Hukuman hudud ialah milik Allah dan tidak boleh dipinda. Tidaklah sebat 100 rotan boleh ditukar jadi denda RM500.
Kepada masyarakat bukan Islam, seruan kami agar anda baca baik-baik dan bersangka baik. Sistem undang-undang syariah ini akan memberi kebaikan dan keadilan. Anda juga mahukan hidup aman di bumi ini. Tertinggal duit di meja food court pun ada orang kembalikan semula. Tinggalkan anak gadis di rumah bersendirian pun kita tak risau esok masuk front page akhbar kes rogol dan bunuh.
Walaupun berat kenyataan ini namun ingin kami katakan juga… Dahulu, kebanyakan kes pembunuhan bersenjata api, rompakan ganas dan besar besaran kita dengar dari penjenayah berbangsa Cina atau India. Hari ini kami pun malu apabila semua video dan berita yang terpapar di dada akhbar dan media sosial menunjukkan penjenayah sebegitu ialah anak Melayu sendiri.
Kita seharusnya kasihan dengan nasib mangsa, khususnya golongan yang lemah seperti kanak-kanak, wanita dan warga emas yang tidak mengira bangsa dan agama yang sering teraniaya. Teruknya keadaan kita sekarang sehingga penyamun, peragut, perompak dan pembunuh ini berani melakukannya di tempat awam, di hadapan orang ramai. Begitu ramai yang menonton jenayah itu berlaku di depan mata, namun mereka lebih sibuk merakam video daripada memanggil polis atau menolong mangsa yang teraniaya. Sedih dan mengerikan bukan?
Mereka ini harus dididik dan dihududkan semula. Yakinlah… kita perlukan hudud. Mereka harus diislamkan semula untuk menyelamatkan yang lain. Oleh kerana itu, kami rayu agar jangan sampai anda menghina Islam, satu-satunya agama yang akan mampu menyelamatkan hidup anda dan keluarga sampai bila-bila, biarpun anda tetap memilih untuk kekal menjadi ‘Non Muslim’.
Ingatlah, menyetujui perlaksanaan HUDUD yang murni dan sempurna akan turut memberi jaminan kepada keselamatan keluarga anda juga.
"Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah, 2:179)
PENGENALAN HAD-HAD (HUDUD) MELALUI PENDIDIKAN
Hudud (batas) itu harus dilaksanakan secara pendidikan terlebih dahulu. Tidaklah adil menghukum mengikut hudud jika pesalahnya tidak pernah tahu tentang had-had yang ditetapkan. Didik dahulu had (hudud), iaitu “rules and regulation, boundary and limitation”nya secara meluas, barulah boleh dijatuhkan hukuman terhadap perlanggarannya.
Hukuman tidak tertakluk kepada mereka yang melakukan lantaran kejahilan. ALLAH JUGA PENERIMA TAUBAT bagi mereka yang melakukan perlanggaran kerana kejahilan. Bukannya asal buat sahaja Allah terima taubatnya (QS:4/17,18). Hari ini, taubat boleh dimain-mainkan pula. Malam berzina, paginya mandi junub dan bertaubat atas tikar solat? Malam berikutnya diulangi lagi.
Jika Allah mengampunkan orang yang bersalah disebabkan kejahilan mereka, itu bermakna proses seterusnya dalam menghukum ialah PENDIDIKAN. Kenalkan batas-batasan itu dan itulah juga yang kami lakukan di RPWP.
Apa masalahnya untuk laksana hudud di kalangan bukan Islam? Betul juga kata Dr. Mahathir, tidak adil jika hudud untuk orang Islam dan sivil untuk bukan Islam. Hudud yang dilaksanakan dalam undang-undang syariah semasa Madinah dahulu meliputi kesemua masyarakat tidak mengira agama. Tetapi ia mampu dilakukan dengan adil.

CONTOH AMALAN HUDUD RPWP
Dari kecil lagi, anak-anak diberikan hudud. Pelbagai batas pergaulan rijal dan nisak kami hududkan. Pulang sekolah dan terus ke rumah, tidak menyinggah mana-mana itu juga HAD. Menonton TV ada hadnya. Berhibur juga ada hadnya, bahkan dalam urusan agama juga ada hadnya kerana Allah tidak menyukai orang berlebih-lebihan, sekalipun dalam urusan agama.
Hari ini Umat Islam terlalu ekstrim dalam urusan agama. Kita sibuk nak rejam orang lain berzina kerana orang itu bukan anak atau saudara kandung kita. Jika kena pada diri sendiri, mulalah kita rasa berbelah bahagi. Mulalah kita ikut menentang hudud itu. Jika dari awal lagi tidak mahu itu berlaku, langkah pencegahan perlulah dilakukan. Pencegahan terbaik ialah pendidikan.
Allah berfirman “Jangan menghampiri Zina”. Dalami ayat itu MENGHAMPIRI sahaja telah Allah larang apalagi melakukannya. Firman itu jelas bahawa Allah lebih mahukan kita MENCEGAH berbanding MENGHUKUM. Apabila kerosakan sudah berlaku, tiada guna lagi nak menghukum kerana ia telahpun rosak. Yang dara sudah hilang daranya, yang hidup sudah mati terbunuh, anggota yang normal sudah ada yang kudung, bahkan bayi yang lahir pun sudah mati dibuang sana sini.
Telah diriwayatkan bahawa, Nabi SAW berdolak dalik untuk menghukum seorang hamba Allah yang datang dan mengaku telah berzina. Berbagai bukti diminta untuk mengesahkan pengakuan itu, bahkan yang mengaku hamil pun diminta menunggu lahir bayi zina itu dahulu, sudah lahir pun diminta tunggu cerai susu dahulu. Itu satu tanda yang Nabi juga tidak berminat menghukum selain lebih berminat untuk mendidik sebagai cara pencegahan.
Dapat kita rumus bahawa Nabi SAW telah berjaya meletakkan nilaian “istighfar” (confession / mengakui kesalahan) kepada kita. Jika kita pandai beristighfar dengan pengatur kita dengan istigfar yang ikhlas tanpa tipu-tipu, ini juga mampu meletakkan had-had kepada kita semua. Contohnya bagi seorang anak, pengaturnya ialah ibu bapa, bagi menteri pengaturnya ialah PM, bagi ahli qariah...carilah imamnya. Beristighfarlah..
Nabi seru kita ajar anak solat ketika umur 7 tahun dan rotan jika anak ingkar pada umur 10 tahun. Itu juga hudud dan pencegahan kerana solat itu sendiri adalah satu tarbiah disiplin insaniah yang paling berkesan jika kita tahu bagaimana menerapkannya dalam kehidupan harian. Dalam solat diajar erti hidup tertib dan berprinsip, erti tegak berdiri, erti tunduk patuh, erti sujud mengabdi kepada Allah, Rasul, murobbi, ulilamri dan sebagainya.
Menghampiri zina pun telah Allah larang. Jelaslah Allah mahukan kita mencegah. Kami di RPWP membariskan tanda-tanda awal zina seawal anak berumur 3-5 tahun. Cara berjalan, cara bercakap, adab semasa duduk, sehinggalah apa yang mereka baca dan dengar, siapa kawan mereka dan banyak lagi.
Hatta, penggunaan tablet dan telefon pintar berinternet juga kami kawalnya agar ia tidak menjadi satu wasilah komunikasi yang akhirnya menjurus kepada zina. Itulah hudud awal kami. Dengan menghudud secara pendidikan, Alhamdulillah setelah hampir satu dekad kami berjalan tiadalah kiranya sesiapapun yang layak dihudud dengan rejam dan potong tangan sekiranya hukum hudud sudah terlaksana hari ini.
CEMBURU PENGATUR KELUARGA JUGA FALSAFAH HUDUD
Hari ini, ibu bapa tidak kisah anak berpeleseran. Tidak kisah anak meminta wang untuk belanja selepas waktu sekolah. Bapa tidak cemburu dengan anak dan isteri yang balik sehingga tengah malam. Tablet dan telefon pintar siap dibelikan yang teknologi terkini. Kononnya, atas dasar sayang. Dengan instrumen itu juga anak-anak kita berselingkuh berjumpa jantan lapar di air terjun dan di hotel-hotel murah. Ibu bapa langsung tak hudud kan mereka dari mendekati zina.
Sebelum anak didera 100 kali rotan kerana berzina, mulakanlah pendidikan dan DERA NAFSU anak untuk mematikannya dari MENGHAMPIRI zina. Jika MENTAL mereka tidak didera untuk semua langkah menghampiri zina, pasti nanti zina itu didekati dan akhirnya sampai juga kepadanya. Ketika itu, hudud yang wajar barulah rotan 100 kali. Namun itu sudah terlambat dan kerosakan tidak mampu diperbaiki lagi.
Sebelum isteri kita berselingkuh dan dihukum rejam sampai MATI, didiklah dahulu isteri kita. REJAMLAH NAFSU mendekati zina itu sehingga mati nafsunya untuk berselingkuh. Hari ini berapa ramai suami yang dayus, atau dengan bahasa modennya “sporting”, membenarkan isteri menumpang kereta rakan pejabatnya yang lelaki. Kami dah muak dengan aduan suami isteri jenis ini yang terlanjur dan melunjur berselingkuh dengan sengaja.
Bayangkan sejak gelap subuh isteri sudah keluar rumah bersama lelaki lain. Suami pula keluar membawa perempuan lain. Setengahnya tanpa rasa cemburu dalam gelap pagi meninggalkan anak di tepi pagar sekolah yang masih berkunci sampai trauma ketakutan. Pulang kerja pula sudah malam.
Berapa ramai suami yang dengan “percayanya” mengizinkan isteri berpakaian seksi seksa, bersolek tebal-tebal untuk bekerja? Sebagai pramugari penerbangan, artis atau model butik pengantin contohnya. Atau mungkinkah tubuhnya dijadikan umpan memikat pelanggan atau halwa mata bosnya?
Bila isteri dah terjerumus ke kancah zina, ketika itu sudah tidak perlu menangisi kesalahan diri apabila isteri direjam sampai mati. Yang direjam dah tentulah mati, yang jadi suami dayus itu juga yang masih terbayang-bayang visual isterinya sedang berselingkuh. Lebih parah jika ada gambar dan video. Itulah balasan orang dayus, di dalam dunia pun sudah rasa nerakanya.
Itu konsep hudud yang lebih kepada pencegahan melalui pendidikan. Jangan harap sekolah sahaja yang nak mengajar jika ibu bapa sendiri tidak pernah menjalankan hudud ke atas anak-anak mereka. Untuk menghudud anak, yang menghudud itu dahulu perlu menghudud diri sendiri. Bagaimana mahu dilukis garisan lurus sekiranya pembarisnya sendiripun bengkok.
KESIMPULAN
Sewajarnya hudud itu dimulakan sehingga benar-benar pendidikan tentang hudud (batas-had) dalam kehidupan mampu difahami dan dilaksanakan. Adalah zalim menghukum orang jahil yang tidak pernah dididik.
Pastikan juga pengurusan zakat, jizyah dan baitulmal semuanya efisyen dan adil. Semua rakyat miskin dibela. Hukuman harus juga mengambil kira ‘asbab’ mengapa kesalahan itu dilakukan. Saksi harus jelas dan sanggup menerima hukuman jika didapati memalsukan penyaksian.
Lebih baik melepaskan orang yang bersalah daripada menghukum orang yang tidak bersalah. Pastikan sebelum hukuman dijatuhkan, mereka telah ternyata melakukan atas dasar kefahaman dan kedegilan, bukan atas kejahilan atau desakan hidup.
Dengan itu, barulah Islam dipandang tinggi dan dihormati undang-undangnya oleh Non-Muslim. Pasti mereka juga setuju dengan hudud. Jika PENCEGAHAN MELALUI PENDIDIKAN itu dapat dilaksanakan, kami yakin tiadalah yang akan dipotong tangannya, tiada yang akan direjam sampai mati, malah kurang juga yang bakal menerima hukuman Qisas, Diyat dan Ta’zir.
Jika pun ada yang degil dan sempat tertangkap lalu hukuman ke atas jenayat berlaku, ia cukup sekadar memberi pelajaran kepada yang lain. Zaman Abasiyah dahulu, penjaranya besar tapi tiada penghuni. Sekalipun tiada yang dijatuhkan hukuman kerana berkesannya hudud pencegahan melalui pendidikan, persekitaran lebih aman berbanding apa yang berlaku sekarang.
Hari ini, hukum hudud potong tangan itu kita jaja sampai ke tahap boleh menghina agama milik Allah yang mencipta dan mendidik kita. Bila hudud tidak diamalkan, setiap hari ada sahaja pembunuhan, walaupun dengan sebab kecil. Ramai anak kecil, warga emas, wanita yang tidak berdosa terpotong tangan bahkan terbunuh akibat ragut, rompak dan culik. Tidakkah itu lebih zalim daripada memotong tangan orang yang mencuri?
Kami yakin dengan hudud yang murni, akan semakin aman dan sejahtera hidup kita semua TANPA MENGIRA AGAMA. Kami yakin bilangan yang terbunuh atau terpotong tangan kerana hudud akan berganda-ganda lebih kecil berbanding dengan akibat kejahatan manusia.
Bukankah hudud lebih adil dari undang-undang sivil? Mencuri pun akan disiasat sebab mencurinya. Jika kerana kejahilan MEREKA AKAN DIDIDIK, jika kerana kesempitan, MEREKA AKAN DITOLONG, bukan dipotong tangannya.
SETELAH dididik, dibantu kesempitannya tetapi tertangkap mencuri juga buat kali kedua, wajarlah jika tangan dipotong untuk mencegah (HUDUD) dari merosak orang lain. Ini lebih baik daripada ia terus menerus menjadi ancaman kepada kesejahteraan insan lain. Adil bukan? Mahukah tangan anda dipotong oleh peragut yang anda tidak mahu dipotong tangannya?
Kami juga ingin membuat tawaran kepada sahabat Non-Muslim jika ada sebarang pertanyaan supaya kekeliruan dan kekusutan dapat dirungkai. Kami yakin, jika ia dijelaskan dengan baik, bukan sahaja anda, bahkan sekiranya Mendiang Karpal Singh masih hidup, beliau juga pasti akan bersetuju dengan perlaksanaan Hudud ini.
WARGA PRIHATIN

Terima Kasih WARGA PRIHATIN

Wednesday, 23 April 2014

Karpal dan sikap sebenarnya berkenaan hudud – Dr Mujahid Yusof Rawa


karpal smile2
Pepatah yang menyatakan bahawa “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” ada pada Karpal Singh. Pertama, secara majazi (perlambangan), ‘Harimau Jelutong’ itu telah meninggalkan belang, kedua, secara hakiki, mendiang meninggalkan nama yang besar sebagai ahli politik yang disegani kawan dan lawan.
Jarang seseorang dapat memenuhi perumpamaan ini secara majazi dan hakiki dalam menggambarkan ketokohan seseorang individu yang meninggalkan kita.
Singh is King
Ungkapan ini pernah dipakai oleh Karpal sesuai dengan ugutan yang diterimanya daripada Pemuda Umno. Saya ada dalam Parlimen semasa mendiang mempertikaikan tindakan beberapa Pemuda Umno yang cuba menghalangnya di Parlimen.
Antara ungkapan lain yang disebut oleh Karpal dalam suasana yang tegang dalam Parlimen semasa itu ialah, “Ini Pemuda Umno celaka!” lalu Yang DiPertua Dewan Rakyat mencelah supaya ditarik balik kata-katanya itu tetapi Karpal enggan.
Setelah didesak beberapa kali Karpal setuju dengan berkata, “Saya tarik balik, tetapi ini Pemuda Umno memang celaka.” Saat itu heboh dewan dengan ketawa daripada anggota dewan.
Karpal memang terkenal dengan perkataan berbisanya seperti “jangan main-main…” apabila beliau ingin mendesak sesuatu tindakan diambil segera. Dialek Indianya dalam berbahasa Melayu seringkali mencuit hati anggota dewan tetapi isi ucapannya senantiasa mendapat perhatian pihak BN kerana sengatannya yang berbisa kepada Ahli Parlimen BN.
Dewan pastinya akan sunyi selepas ini tanpa SINGH IS KING.
Saya dan DAP
Saya mula mengenali  DAP semasa di bangku sekolah menengah lagi melalui poster-poster pilihan raya apabila berlangsung pilihanraya umum. Sebagai anak Pulau Pinang yang membesar di Georgetown lambang DAP tidak menjadi sesuatu yang menakutkan saya walaupun tanggapan saya terhadap DAP semasa di bangku sekolah adalah stereotype sama macam budak Melayu sezaman dengan saya.
Sebagai seorang yang membesar dalam rumah pemimpin PAS, saya sukar menerima pandangan Umno, apatah lagi media yang menyerang PAS setiap hari, tetapi saya juga tidak melihat DAP mempertahankan PAS pada masa itu.
Saya boleh rumuskan bahawa semasa di bangku sekolah saya melihat DAP dari kacamata PAS yang melihat DAP tidak banyak membantu, malah sikap ‘anti-Melayu DAP’ begitu mencengkam dalam benak anak muda Melayu pada zaman saya.
Namun zaman berlalu, saki-baki tanggapan kepada DAP semakin terhakis dengan kematangan berfikir generasi hari ini dan terpulang kepada sejauh mana DAP mampu membuktikan sebaliknya.
Saya yakin kemunculan politik baru Malaysia yang menolak sikap perkauman akan memudahkan lagi orang mengenali DAP.
Karpal dan Saya
Jujurnya, saya terlalu kerdil berbanding ketokohan Karpal dalam dunia politik dan perundangan Malaysia. Ketika Karpal memulakan karier politiknya pada tahun 1974 sebagai ADUN di Kedah, saya baru di tahun 4 sekolah rendah.
Nama Karpal hanya saya kenali semasa di sekolah menengah lewat persepsi saya terhadap DAP. Semasa Kelantan memperkenalkan Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah, Karpal antara tokoh yang lantang menentang.
Saya mula berminat untuk mengenali tokoh ini pada tahun 90an dan cuba memahami secara objektif mengapa beliau menentang undang-undang hudud ini. Dari sini saya mula mengenali pemikiran perundangan beliau yang merupakan pengikut tegar kerangka Malaysia sebagai negara sekular.
Pertama Kali Bertemu
Pada tahun 2005, saya telah kembali ke negeri asal saya iaitu Pulau Pinang. Pertama kali saya menemui beliau ialah kunjungan semasa beliau di hospital setelah mengalami musibah. Walaupun saya tak sempat berbicara dengannya kerana keadaaannya, tetapi saya sempat mengucapkan kata-kata semangat kepada isteri beliau bagi mewakili PAS Pusat.
Seterusnya pertemuan saya ialah di bangunan Parlimen setelah dilantik menjadi Ahli Dewan Rakyat, kini saya bersama MP yang lain sebaris dengan MP lama, termasuklah Karpal.
Heboh dewan pada hari pertama mengangkat sumpah apabila MP Kinabatangan mempertikaikan bagaimana Karpal boleh mengangkat sumpah tanpa mengangkat tangannya sedangkan wakil Kinabatangan mengetahui bahawa Karpal mengalami masalah mengangkat tangan.
Berlaku kekecohan dan itu pertama kali kami ditunjukkan bagaimana berbalas kata boleh berlaku di Parlimen Malaysia.
Seterusnya pertemuan saya dengan beliau adalah sebagai ahli Parlimen muda yang cuba mempelajari selok-belok berbahas dalam Parlimen dan saya mendapati perbahasan beliau banyak berlegar di sekitar perundangan dan kehakiman serta pendedahan beliau tentang salahlaku kehakiman yang boleh menjejaskan kredibiliti mahkamah di Malaysia.
Ucapan Karpal
Saya juga mengikuti setiap ucapan politik beliau yang sempat saya dengar. Antaranya ialah ketika saya di Melaka, semasa hubungan PAS dengan DAP berasaskan kepada perjanjian Barisan Alternatif pada hujung 90-an.
Ucapannya selamba tetapi sarat dengan kritikan pedihnya kepada sistem perundangan negara, khusus pada kemuncak kes Anwar Ibrahim ketika itu. Kemudian saya mendengar ucapannya yang lebih serius pada majlis makan malam kemenangan DAP di Pulau Pinang.
Di atas kerusi roda, beliau bersemangat menceritakan intipati perjuangan DAP dan komitmennya pada suasana demokratik dan sekular yang menjadi asas pembentukan negara ini. Ucapannya serius, dengan kata susun atur kalimatnya dikeluarkan satu-satu, disambut tepukan gemuruh hadirin yang masih dalam mood kegembiraan dengan kejayaan PR diterajui DAP menawan Pulau Pinang.
“Saya Tidak Menentang Islam”
Di sebalik tekanan tentang sikap Karpal yang dikatakan anti-hudud dan anti-Negara Islam serta kenyataan kontroversinya “langkah mayat saya dahulu…” Karpal beberapa kali menyatakan bahawa dia tidak  pernah menentang Islam.
Saya sendiri ada dalam Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 di Kepala Batas, ketika Karpal di hadapan pemimpin PAS dan PKR dan para peserta konvensyen menyatakan bahawa beliau menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan beliau tidak pernah menentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Karpal juga pernah menyatakan dalam satu temuramah bahawa, “I’m not opposed to Islam at all, I’m a god fearing man.”
Sikap Karpal yang sering dituduh sebagai anti-Islam kerana keengganan menerima Negara Islam dan hudud menjadikan beliau sebagai sasaran utama kelompok Melayu dari kedua-dua belah pihak UMNO dan PAS atas apa juga perbezaan politik mereka.
Persoalannya ialah, mengapakah Karpal bertindak demikian?
Logik Karpal Tentang Hudud
Karpal adalah ahli undang-undang. Hujah beliau tidak sangat menjurus kepada ideologi menentang penghayatan keagamaan, beliau lebih berminat kepada ideologi perundangan.
Hakikat ini ditegaskan dalam salah satu kenyataannya apabila ditanya mengapa beliau tidak boleh menerima konsep Negara Islam dan hudud.  Beliau menjawab, “My opposition to Islamic State and hudud is to preserve and defend the Constitution…”
Memahami logik Karpal dalam hal ini ialah memahami Karpal sebagai orang perundangan dan bukan sebagai seorang yang anti-agama. Mendekati ketegasan beliau dalam hal ini juga ialah dengan menggunakan logik perundangan dan bukan sentimen dan emosi agama.
Bagi saya tidak mudah untuk kita menuduh seseorang sebagai anti-agama Islam hanya kerana asas penolakan Negara Islam dan hudud atas asas perundangan.
Ini adalah kerana, bagi saya, anti-agama adalah terdorong atas kebencian dan permusuhan kepada apa sahaja makna keagamaan, termasuk menolak Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Kalau begitulah logiknya maka kewujudan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menghalang perlaksanaan hudud di peringkat negeri bolehkah dikatakan sebagai anti-agama Islam?
Adakah Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang memerintah dengan PM-nya sebagai seorang Islam sekarang juga anti agama kerana membiarkan sekatan ini berlarutan?
Bagaimana pula seorang Islam yang menolak Negara Islam dan hudud atas alasan ekonomi akan mundur dan pelabur asing akan lari malah ada yang menyatakan ianya tidak relevan lagi dalam dunia hari ini?
Saya bukan mempertahankan Karpal dan sikapnya. Saya cuma mahu memberi keadilan kepada isu Negara Islam dan hudud yang tidak pernah diberi gambarannya yang jelas kerana terlalu ramai yang ada kepentingan dalam hal ini sehingga ia lebih selesa ditanggap sebagai isu politik daripada isu substantif.
Logik Balas
Logik perundangan juga menuntut kita untuk menjawab persoalan apakah Malaysia sebuah negara sekular atau setengah sekular, sedangkan Islam mendapat tempat yang teratas walaupun agama lain bebas diamalkan dengan sekatan tidak boleh disebarkan.
Bagaimana pula halnya senarai negeri-negeri yang antara lainnya memperuntukkan enakmen undang-undang Islam boleh digubal?
Apakah tidak undang-undang Jenayah Syariah II di Kelantan dibuat secara perundangan? Jikalau ia dianggap ultra vires dengan Akta Mahkamah 1965, siapakah yang bertanggungjawab untuk menyemak semula peruntukan?
PAS pernah membawa bil persendirian di Parlimen melalui Presidennya Datuk Seri Hj Hadi Awang untuk isu murtad tetapi tidak pernah diterima untuk dibahaskan.
Logik perundangan inilah yang harus dijadikan landasan meyakinkan para penggubal undang-undang bahawa akhirnya isu sensitif seperti ini perlu mendapat mandat dan proses politiknya perlu mendapat kefahaman rakyat secara substantif.
Sensitiviti isu-isu agama jika hendak diperundangkan – termasuklah hudud – pasti akan mendapat pelbagai reaksi aliran pemikiran politik, namun Rashid Al Ghanushi pernah memberikan kerangka bagaimana isu ini perlu digarap dengan berkata,
“No one has the right to claim he represent the religion, neither An Nahda nor anyone else. Society through its dynamic is the one to formulate and translate religion into policies, laws and culture….the dynamic continues until there is consensus about the opinion of religion on the issue…”
(Tidak ada sesiapa yang berhak mendakwa bahawa dialah yang mewakili agama, termasuk parti An Nahda atau sesiapa yang lain. Masyarakat melalui dinamikanya yang akan membentuk dan menterjemahkan agama kepada dasar, undang-undang dan budaya…dinamika ini berlangsungan sehinggalah adanya satu konsensus tentang sikap agama berkenaan isu tersebut).
Saya amat bersetuju dengan kerangka pemikiran demokratik yang digarap oleh pemimpin An Nahdah tersebut kerana dengan kerangka ini jugalah kita harus berhujah dengan logik Karpal yang saya tahu diyakini ramai oleh rakan-rakan dalam DAP apabila isu hudud menjadi perbualan hangat sekali lagi mutakhir ini.

Karpal dan PAS
Pemimpin PAS yang sering dikaitkan bertembung dengan Karpal ialah Dato’ Setia Bentara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan.
Pertembungan mereka ialah kerana konsistennya Mursyidul Am PAS itu mahu menjalankan enakmen Jenayah Syariah yang telah mendapat mandat persetujuannya oleh Sultan Kelantan tetapi terhalang kerana Akta Mahkamah Syariah (1965).
Begitulah juga konsistennya Karpal menentang hasrat ini atas hujah yang dinyatakan di atas tadi.
Namun demikian seluruh negara telah menyaksikan satu pertemuan bersejarah yang penuh mesra antara kedua-kedua pemimpin hebat ini di rumah Karpal apabila Mursyidul Am PAS itu menziarahi Karpal di Pulau Pinang sambil menerima kek harijadinya daripada Karpal pada 27 Jan 2013.
Kedua-duanya bertemu mesra walaupun mereka mempunyai dua pandangan yang bertentangan antara satu sama lain. Sikap keterbukaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz lambang komitmen PAS kepada menghormati hak untuk tidak bersetuju walaupun berada dalam satu kolusi politik.
Karpal pula sentiasa bertanggapan positif kepada PAS dan dari kata-katanya sendiri boleh membuktikan sikapnya bahawa,
“We may have our differences with PAS but it is a solid principled party and an important ally.”
(Kita mungkin ada beberapa perbezaan pandangan dengan PAS tetapi PAS adalah parti yang berprinsip dan rakan yang penting).
Selamat Tinggal Selamanya
Speaker Dewan Rakyat adalah orang yang akan terasa pemergian Karpal kerana suaranya tidak akan kedengaran lagi mengetuk mikrofon meminta ‘point of order’ dibacakan, khususnya untuk mempertikai ‘ruling’ yang dibuat oleh Tuan Speaker.
Ketajamannya menimbulkan hujah perundangan dalam akta yang dibahaskan dan kritikannya kepada kehakiman di negara ini sentiasa berbisa dan pedas, namun bernas.
Kami MP muda akan hilang seorang senior MP yang membuatkan kawan dan lawan ketawa dan marah ketika beliau berbahas.
Para hakim akan kehilangan peguam yang senantiasa menguji kewibawaan mereka pada tahap maksima.
Ahli DAP akan kehilangan suara semangat yang pernah mengatakan dalam suasana kekalahan DAP di Pulau Pinang satu ketika dahulu, “berhati-hati pada harimau yang tercedera kerana ia lebih berbahaya…”

Masyarakat sivil yang pernah mengenali Karpal tidak akan lupa kata-katanya bahawa, “It is important for every citizens in this country to know that no one is above the law.” Kerana meyakini prinsip moral perundangan ini beliau berhadapan dengan masalah daripada pihak istana.
Bagi seseorang yang tegas dalam dunia politik dan perundangan, Malaysia turut terasa perginya seorang anak Malaysia mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan jujur.
Soal salah atau betul beliau mempertahankannya bukan isu, tetapi itulah caranya beliau melahirkan kasihnya pada negara yang tercinta ini.
Sepi seketika hiruk-pikuk suara yang menghentam Harimau Jelutong ini pada awal pagi berita kematiannya secara tragis dimaklumkan seluruh negara.
Harimau tidak mengaum lagi tetapi belangnya meninggalkan bekas seperti namanya. Kata-kata mendiang akan senantiasa terngiang di telinga kawan dan lawannya,
“You knock out one Karpal Singh, hundred Karpal will rise”.
Selamat Tinggal Komrad Karpal! – Roketkini.com


Ku abadikannya disini, moga yang baik dapat dicedok.

Wednesday, 19 February 2014

Hudud di Malaysia, Kelantan dan Pusat

Alhamdulillah, akhirnya ketemu post berkenaan hudud oleh prof. Agus. Berikut dikongsikan realiti isu hudud di Malaysia dari kaca mata prof. Agus

---------------------------------------------------------------------------------------------

Hudud ini untuk dilaksanakan bukan untuk dipolitikkan. Tetapi bolehkah hudud ini dilaksanakan di Kelantan tanpa kelulusan kerajaan pusat? 

Saya ingin nyatakan undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan kerajaan pusat. Ini kerana undang-undang hudud melibatkan penguatkuasaan undang-undang jenayah yang bidang kuasanya terletak di bawah kerajaan pusat seperti peruntukan Senarai 1, Jadual ke-9 Perlembagaan.

Pun begitu, jika negeri tetap mahu melaksanakan hukum hudud ini, ia boleh dilakukan dengan meminta kerajaan pusat (parlimen) membuat undang-undang bagi hal yang sedemikian seperti yang terdapat dalam Perkara 76(1)(c). Hal ini pernah dibuat oleh kerajaan negeri selepas Undang-Undang Jenayah Hudud Kelantan diluluskan oleh DUN pada tahun 1993, namun ditolak poleh kerajaan pusat pada tahun 1994.

Setelah ditolak oleh kerajaan pusat, maka habislah ikhtiar negeri untuk melaksanakan hukum ini di negerinya. Jika dilaksanakan juga, maka ini adalah bertentangan dngan Perkara 75 perlembagaan yang menyatakan: “Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”

Jadi, apa tindakan negeri jika mahu melaksanakan hudud? Negeri tidak perlu membawa hal ini ke pentas ceramah dan berterusan berjanji akan melaksanakan hukum ini. Itu omongan kosong. Yang boleh dilakukan ialah kerajaan negeri dan pusat berunding dan bertolak ansur untuk saling menyokong hukum ini di parlimen bagi dilaksanakan di Kelantan. Maka, ini memerlukan kekuatan politik kedua-dua peringkat kerajaan.

Jika kedua-dua peringkat kerjaaan tidak boleh bertolak ansur, carilah kaedah lain. Tapi janganlah berterussan mendesak hukum ini dilaksanakan jika tidak adanya kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri.

Cukuplah politikkan isu hudud ini.


kredit: Prof. Agus