Showing posts with label Prinsip. Show all posts
Showing posts with label Prinsip. Show all posts

Wednesday, 23 April 2014

Edisi Senyum: Alkisah secawan teh…




Abah saya seorang yang garang dan tegas. Umi tak pernah berani melawan kata-kata abah.

Segala yang abah kata akan dituruti. Sebagai anak sulung kepada tiga adik-beradik, saya sentiasa dimarahi abah tatkala melakukan kesalahan dan terlupa waktu sembahyang atau tergesa-gesa untuk solat tatkala terlupa waktu ketika bermain dengan jiran-jiran.

Pada satu hari, saya balik bermain bola selepas waktu maghrib. Jam saya rosak akibat hujan rosak.

Sesudah sampai rumah, abah menunggu dengan rotan. Saya mengigil setiap kali melihat abah memegang rotan.

Umi pula tidak berani melakukan apa-apa. Matanya bergenang dengan air ingin menyelamatkan anaknya daripada sebatan abahnya, tapi tidak terdaya.

Setelah meronta disebat dua-tiga kali oleh abah, saya bergegas mengambil air sembahyang dan solat.

“Jangan solat express, kerana di depanmu tu Tuhanmu,” kata abah dengan tegas dan garang.

Begitu juga setiap kali saya mendapat keputusan peperiksaan yang tidak mencapai standard abah, saya akan ditekan dan dimarahi abah.

Adik-adik yang terlihat peristiwa itu akan cepat-cepat balik ke bilik belajar kerana takut perkara yang sama menimpa mereka.

Satu hari, abah perlu ke luar negara selama seminggu.

Masa itu juga cuti sekolah, hanya tinggal umi dengan anak-anaknya.

“Umi, abah tak sayang Mi ke? Mengapa abah selalu tegas sangat pada Mi?” tanya saya.

“Mi tak boleh sangka begitu pada abah. Abah paling sayang kat Mi, sebab itu juga paling garang kat Mi, kerana Mi anak sulung, anak kebanggaan abah. Abah nak Mi jadi contoh pada adik-adik. Asal Mi baik, adik-adik pun akan jadi baik. Umi suka manjakan Mi dan adik-adik, sebab itu abah perlu tegas, kalau tidak, rosaklah Mi dan adik-adik,” jawab Umi.

“Kalau begitu, Mi tak nak abah sayang paling banyak. Abah boleh sayang adik. Mi rela kurang sayang daripada lebih marah. Umi sayang abah ke? Umi selalu nampak takut pada abah,” tanya saya lagi.

“Jangan fikir begitu Mi. Umi sayang kat abah. Banyak benda yang Mi tak nampak masa ini. Jangan fikir bukan-bukan. Masa krisis baru boleh menilai seseorang, waktu biasa kita tak nampak,” jawab Umi.

Masuk hari keempat, Umi dan saya tersilap makan. Kami dihantar jiran masuk ke klinik, dan kemudian dihantar pulang untuk berehat di rumah. Kami tidak memaklumkan pada abah.

Tetiba, abah muncul di rumah pada keesokan pagi. Muka abah letih, penat dan tidak cukup tidur.

Abah terus ke kamar umi dan membelai kepala umi.

“Sakit lagi ke?” tanya abah. Umi meminta secawan teh panas. Abah terus ke dapur untuk membuatkan teh panas. 

Sebelum tiba ke dapur, abah masuk ke bilik saya menjenguk anak sulungnya.

“Mi rasa macam mana?” kata abah sambil membelai perut saya.

Melihat wajahku yang pucat, mata abah menjadi merah, “Abah sayang Mi. Mi akan sembuh. Jangan bimbang abah ada di rumah.”

Kata-kata abah menusuk jiwa. Terasa abah memang menyayangi saya.

Abah terus ke dapur dan kembali membaca dua cawan teh panas untuk umi dan saya.

Selepas abah menyuapkan teh menggunakan sudu kecil untuk umi, abah datang melakukan perkara yang sama pada saya.

Abah dengan penuh sabar meniup dan menyuapkan habis secawan teh pada saya. 

“Mi rasa selesa sikit? Nak lagi teh ke?” tanya abah. Saya hanya mampu menggeleng kepala.

“Umi nak makan bubur ayam, Mi nak bubur?” tanya abah dan saya mengangguk.

Selepas umi dan saya sembuh, segalanya kembali seperti biasa. Abah balik menjadi abah yang tegas.

Satu hari saya dirotan lagi oleh abah.

Umi datang membisik…

“Ingat masa Mi sakit, siapa yang paling sakit sebenarnya? Abah. Masa umi sakit pun, abah sebenarnya yang paling sakit. Bila pernah Mi jumpa abah buat teh? Cawan teh dan bubur itulah tanda kesayangan abah. Sekarang fikir pula, Mi kena rotan sakit, siapa sebenarnya yang paling sakit?” kata umi.

Wahai anakku,
Kadangkala aku terpaksa tegas padamu, bukan kerana aku membencimu, tapi terlalu sayang padamu dan takutmu terjatuh dan tergelincir dalam kehidupanmu. Aku terlalu ingin memanjamu, tapi aku terlalu bimbang aku menjadi terlalu sayang sehingga tidak lagi dapat menegurmu walaupun kamu tersilap. Setelah kamu mempunyai anak, kamu akan faham dan dapat melihat kesayangan dan air mata yang mengalir ke hati di sebalik setiap kata-kata marah dan rotanku.

Senyum.

Baca, Fikir dan Faham (BFF): ADAB KITA BERJAMAAH




Ikhlas kerana Allah.

Sebelum kita pergi lebih jauh, kenapa kita berjuang di dalam Pas. Sudah pasti jawapannya ialah tidak lain dan tidak bukan kerana Allah SWT. Jika kita berjuang kerana dunia belum tentu kita akan perolehi apa yang kita hajat. Jika kita sertai Pas kerana hendak bertanding di dalam pilihanraya, belum tentu nama kita tersenarai sebagai calon. Misalnya di dalam satu kawasan hanya dua atau tiga orang sahaja yang dipilih sebagai calon daripada beribu ahli Pas di satu kawasan. Rugi kita di sisi Allah SWT jika matlamat kita lain daripada apa yang diizin oleh Allah SWT yang bermaksud "Pada hal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas dengan mentaati perintah agamaNya" (Albayyinah 98:5)

Ikut Arahan Jamaah

Tidak molek, jika bersama dengan jamaah, tiba-tiba tidak mahu ikut arahan jamaah. Apabila kita berintima' dengan jamaah maka wajib kita mengikut arahan jamaah. Sebuah jamaah tidak akan maju jika mempunyai ahli yang ikut kepala sendiri, tanpa mahu ikut arahan jamaah. Mana-mana jamaah akan mengalami masalah jika mempunyai ahli sedemikian rupa. Manusia ini sebenarnya tidak boleh bersama jamaah. Jenis manusia yang tidak boleh berkawan dengan manusia lain. Sebenarnya manusia ini ada penyakit di dalam dirinya iaitu penyakit tidak boleh ikut arahan. Peringatan Nabi SAW
"Bahawa sesiapa yang taat kepada aku, maka ia sudah taat kepada Allah. Dan bahawa sesiapa yng derhaka kepada Aku , maka ia derhaka kepada Allah. Dan barang siapa yang taat kepada Amir ( Ketua), maka ia telah taat kepada aku. Dan barang siapa yang derhaka kepada ketua, maka ia derhaka kepada aku" (Muttafaqun Alaih)

Tidak Mengabaikan Amanah Jamaah

Apabila kita menyertai jamaah Pas, maka kita mempunyai tanggungjawab untuk memikul amanah yang diarahkan oleh jamaah. Jika kita tidak melaksanakan amanah yang dipikul kepada kita, siapa lagi yang akan melaksanakan amanah ini. Perlu diingat, jika kita tidak melaksanakan amanah jamaah, maka akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat nanti. Di atas dunia lagi kita melakukn jenayah dengan jamaah, sehingga musuh kita bermaharajela. Sifir mudah, kita telah membantu Umno secara percuma apabila kita tidak membantu Pas dengan melaksanakan amanah yang sepatutnya. Tidak ada makna kita marah kepada Umno, sedangkan kita sendiri membantu Umno secara tidak langsung.

Merasakan Jamaah Milik Bersama.

Semangat ini akan merasakan kita sayang kepada jamaah melebihi segala-galanya. Pada kita Pas bukan hak Mursyidul Am, bukan hak Presiden, tetapi milik bersama. Maju mundur perjuangan Pas atas daya usaha kita (biiznillah). Jika ada perasaan ini jamaah akan selamat. Kita akan terasa jika ada yang memfitnah Pas, lantas kita akan membetulkan fitnah tersebut. Bukannya kita menokok tambah untuk menabur fitnah. Siapa lagi yang hendak memikirkan tentang perjuangan Pas, jika tidak kita?.




Kerja Dengan Penuh Tekun.

Sabda Rasulullah SAW "Sesungguhnya Allah suka kepada seorang yang bekerja dengan penuh ketekunan". Kita mesti yakin bahawa bekerja di dalam jamaah adalah ibadah dengan syarat ikhlas kepada Allah. Kita mesti rasa malu dengan penegak munkar yang tidak jemu-jemu mencari formula bagaimana hendak menarik orang kepada program mereka. Sedangkan kerja mereka tidak diredhai oleh Allah SWT. Mereka merancang dengan penuh strategik untuk menarik sokongan kepada program mereka. Sepatutnya kita sebagai anggota jamaah perlu menggandakan usaha kita tanpa penat dan jemu, kerana kita adalah Ansarullah. Perlu diingat walaupun perjuangan kita benar tetapi jika kita tidak berkerja dengan penuh ketekunan maka usaha ini akan gagal. Sebagaimana kata-kata Saidina Ali Karramallahuwajhah "Kebenaran tanpa penyusunan akan ditewaskan oleh kebatilan yang mempunyai penyusunan yang rapi".

Thiqah Dengan Kebijaksanaan Pemimpin.

Hidup berjamaah inilah sifat yang mesti disuburkan. Apa makna dia seorang pemimpin jika kita sendiri tidak thiqah kepadanya. Menganggap pemimpin semua bodoh, kita sahaja yang cerdik adalah suatu perkara yang salah. Suatu masa nanti apabila kita menjadi pemimpin, Allah akan balas balik kepada kita di mana pengikut kita pula anggap kita pula bodoh. Masing-masing ada tanggungjawab yang telah diatur oleh perlembagaan parti. Pemimpin membuat cadangan, perancangan dan mengatur gerak kerja yang difikirkan sesuai dan munasabah untuk mencapai matlamat. Hal ini akan berubah dari semasa ke semasa menurut ijtihad kepimpinan.

Dasar sahaja tidak berubah, iaitu Islam. Tetapi bagaimana cara kita mahu melaksanakan gerak kerja kita sentiasa berubah. Perubahan kadang-kadang besar, kadang - kadang kecil, contohnya Tahaluf Siasi. Mereka yang tidak belajar Feqah Politik, mengatakan Pas sudah menyelewing. Pada hal keputusan yang kita buat masih lagi berkisar kepada nas syarak. Kepercayaan kepada kebijaksanaan kepimpinan adalah amat mustahak, khususnya di dalam dunia politik yang bergerak pantas. Jika jamaah gagal membuat keputusan yang cepat untuk menghadapi suasana kita akan ketinggalan zaman. Jika keputusan hendak dibincang dahulu daripada semua peringkat hingga ke cawangan, maka sudah tentu kita ketinggalan dan jamaah tidak maju. Pemimpin Pas tidak rela untuk diri mereka dimamah neraka kerana mengkianati perjuangan Pas dan ahli.

Menjaga Rahsia Parti.

Rahsia parti bukan sahaja kepada orang lain, malahan dengan anak isteri tidak boleh diberi tahu. Menunjukkan bukan semua perkara yang dibincang oleh parti mesti diketahui oleh orang lain. Seorang itu dianggap biadab dengan jamaah, bila mendedahkan apa yang berlaku di dalam mesyuarat. Lebih parah lagi yang disebar keluar ialah perjalanan mesyuarata untuk membuat keputusan, bukannya keputusan mesyuarat. Beliau menceritakan orang ini setuju, orang ini bangkang. Rahsia parti dan strategi parti tidak boleh dibincang di dalam forum yang terbuka seperti Face book, Twitter yang bukan ahlinya. Lebih kurang ajar lagi minta pandangan dan komen daripada mereka yang bukan ahlinya mengenai perjalanan parti. Biarlah kita menyusahkan musuh mendapat maklumat, jangan kita memberi maklumat secara percuma tanpa mereka bersusah payah. Sebenarnya di dalam keadaan kita menjaga rahsia ini pun masih terlepas, telahan pula kita sendiri yang mendedahkan. Peringatan untuk diri saya, hendak bercakap mengenai rahsia parti kena berhati-hati. Kebimbangan kita dengan alat komunikasi yang canggih akan merakam perbualan kita. Oleh itu perhatikan dengan siapa yang kita berbicara. Zaman dahulu berpandang-pandang sebelum bercakap, sekarang agak sukar kerana alat perakam di dalam telefon sudah cukup menjadi alat untuk merakam perbualan kita dan di dedahkan keluar.




Adab Kita Berjamaah
Ustaz Idris Haji Ahmad
27/3/14



P/S: Moga beroleh manfaat darinya.


sumber: TITM

Karpal dan sikap sebenarnya berkenaan hudud – Dr Mujahid Yusof Rawa


karpal smile2
Pepatah yang menyatakan bahawa “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” ada pada Karpal Singh. Pertama, secara majazi (perlambangan), ‘Harimau Jelutong’ itu telah meninggalkan belang, kedua, secara hakiki, mendiang meninggalkan nama yang besar sebagai ahli politik yang disegani kawan dan lawan.
Jarang seseorang dapat memenuhi perumpamaan ini secara majazi dan hakiki dalam menggambarkan ketokohan seseorang individu yang meninggalkan kita.
Singh is King
Ungkapan ini pernah dipakai oleh Karpal sesuai dengan ugutan yang diterimanya daripada Pemuda Umno. Saya ada dalam Parlimen semasa mendiang mempertikaikan tindakan beberapa Pemuda Umno yang cuba menghalangnya di Parlimen.
Antara ungkapan lain yang disebut oleh Karpal dalam suasana yang tegang dalam Parlimen semasa itu ialah, “Ini Pemuda Umno celaka!” lalu Yang DiPertua Dewan Rakyat mencelah supaya ditarik balik kata-katanya itu tetapi Karpal enggan.
Setelah didesak beberapa kali Karpal setuju dengan berkata, “Saya tarik balik, tetapi ini Pemuda Umno memang celaka.” Saat itu heboh dewan dengan ketawa daripada anggota dewan.
Karpal memang terkenal dengan perkataan berbisanya seperti “jangan main-main…” apabila beliau ingin mendesak sesuatu tindakan diambil segera. Dialek Indianya dalam berbahasa Melayu seringkali mencuit hati anggota dewan tetapi isi ucapannya senantiasa mendapat perhatian pihak BN kerana sengatannya yang berbisa kepada Ahli Parlimen BN.
Dewan pastinya akan sunyi selepas ini tanpa SINGH IS KING.
Saya dan DAP
Saya mula mengenali  DAP semasa di bangku sekolah menengah lagi melalui poster-poster pilihan raya apabila berlangsung pilihanraya umum. Sebagai anak Pulau Pinang yang membesar di Georgetown lambang DAP tidak menjadi sesuatu yang menakutkan saya walaupun tanggapan saya terhadap DAP semasa di bangku sekolah adalah stereotype sama macam budak Melayu sezaman dengan saya.
Sebagai seorang yang membesar dalam rumah pemimpin PAS, saya sukar menerima pandangan Umno, apatah lagi media yang menyerang PAS setiap hari, tetapi saya juga tidak melihat DAP mempertahankan PAS pada masa itu.
Saya boleh rumuskan bahawa semasa di bangku sekolah saya melihat DAP dari kacamata PAS yang melihat DAP tidak banyak membantu, malah sikap ‘anti-Melayu DAP’ begitu mencengkam dalam benak anak muda Melayu pada zaman saya.
Namun zaman berlalu, saki-baki tanggapan kepada DAP semakin terhakis dengan kematangan berfikir generasi hari ini dan terpulang kepada sejauh mana DAP mampu membuktikan sebaliknya.
Saya yakin kemunculan politik baru Malaysia yang menolak sikap perkauman akan memudahkan lagi orang mengenali DAP.
Karpal dan Saya
Jujurnya, saya terlalu kerdil berbanding ketokohan Karpal dalam dunia politik dan perundangan Malaysia. Ketika Karpal memulakan karier politiknya pada tahun 1974 sebagai ADUN di Kedah, saya baru di tahun 4 sekolah rendah.
Nama Karpal hanya saya kenali semasa di sekolah menengah lewat persepsi saya terhadap DAP. Semasa Kelantan memperkenalkan Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah, Karpal antara tokoh yang lantang menentang.
Saya mula berminat untuk mengenali tokoh ini pada tahun 90an dan cuba memahami secara objektif mengapa beliau menentang undang-undang hudud ini. Dari sini saya mula mengenali pemikiran perundangan beliau yang merupakan pengikut tegar kerangka Malaysia sebagai negara sekular.
Pertama Kali Bertemu
Pada tahun 2005, saya telah kembali ke negeri asal saya iaitu Pulau Pinang. Pertama kali saya menemui beliau ialah kunjungan semasa beliau di hospital setelah mengalami musibah. Walaupun saya tak sempat berbicara dengannya kerana keadaaannya, tetapi saya sempat mengucapkan kata-kata semangat kepada isteri beliau bagi mewakili PAS Pusat.
Seterusnya pertemuan saya ialah di bangunan Parlimen setelah dilantik menjadi Ahli Dewan Rakyat, kini saya bersama MP yang lain sebaris dengan MP lama, termasuklah Karpal.
Heboh dewan pada hari pertama mengangkat sumpah apabila MP Kinabatangan mempertikaikan bagaimana Karpal boleh mengangkat sumpah tanpa mengangkat tangannya sedangkan wakil Kinabatangan mengetahui bahawa Karpal mengalami masalah mengangkat tangan.
Berlaku kekecohan dan itu pertama kali kami ditunjukkan bagaimana berbalas kata boleh berlaku di Parlimen Malaysia.
Seterusnya pertemuan saya dengan beliau adalah sebagai ahli Parlimen muda yang cuba mempelajari selok-belok berbahas dalam Parlimen dan saya mendapati perbahasan beliau banyak berlegar di sekitar perundangan dan kehakiman serta pendedahan beliau tentang salahlaku kehakiman yang boleh menjejaskan kredibiliti mahkamah di Malaysia.
Ucapan Karpal
Saya juga mengikuti setiap ucapan politik beliau yang sempat saya dengar. Antaranya ialah ketika saya di Melaka, semasa hubungan PAS dengan DAP berasaskan kepada perjanjian Barisan Alternatif pada hujung 90-an.
Ucapannya selamba tetapi sarat dengan kritikan pedihnya kepada sistem perundangan negara, khusus pada kemuncak kes Anwar Ibrahim ketika itu. Kemudian saya mendengar ucapannya yang lebih serius pada majlis makan malam kemenangan DAP di Pulau Pinang.
Di atas kerusi roda, beliau bersemangat menceritakan intipati perjuangan DAP dan komitmennya pada suasana demokratik dan sekular yang menjadi asas pembentukan negara ini. Ucapannya serius, dengan kata susun atur kalimatnya dikeluarkan satu-satu, disambut tepukan gemuruh hadirin yang masih dalam mood kegembiraan dengan kejayaan PR diterajui DAP menawan Pulau Pinang.
“Saya Tidak Menentang Islam”
Di sebalik tekanan tentang sikap Karpal yang dikatakan anti-hudud dan anti-Negara Islam serta kenyataan kontroversinya “langkah mayat saya dahulu…” Karpal beberapa kali menyatakan bahawa dia tidak  pernah menentang Islam.
Saya sendiri ada dalam Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 di Kepala Batas, ketika Karpal di hadapan pemimpin PAS dan PKR dan para peserta konvensyen menyatakan bahawa beliau menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan beliau tidak pernah menentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Karpal juga pernah menyatakan dalam satu temuramah bahawa, “I’m not opposed to Islam at all, I’m a god fearing man.”
Sikap Karpal yang sering dituduh sebagai anti-Islam kerana keengganan menerima Negara Islam dan hudud menjadikan beliau sebagai sasaran utama kelompok Melayu dari kedua-dua belah pihak UMNO dan PAS atas apa juga perbezaan politik mereka.
Persoalannya ialah, mengapakah Karpal bertindak demikian?
Logik Karpal Tentang Hudud
Karpal adalah ahli undang-undang. Hujah beliau tidak sangat menjurus kepada ideologi menentang penghayatan keagamaan, beliau lebih berminat kepada ideologi perundangan.
Hakikat ini ditegaskan dalam salah satu kenyataannya apabila ditanya mengapa beliau tidak boleh menerima konsep Negara Islam dan hudud.  Beliau menjawab, “My opposition to Islamic State and hudud is to preserve and defend the Constitution…”
Memahami logik Karpal dalam hal ini ialah memahami Karpal sebagai orang perundangan dan bukan sebagai seorang yang anti-agama. Mendekati ketegasan beliau dalam hal ini juga ialah dengan menggunakan logik perundangan dan bukan sentimen dan emosi agama.
Bagi saya tidak mudah untuk kita menuduh seseorang sebagai anti-agama Islam hanya kerana asas penolakan Negara Islam dan hudud atas asas perundangan.
Ini adalah kerana, bagi saya, anti-agama adalah terdorong atas kebencian dan permusuhan kepada apa sahaja makna keagamaan, termasuk menolak Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Kalau begitulah logiknya maka kewujudan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menghalang perlaksanaan hudud di peringkat negeri bolehkah dikatakan sebagai anti-agama Islam?
Adakah Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang memerintah dengan PM-nya sebagai seorang Islam sekarang juga anti agama kerana membiarkan sekatan ini berlarutan?
Bagaimana pula seorang Islam yang menolak Negara Islam dan hudud atas alasan ekonomi akan mundur dan pelabur asing akan lari malah ada yang menyatakan ianya tidak relevan lagi dalam dunia hari ini?
Saya bukan mempertahankan Karpal dan sikapnya. Saya cuma mahu memberi keadilan kepada isu Negara Islam dan hudud yang tidak pernah diberi gambarannya yang jelas kerana terlalu ramai yang ada kepentingan dalam hal ini sehingga ia lebih selesa ditanggap sebagai isu politik daripada isu substantif.
Logik Balas
Logik perundangan juga menuntut kita untuk menjawab persoalan apakah Malaysia sebuah negara sekular atau setengah sekular, sedangkan Islam mendapat tempat yang teratas walaupun agama lain bebas diamalkan dengan sekatan tidak boleh disebarkan.
Bagaimana pula halnya senarai negeri-negeri yang antara lainnya memperuntukkan enakmen undang-undang Islam boleh digubal?
Apakah tidak undang-undang Jenayah Syariah II di Kelantan dibuat secara perundangan? Jikalau ia dianggap ultra vires dengan Akta Mahkamah 1965, siapakah yang bertanggungjawab untuk menyemak semula peruntukan?
PAS pernah membawa bil persendirian di Parlimen melalui Presidennya Datuk Seri Hj Hadi Awang untuk isu murtad tetapi tidak pernah diterima untuk dibahaskan.
Logik perundangan inilah yang harus dijadikan landasan meyakinkan para penggubal undang-undang bahawa akhirnya isu sensitif seperti ini perlu mendapat mandat dan proses politiknya perlu mendapat kefahaman rakyat secara substantif.
Sensitiviti isu-isu agama jika hendak diperundangkan – termasuklah hudud – pasti akan mendapat pelbagai reaksi aliran pemikiran politik, namun Rashid Al Ghanushi pernah memberikan kerangka bagaimana isu ini perlu digarap dengan berkata,
“No one has the right to claim he represent the religion, neither An Nahda nor anyone else. Society through its dynamic is the one to formulate and translate religion into policies, laws and culture….the dynamic continues until there is consensus about the opinion of religion on the issue…”
(Tidak ada sesiapa yang berhak mendakwa bahawa dialah yang mewakili agama, termasuk parti An Nahda atau sesiapa yang lain. Masyarakat melalui dinamikanya yang akan membentuk dan menterjemahkan agama kepada dasar, undang-undang dan budaya…dinamika ini berlangsungan sehinggalah adanya satu konsensus tentang sikap agama berkenaan isu tersebut).
Saya amat bersetuju dengan kerangka pemikiran demokratik yang digarap oleh pemimpin An Nahdah tersebut kerana dengan kerangka ini jugalah kita harus berhujah dengan logik Karpal yang saya tahu diyakini ramai oleh rakan-rakan dalam DAP apabila isu hudud menjadi perbualan hangat sekali lagi mutakhir ini.

Karpal dan PAS
Pemimpin PAS yang sering dikaitkan bertembung dengan Karpal ialah Dato’ Setia Bentara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan.
Pertembungan mereka ialah kerana konsistennya Mursyidul Am PAS itu mahu menjalankan enakmen Jenayah Syariah yang telah mendapat mandat persetujuannya oleh Sultan Kelantan tetapi terhalang kerana Akta Mahkamah Syariah (1965).
Begitulah juga konsistennya Karpal menentang hasrat ini atas hujah yang dinyatakan di atas tadi.
Namun demikian seluruh negara telah menyaksikan satu pertemuan bersejarah yang penuh mesra antara kedua-kedua pemimpin hebat ini di rumah Karpal apabila Mursyidul Am PAS itu menziarahi Karpal di Pulau Pinang sambil menerima kek harijadinya daripada Karpal pada 27 Jan 2013.
Kedua-duanya bertemu mesra walaupun mereka mempunyai dua pandangan yang bertentangan antara satu sama lain. Sikap keterbukaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz lambang komitmen PAS kepada menghormati hak untuk tidak bersetuju walaupun berada dalam satu kolusi politik.
Karpal pula sentiasa bertanggapan positif kepada PAS dan dari kata-katanya sendiri boleh membuktikan sikapnya bahawa,
“We may have our differences with PAS but it is a solid principled party and an important ally.”
(Kita mungkin ada beberapa perbezaan pandangan dengan PAS tetapi PAS adalah parti yang berprinsip dan rakan yang penting).
Selamat Tinggal Selamanya
Speaker Dewan Rakyat adalah orang yang akan terasa pemergian Karpal kerana suaranya tidak akan kedengaran lagi mengetuk mikrofon meminta ‘point of order’ dibacakan, khususnya untuk mempertikai ‘ruling’ yang dibuat oleh Tuan Speaker.
Ketajamannya menimbulkan hujah perundangan dalam akta yang dibahaskan dan kritikannya kepada kehakiman di negara ini sentiasa berbisa dan pedas, namun bernas.
Kami MP muda akan hilang seorang senior MP yang membuatkan kawan dan lawan ketawa dan marah ketika beliau berbahas.
Para hakim akan kehilangan peguam yang senantiasa menguji kewibawaan mereka pada tahap maksima.
Ahli DAP akan kehilangan suara semangat yang pernah mengatakan dalam suasana kekalahan DAP di Pulau Pinang satu ketika dahulu, “berhati-hati pada harimau yang tercedera kerana ia lebih berbahaya…”

Masyarakat sivil yang pernah mengenali Karpal tidak akan lupa kata-katanya bahawa, “It is important for every citizens in this country to know that no one is above the law.” Kerana meyakini prinsip moral perundangan ini beliau berhadapan dengan masalah daripada pihak istana.
Bagi seseorang yang tegas dalam dunia politik dan perundangan, Malaysia turut terasa perginya seorang anak Malaysia mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan jujur.
Soal salah atau betul beliau mempertahankannya bukan isu, tetapi itulah caranya beliau melahirkan kasihnya pada negara yang tercinta ini.
Sepi seketika hiruk-pikuk suara yang menghentam Harimau Jelutong ini pada awal pagi berita kematiannya secara tragis dimaklumkan seluruh negara.
Harimau tidak mengaum lagi tetapi belangnya meninggalkan bekas seperti namanya. Kata-kata mendiang akan senantiasa terngiang di telinga kawan dan lawannya,
“You knock out one Karpal Singh, hundred Karpal will rise”.
Selamat Tinggal Komrad Karpal! – Roketkini.com


Ku abadikannya disini, moga yang baik dapat dicedok.

Sunday, 6 April 2014

NOTA KEUSAHAWANAN JUTAWAN PERKATAAN 8.0



1. Adalah wajar saya lebarkan pengetahuan ini. Dalam dunia kekayaan yang melimpah ruah ada 4 sektor utama. Pertama, Dunia Pelaburan. Kekayaan ada dalam Bursa. Pelaburan menurut Guru Saham, Hj Mohd Asri adalah 90 % pengetahuan tentang diri dan 10% pengetahuan teknikal.

2. Dunia kedua, adalah dunia Hartanah. Pemilikan harta. Bangunan, rumah, kedai dan seumpamanya. Ianya boleh dipelajari dengan teliti secara menekuni.

3. Pada bahagian ketiga, Dunia Bisnes. Pemasaran produk, khidmat dan idea. Dan keempat, Dunia Internet. Hari ini 30% penduduk dunia ada akses kepada internet dan dijangka 10 tahun lagi, 50% penduduk dunia akan ada akses kepada internet. Dunia Internet adalah dunia tanpa batasan.

4. Memahami duduk perkara ini, kita bayangkan berada di Universiti Wang. Pilih mana mana antara 4 subjek ini untuk jadi major dan jadi minor. Dua major dan dua minor sudah cukup baik. Ataupun ambil 3 subjek dan tinggalkan satu.

5. Ianya rezeki. Rezeki halal. Rezeki yang diberkati apabila kita berkongsi. Berkongsi tanpa nanti, memberi tanpa tapi.

6. Ada 4 langkah untuk jadi Jutawan:

Langkah 1. Katakan tidak salah, tidak berdosa untuk jadi kaya.

Langah 2. Visualisasikan kita berada dalam dunia yang melimpah ruah. Bayangkan keindahan ini dalam getar kesyukuran tatakala masih berada diatas sejadah selepas solat suboh. 5 minit getaran kesyukuran untuk kejayaan 5 tahun di depan. InsyaAllah.

Langkah 3. Belanja kurang dari apa yang kita dapat. Hidup sederhana, walaupun pendapatan berganda.

Langkah 4. Laburkan kembali, apa yang dapat disimpan dan dijimatkan. Mulakan pelaburan dengan ILMU BISNES. Ilmu dapat menjaga harta di hari muka.

NOTA KEUSAHAWAN JUTAWAN PERKATAAN 7.0



TUAN SYAIZUL AMAL BERCERITA TENTANG PATRIK CHAN : 
STRATEGI DAN TAKTIK

1. Beliau telah membuat berjuta-juta ringgit dengan perniagaan internet. Ebook, Affliliate, Dropship, dan banyak lagi. Setiap projek yang beliau jalankan ada turun naik dan beliau terpaksa mengejar trend. Beliau keletihan.

2. Berlaku kecelaruan, terlalu banyak perkara perlu dilakukan dalam bisnes sehingga beliau berkata, STOP. Ini semua tidak boleh berlarutan.

3. Pada tahun 2012, beliau berhenti dari semua yang sedang dilakukannya.
Beliau bercuti 6 bulan, tidak buat apa-apa kerja pun. Beliau memikirkan tentang strategi bisnes internet beliau. Sebelum ini beliau terlalu fokus kepada taktik.
Kata Patrik Chan, taktik tanpa strategi tidak akan sampai ke matlamat utama dan hilang arah.

4. 7 bulan lepas, Patrik Chan kembali ke dunia internet dengan strategi yang mantap. Kini syarikat beliau menjana RM100 ribu sebulan.
Jumlah terkumpul selama 7 bulan adalah RM700 ribu.
Itulah bezanya apabila beliau mula memfokuskan kepada strategi. Kemudian beliau menceritakan kepada cara membina strategi.

5. Pada saat ini sata teringat kata kata Tuan Bukhari Ramli yang memetik perumpamaan berikut: Strategi tanpa adalah jalan jauh untuk mencapai sesatu perkara. taktik tanpa strategi pula adalah bunyi bising sebelum kalah perang.

6. Sedang mennggu perkongsian lanjutan dari Tuan Syaizul Amal.

NOTA KEUSAHAWANAN JUTAWAN PERKATAAN 6.0



KENAL SIAPA ITU SAMA PENTINGNYA DENGAN TAHU BAGAIMANA.

1. Seorang dari MENTOR saya namanya Datuk Hassan Harun. Dia 20 tahun lebih berumur dari saya. Dia mengajar saya sambil membayar gaji kepada saya untuk belajar dengan dia.

2. Saya belajar selama 10 tahun secara intensif. Dia berikan modal berpuluh juta untuk saya uruskan anak syarikat.Saya belajar pengurusan korporat dari beliau yang pada masa itu Chairman dan CEO syarikat yang mempunyai nilai pasaran rm500 juta.

3. Nasihat terakhir beliau sebelum saya berhenti 10 tahun dulu.

"Organic Growth Lan". Semai anak benih, siram, bajai dan perhatikan ia membesar selama 7 tahun. InsyaAllah boleh berbuah.

4. Usah tanam pokok yang telah besar. Transplanted Trees selalunya gagal menumbuh akar dan mudah mati.

Itulah analogi memulakan bisnes. Ia mengingatkan buku Mark McComark, What they don't teach you at Harvard Business School yang saya baca 25 tahun dulu:

"Lebih banyak wang pendahuluan yang diperlukan untuk sebuah bisnes, lebih besar kemungkinan ia gagal bergerak."

5. Saya bersetuju dengan Puan Guru Ainon Mohd supaya usah membeli Semangat dan Keyakinan Palsu . Banyak peniaga Melayu yang masih muda, usia belum 35 tahun, sudah membuka bisnes pertama dengan modal puluhan, malah ratusan ribu ringgit.

6. Tidak lama kemudian, sepanjang berada dalam dunia keusahawanan jiwa mereka dalam keadaan sangat tertekan oleh hutang bank yang banyak. Hutang pokok tidak mampu dibayar. Tiap hari faedah tertunggaknya menjadi pokok.

7. Sampai sekarang saya tidak faham bagaimana mungkinmereka boleh meletakkan impian mahu jadi Bilionwan seumpama Tan Sri Syed Mokhtar al Bukhari tatakala belum pun jadi jutawan.

8. Kata Puan Guru,mereka belum pernah mempunyai pengamalan melangsaikan hutang bank RM20k, tetapi berani membuat pinjaman RM200k. Mereka belum pernah menjalankan perniagaan gerai makan, tetapi sudah berani membuka restoran francais.

9. Tambah Puan Guru lagi, mereka belum pernah membayar gaji walaupun seorang pekerja, tetapi sekarang mempunyai staff yang beruniform cantik seramai 6 orang.

10. Puan Guru berpesan panjang, apabila memgendalikan program keusahawanan nanti usah jadi penganjur kursus dan seminar yang menampilkan penceramah yang menjual gambaran palsu, semangat palsu, keyakinan palsu, harapan palsu, janji palsu, dan jaminan palsu, kononnya:

"berhutang demi memulakan perniagaan dengan menggadaikan hartanah milik orang tua adalah selamat"

11. Semua pesan pesan dari Mentor Mentor ini saya ingat. Termasuklah nasihat:

"Kenal siapa itu sama pentingnya dengan tahu bagaimana". pastikan dalam program pengendalian nanti ada dua elemen utama ini. Itulah paksi saya sepanjang perkongsian dalam Dunia Pengucapan dan Dunia Keusahawanan.

NOTA KEUSAHAWANAN JUTAWAN PERKATAAN 5.0



1. Tuan Roslan kelihatan selalu mengikuti pelbagai seminar, program dan majlis ilmu? Apakah yang tuan cari? Itu pertanyaan beberapa orang anak muda dan tuan menolak tawaran bersama YB Tan Sri Annuar Musa untuk melawat Eropah dari 14 hingga 27 April hanya kerana PULAU JUTAWAN.

2. Ianya DERUAN KEISTIMEWAAN. Saya mencari tempat untuk membina rangkaian sokongan. Minda yang tidak diasuh biasa mendengar tidak mungkin dapat membuka mulut untuk didengari. Minda yang tidak punya teman teman sejiwa tidak mungkin segar secara sendiri.

3. Hidup seharian ini bagaikan berkafilah merentasi Gurun Sahara. Panas disiang hari, sunyi sekali di malam hari. Hidup seharian ini seumpama melalui Laut Andaman. Ombak bergulung tinggi tidak terpandang sewaktu ombak pasang dan sunyi sesunyi sunyinya hingga kita boleh berhalusinasi dengan pelbagai gambaran tidak keruan pasti apabila laut tenang seketika.

4. Kejayaan adalah bangun sekali lagi selepas jatuh. Berapa kali jatuh tidak perlu dihitung hitung. Apa yang utama, bangun segera selepas jatuh. BANGKIT.

5. Berapa banyak kegagalan dalam hidup ini lantaran kita tidak dapat bangun semula. Kita sukar untuk bangun semula apabila kita tidak ada pasukan penyokong. Pasukan sorak yang ultra. Pasukan Sorak Ultra inilah yang mahu dibina di Pulau Jutawan.

6. Terpinggir adalah punca perosak dalam laluan kehidupan sekarang. Kita mesti berada dalam lingkungan manusia yang membarakan semangat kejayaan. Kita mesti sentiasa dalam puak kaya dan berjaya.

7. Pasukan Impian mesti ada tiga ciri utama yang boleh membantu kita maju ke muka dan bergelar juara. Pertama, Pasukan Impian mestilah ada Jurulatih berwibawa. Jurulatih yang mendengar, membantu kita berfikir dan sentiasa menaikkan semangat pasukan.

8. Pasukan Impian, keduanya, mesti ada PAKAR yang dapat menasihati kita dalam topik khusus. Pakar yang telah terbukti berjaya. Pakar yang hebat dan mempunyai lebih pengalaman dalam bidang mereka berbanding kita.

9. Pasukan Impian , ketiganya adalah Sumber Inspirasi. Ianya bukan punca depresi. Saling menyokong untuk meneruskan usaha kita.

Inilah asas PULAU JUTAWAN.
5 Jurulatih. 5 Pakar. 33 orang peserta.
Kita mulakan penerokaan.

NOTA KEUSAHAWAN JUTAWAN PERKATAAN 4.0



1. Benarkah kita memerlukan masa selama 10,000 jam untuk mahir dalam sesatu bidang dan kemudian jadi pakar. 10,000 jam apabila dikerjakan 5 jam sehari akan mengambil masa 2000 hari. 2000 hari apabila dikerjakan 5 hari seminggu akan ambil masa 400 minggu.

2. 400 minggu apabila dikerjakan 40 minggu setahun akan ambil masa 10 tahun. Masa yang sungguh lama. Dan ianya memerlukan disiplin yang luar biasa untuk menyudahkan apa yang telah kita mula. Perangkap sunyi tatkala menyudahkan ini begitu menduga.

3. Itulah yang diterima ramai apabila Malcom Gladwell menulis formula ini dalam bukunya Outliers. Namun begitu, pakarkah seorang yang setiap hari melakukan kerja yang sama selama 10 tahun tanpa penekunan melainkan itu adalah rutin harian mereka sahaja.

4. Bagimana kah cara mahu mempercepatkan proses ini? Kita berada dalam limpahan maklumat dan semuanya perlu kepada kepantasan. Apakah tiada cara menjadikan 10,000 itu kepada 100 jam sahaja.

5. Jawapan telah diberi. Pertama, berikan tumpuan. Fokus yang luar biasa.
Fokus 100%. Amatur mengulang perkara yang sama berhari hari. Profesional mencari perkara yang perlu diperbaiki dan melakukan pada bahagian yang paling sukar dahulu.

6. Untuk mempercepatkan proses, strukturkan kerangka maklumbalas. Mesti ada MENTOR yang meminjamkan lampu suluh terang mereka untuk kita menyuluh jalan. Mesti ada Mentor yang membantu kita melakar terang peta perjalanan. Mesti ada Mentor yang memberikan maklubalas segera kelemahan kita dan menyajikan hidangan inti kebijaksanaan.

7. Latihan 50 jam pertama membantu kita tahu dan boleh buat. Apabila kita sudah berpuas hati, itulah punca kemusahan. Ibu kepada segala kemahiran adalah pengulangan. Selepas kita boleh buat, teruskan pengulangan sehingga ia kelihatan mudah apabila kita melakukannya. Ada dua titik sukar disini, sewaktu mahu memulakan dan sewaktu kita sudah boleh melakukannya. Kita tidak lagi mengulanginya hingga mahir dalam bidang.

8. Seseorang boleh menguasai satu bahasa selepas 1000 jam belajar. Namun petah kata dan fasih bicara dalam penguasaan bahasa berkenaan hanya terlihat apabila kita berterusan menggunakannya dan meletakkan diri dalam lingkungan mereka yang menggunakan bahasa berkenaan sebagai percakapan harian.

9. Berehat secukupnya. Tidur 6 jam pada waktu malam dan sejam pada waktu tengahari. Ini kunci untuk tumpuan. Latihan sebenarnya dalam minda. Beri ruang untuk minda berehat bagi mendapatkan tumpuan "thorbaek" dalam pembelajaran.

10. Sekali lagi saya ulangi 100 jam latihan Intensif adalah kunci untuk mempercepatkan proses memahirkan diri dalam satu satu bidang. InsyaAllah. Ianya cepatan 100 kali ganda dari formula 10,000 jam yang dibawa oleh Malcom Gladwell.

ILMU BISNES DARI PERGURUAN AINON MOHD. 18.0



1. Pagi itu saya datang awal. Masih belum tidur dari Kelantan. Begitulah adanya setiap minggu pada hari Sabtu. Hari menghadap Guru. Tiada kejayaan tanpa pengorbanan berkenderaan beratus batu.

2. Pagi bermakna sempat sarapan sebelum orang lain sampai. Puan Guru Ainon Mohd bertanya saya. Apa perasaan Dato' sebagai orang korporat yang telah memulakan bisnes sendiri. Saya pun mula bercerita.

3. Setelah 15 minit bercerita, Puan Guru Ainon Mohd pun berkata, salah satu tingkah laku bekas staf korporat yang membuka bisnes sendiri adalah mereka berfikir macam dirinya masih orang korporat.

4. Orang korporat sudah biasa membelanjakan duit korporat yang banyak. Mereka tidak sayang duit, sebab duit itu duit orang lain. Apabila orang korporat membuka bisnes sendiri, mereka cenderung terbawa-bawa gaya berbelanja orang korporat juga.

5. Sambung Puan Guru, Mereka tidak mempunyai kemahiran membelanjakan duit sendiri dengan berhemat.

Dengan realiti bahawa 93% bisnes ditutup dalam tempoh 3 tahun selepas beroperasi, apa yang banyak berlaku adalah di mana bekas-bekas orang korporat banyak yang menanggung hutang bisnes yang besar apabila bisnes pertamanya lingkup.

6. Puan Guru Ainon Mohd dengan kebijaksanaannya berkata, fenomena yang Dato' sebut tadi, biasa kita lihat: Sebelum buat bisnes, dia kaya, banyak duit dalam tabungan. Selepas buat bisnes, dia banyak hutang, harta dicagarkan.

7. Inilah tujuan kita diABS mengajarkan dengan bersungguh-sungguh cara yang betul memulakan bisnes menggunakan strategi lean-startup. Tanpa modal hutang. Bisnes adalah life-style. Pilih life-style yang sesuai dengan psikologi dan jiwa kita.

8. Puan Guru menyambung kata kata dengan menyebut, berapa ramai dari bekas pegawai kerajaan dan korporat berjaya mendapatkan pinjaman bagi memulakan bisnes dalam sektor yang tidak glamor.

Contoh sektor yang tidak glamor adalah bidang pertanian, seperti projek membela lembu, kambing, ayam, ikan keli, pisang, sayuran dan banyak lagi.

9. Kalau orang seperti Dato' melibatkan diri dalam sektor tidak glamour itu maka jadilah tangan Dato' seperti tangan-tangan bekas pegawai kerajaan dan eksekutif korporat yang membuka projek tidak glamor dan hampir semua dari mereka hangus terbakar.

10. Projek mereka bungkus. Hutang melambak. Projek pertanian adalah sangat tidak glamor. Ia aktiviti yang banyak nyamuk, panas, kotor, comot dan busuk.
Bukan itu sahaja, aktiviti berladang bukan aktiviti yang disanjung oleh masyarakat Melayu, malah sebaliknya.

11. Kecuali Tan Sri Norian Mai, bekas Ketua Polis Negara, tidak ramai orang yang tahan dengan keadaan yang banyak nyamuk, panas, kotor, comot, dan busuk itu.

12. Lantaran tidak ada ramai orang lagi yang sampai, saya ambil kesempatan minta tip Puan Guru Ainon Mohd bagiamana mahu berminat menjadi trainer.

Puan Guru memberikan tiga tip permulaan. saya cata kemas dalam buku nota. Saya salin semula untuk bacaan teman teman.

Inilah langkah-langkah yang perlu sebagai persediaan menceburi industri ini:

13. Pertama,
Pilih satu bidang ilmu yang kita mahu menjadi specialist dalam ilmu itu.

Saya kata pilih ilmu Public Speaking

Puan Guru kata,
Beli dan baca semua buku-buku yang ada disebut dan dikaitkan ilmu Public Speaking.

14. Saya jawab, saya sudah beli, baca dan garisbawahi lebih dari 500 buah buku tentang Public Speaking. Saya sudah tengok dan tonton semua you-tube Andy Harrington, Carmine Gallo dan Steve Jobs.

15. Kata Puan Guru Ainon Mohd, sekarang, Dato' menjadi pakar ataupun specialist bidang. maka terus kepada tip kedua, Belajar mengamalkan teknik-teknik dalam bidang ilmu itu.

Sebagai contoh, sebagai trainer bidang Public Speaking, Dato' mestilah berlatih menggunakan teknik-teknik PS sampai mahir. Barukah kita memilik skill-skill Public Speaking.

16. Tugas trainer adalah memindahkan skill-skill yang ada pada kita kepada para trainee. Ketiga, Beli dan baca buku-buku panduan menjadi trainer.

17. Saya jawab, InsyaAllah saya sudah beli. Apa yang utama sekarang saya sedang menekuni cara Puan Guru mengendalikan kelas supaya saya dapat menjiwai caragaya Trainer Profesioanl yangtelah berpengalaman lebih dari 20 tahun dalam bidsang kepakarannya.

18. Matahari sudah meninggi. masa bertalaqi sampai ke penghujung. Ramai orang telah sampai dan kelas dam bilik kuliah kami bermula semula.

ILMU BISNES DARI PERGURUAN AINON MOHD. 17.0



1. Puan Guru Ainon Mohd seperti selalunya membentangkan kenyataan yang terang. Begitu benderang hata kepada orang biasa yang baharu mengenal dunia usahawan.

2. Kata Puan Guru, salah satu halangan kejayaan yang kita cipta sendiri adalah perbuatan 'mind-reading' yang negatif. Mind-reading negatif disebut 'suuzon' dalam bahasa Arab. Dalam bahasa biasa, suuzon disebut 'sangka buruk'.

3. Lalu beliau mula menghurai, sangka buruk menyebabkan kita menghalang diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang baik untuk bisnes kita.

Dan beliau mengemukakan percontohan dan bukti. kata beliau, contoh-contoh suuzon adalah:

"Orang kaya takkan mahu singgah membeli nasi lemakku ini.
Maklumlah, kita cuma menjual di tepi jalan sahaja."

"Budak ada ijazah takkan mahu bekerja jadi salesman
dalam syarikat aku yang kecil ini."

"Takkan ada orang yang mahu menjadi pemodal untuk projek cendol aku nih?"

4. Sekali pandang, mind-reading macam contoh yang diberikan oleh Puan Guru itu macam sifat yang baik, iaitu merendah diri dan tidak riak.

Hakikat Nyata, kata Puan Guru ayat-ayat dalam contoh itu menunjukkan seseorag yang menilai bisnesnya sendiri dengan cara yang buruk sekali.

5. Maksudnya kita sendiri merendah-rendahkan bisnes kita sendiri dengan berkata,

Orang kaya pun tak mahu makan nasi lemaknya.

Pemegang ijazah pun tidak mahu bekerja dalam syarikatnya.

Tidak ada pemodal yang percaya idea cendolnya bagus.

6. Puan Guru berkata dengan tegasnya, apabila kita sendiri merendah-rendahkan bisnes kita sendiri, apa lagi yang ada pada bisnes itu. Noktah.

7. Kami yang duduk dalam bilik kuliah ABS atau nama penuhnya Ainon Business School diam sediamnya. Seakan tidak dapat mengupas apa apa. Mungkin kami juga begitu. Suka memperlekeh bisnes sendiri tanpa menyedarinya.
"Rendah diri lah sangat"

8. Menyedari kami banyak berdiam dan tanpa keriuhan seperti biasa, Puan Guru cepat menukar kepada topik baharu. Kali ini beliau menulis besar diatas papan putih perkataan "Modal sosial"

9. Puan Guru menyambung perkongsian beliau. Kata beliau, Berbisnes adalah bersahabat. "Bisnes is relationship". Kawan tolong kawan. Kita tolong kawan kita. Orang tolong kawan orang.

10. Suasana kembali meriah dengan tiap seorang mula memberikan komentar. Puan Guru meneruskan kata kata, Persahabatan adalah modal sosial. Modal sosial adalah modal bisnes yang sangat tinggi nilainya. Dalam situasi tertentu, modal sosial lebih penting daripada modal duit.

11. Hj Wan Hilmi yang selalu bising bising, mula mengambil contoh permainan golf. Puan Guru mencengilkan matanya dan memberitahu golf bukan sunnah.
Hj Wan Hilmi mula mengemukakan hujah. Itulah senda gurau kami dalam memeriahkan kelas.

12. Puan Guru terus menyambung kelas dengan berkata, semakin banyak modal sosial kita, semakin mudah kita menjalankan bisnes.
Bagi menambahkan modal sosial kita, ia memerlukan modal yang banyak. Persahabatan bukan sesuatu yang datang percuma.

13. Puan Guru melontarkan kata kata, orang takkan mahu berkawan dengan kita melainkan mereka SUDAH mendapat keuntungan daripada kita.

Beliau mengemukakan pertanyaan,
Apakah sebabnya orang mahu mengambil kita sebagai sahabat?

14. Kami pun mengemukakan jawapan jawapan kami. Puan Guru terus berkata, sikap mahu mendapatkan sahabat baru tetapi tidak mahu mengeluarkan modal adalah ibarat mahu memancing ikan besar tetapi tidak mahu mengeluarkan modal umpan.

Umpan modal sosial adalah dengan menabur budi,
yakni banyak memberi, memberi, memberi.

15. Puan Guru kemudiannya memberikan Tip mahal bagaimana melabur dalam menuai rezeki.

Kata Puan Guru, Bisnes adalah bersahabat.
Melabur banyak-banyak dalam menjalin persahabatan sesama orang bisnes.

Dalam mencari rezeki, jangan bercerai-berai dengan sahabat-sahabat bisnes kita. Biar rugi sedikit hari ini. Yang penting kita kekalkan persahabatan.

Jangan kecewa. Kekalkan persahabatan. Baiki produk kita.

Rezeki datang macam bas. Terlepas satu bas, tunggu. Sabar.
Nanti akan sampai masanya ada bas lain datang, dan datang, dan datang.

16. Kata kata ini datang bagaikan mutiara mahal cantik berkilau gemerlapan menghiasi suasana. saya bagaikan terpesona dan mula merasa alangkah besarnya yang Allah berikan dapat berguru dengan Puan Ainon Mohd.

Sambil menutup buku dan menyimpan pen, saya mengucapkan ALHAMDULILLAH.
 

ILMU BISNES DARI PERGURUAN AINON MOHD. 16.0



1. Semasa mula bertemu semula dengan Puan Guru Ainon Mohd ada banyak pesanan beliau. Saya kongsikan dahulu lima pesanan beliau yang saya ingat. Lekat dalam minda. Teradun dalam jiwa sampai sekarang. Apakah pesanan pesanan itu?

2. Pesanan Pertama: Sahabat sahabat bisnes adalah sumber peluang kita dapat membesarkan bisnes kita. Semakin bisnes mereka maju, semakin dapat kita ikut maju bersama.

3. Berkawan dengan bisnesman yang berjiwa entrepreneur.
Kurangkan berkawan dengan bisnesman yang berjiwa towkay.

4. Pesanan Kedua: Untuk memulakan bisnes kita memerlukan bakat ENTREpreneur. Untuk membesarkan bisnes kita memerlukan bakat INTRApreneur. Beli segera bakat INTRApreneur ini biarpun harganya mahal.

5. Pesanan Ketiga: Apabila memilih rakan kongsi, usah pilih orang yang ada modal duit. Nanti kita penat bekerja bagaikan kerbau dibendang berpanas diluar bangunan, dia pula bagaikan kucing berbulu lebat, kenyang di kerusi pejabat.
Pilih mereka yang ada modal sosial. Duit akan datang dari arah yang tidak disangka sangka.

6. Pesanan keempat: Sentiasa berusaha menambah modal sosial. Modal sosial adalah modal yang lebih besar peranannya dalam kejayaan bisnes dibandingkan dengan modal duit.

Apabila modal sosial kita miskin, itulah yang menyebabkan kita memerlukan banyak modal duit.

7. Pesanan Kelima: Tiada istilah berani gagal. Itu bohong. Besar bezanya antara gagal dan rugi. Tiada orang gagal dalam Islam selagi kita tidak berputus asa.

8. Skrip lazim yang didengungkan dalam program motivasi keusahawanan yang kerap kita dengar adalah supaya kita semua berani gagal. Juga supaya kita berani menanggung rugi.

Kita disuruh terima kenyataan kononnya kegagalan dan kerugian dalam bisnes adalah pengalaman yang meninggalkan kesan-kesan baik ke atas diri kita.

9. Puan Guru mahu saya baca sirah. Kata beliau, Nabi Muhammad membuka syarikatnya sendiri pada usia 18 tahun. Beliau bersara pada usia 38 tahun.

Sebelum memulakan bisnesnya sendiri Nabi Muhammad berkuli dan bermentor selama 6 tahun dalam sektor yang beliau mahu ceburi. Selama 20 tahun berniaga, beliau tidak pernah gagal ataupun menanggung rugi.

Ertinya, kegagalan dalam bisnes bukan kecelakaan yang tidak dapat dielakkan.

Media suka membesar-besarkan cerita bisnesman yang teruk menanggung kegagalan bisnes sebelum berjaya. Mereka dipotretkan sebagai hero.

Kita pun percaya dan yakin kononnya kalau mahu berjaya kita mesti gagal dan rugi besar dahulu. Walhal banyak bisnesman yang tidak pernah gagal.

10. Mahukan tuan dan cikpuan saya beritahu 5 lagi pesanan Puan Guru Ainon Mohd.kepada saya. Apabila mahu, katakan "mahu", tidak saya ternanti nanti.

Tutup nota. Mahu menghadap YB Tan Sri Annuar Musa petang ini. Cukup yang kata, "mahu" malam nanti saya kongsikan lagi.
 

NOTA KEUSAHAWANAN JUTAWAN PERKATAAN 3.0



1. Ada dua perkara yang sukar manusia biasa seperti saya mahu lakukan. Pertama, untuk berfikir tinggi. Kedua, untuk menentukan urutan keutamaan. Dalam bahasa Inggerisnya, buat teman teman yang sukar mahu faham bahasa Melayu, "to think and to do things in order of importance"

2. Untuk kaya dan berjaya perlu pada mahir berfikir sekurang kurangnya dalam aplikasi:

Inquisitive Thinking. Berfikir dengan Ingin Tahu.
Positive Thinking. Berfikir secara Positif.
Rational Thinking. Berfikir Logik dan Bersebab.
Perceptual Thinking. Berfikir pintarPeluang.
Intuitive Thinking. Berfikir dasar Gerak Hati.
Objective Thinking. Berfikir ikut Objektif.
Conceptual Thinking. Berfikir secara Konsep.
Analogical Thinking. Berfikir mengikut Analogi.

3. Kejayaan adalah DISIPLIN untuk tahu prioriti. Utamakan apa yang utama. Upaya untuk menyudahkan kerja pada matlamat yang telah kita tetapkan. Sudahkan apa yang telah kita mulakan.

4. Hidup ini semudah buat keputusan apa yang kita mahu lakukan dan lakukan. Buat keputusan apa yang tidak mahu lakukan dan usah lakukan. Tahu yang mana perlu disudahkan. Tahu juga yang mana patut kita tinggalkan pada sekerat jalan.

5. 95% dari kejayaan dalam pencapaian adalah tahu apa yang kita mahukan. Sampai sekarang saya yakin latihan 101 matlamat adalah untuk kita tahu apa yang kita mahu.

6. Memahami asas ini sungguh penting. Tiada siapa pun dalam saat akhir sebelum kematian, akan berkata, "Saya berharap dapat menghabiskan banyak masa lagi di tempat kerja, atau dalam bidang politik memperjuangkan kuasa". Tidak ada siapa pun.

7. Apabila kita dapat memahami urutan keutamaan ini kita berpeganglah pada kata kata, "Manusia tidak peduli sejauh mana kita tahu sehingga mereka tahu kita ambil berat. Kepimpinan bermula dengan hati. Bukan dengan kepala"

8. Saya ulangi, "Leadership begins with the heart, not the head"