Saiful Nang (SN), Co-Founder kami dijemput untuk berdialog bersama YAB Perdana Menteri secara tertutup dua malam lepas. Beliau yang hadir membawa suara WARGA PRIHATIN hanya salah seorang dari 5 yang diundang malam itu.
SN diundang atas tiket sebagai Social Media Influencer yang tidak partisan. Sepertimana peserta yang lain, rencana tulisan SN maupun tulisan WARGA PRIHATIN adalah terbuka, tidak hanya memihak kepada mana-mana parti. Jelas di situ bahawa YAB PM memang sangat terbuka. Kali ini ingin kami kongsikan sebahagian dapatan beliau yang telah dirumus secara bersama.
SUASANA DIALOG
SN ada komen dalam perkongsian YAB PM di laman FB beliau bahawa SN ada terlalu banyak untuk dicakapkan tetapi akhirnya hanya sedikit yang keluar. Ini kerana perbincangan itu tercemar dengan orang yang mendominasikan perbualan untuk melobi projek kepada YAB PM. Itu telah membuatkan beliau agak 'reserved'.
Warga Prihatin bukanlah orang yang suka mencelah perbualan. Apabila penyampaian tentang perpaduan nasional oleh SN dipotong dengan aktiviti melobi pada fasa pertama, SN rasakan biarlah beliau mulakan perbincangan itu dengan cara lain, iaitu memerhatikan bahasa badan PM sendiri.
SN diletakkan bersebelahan PM. Kata pegawainya “You are on top of the LIST”. Mungkin juga SN salah dengar bahawa yang mahu dikatakan ialah “On top of the LEAST” . Layanan pegawai-pegawai PM sangat mesra, sebelum juga selepas perjumpaan. Cuma perbincangan penting itu sedikit terganggu dengan keriuhan lagu HAPPY BIRTHDAY oleh kumpulan lain yang berulang-ulang.
RUMUSAN
Terlampau banyak yang diperhati dan dikongsikan malam itu. Kami ingin ringkaskannya seperti berikut.
1. Orang suka apabila pemimpin teratas turun sendiri ke dasar : Kita semua rasa kita wajar mendapat hak bertemu dan bersemuka dengan PM. Ini sama seperti orang yang membasuh pinggan di rumahnya dengan menggunakan otak, bukan dengan tangan. Jika kerajaan seperti sebatang tubuh, maka PM ialah otaknya. Secara populis, kita sukakan otak untuk turun menyelamat mangsa banjir untuk dikatakan Prihatin. Sebenarnya keprihatinan seorang pemimpin itu ditunjukkan dengan instrumen bantuan yang digembling oleh seorang pemimpin.
2. PM cuba mendengar dari peringkat marhaen dan orang kebanyakan : Apabila PM perlu turun seperti malam itu untuk menggali informasi dari mereka berlima, besar kemungkinan instumen yang memberi input kepada beliau selama ini mungkin sudah gagal atau kurang berfungsi.
3. Antara punca tidak berfungsinya saluran informasi : Antaranya disebabkan sebahagian informasi dari rakyat mungkin tidak digemari oleh mereka yang terlibat dalam saluran informasi itu, lalu ia mungkin disekat. Mereka akan ambil yang tidak mencederakan mereka atau yang mereka rasa mampu menyinggung hati PM. Banyak sekali keluhan umum tentang ini.
Kesimpulannya ialah, PM tidak disajikan dengan kebenaran sebenar, sebaliknya hanya bergantung kepada semua informasi yang baik-baik sahaja. Hakikat sebenarnya bukan kerana keadaan sudah baik tetapi kerana keburukan telah disembunyikan di bawah permaidani. Jika PM nak datang ke sebuah kampung sahaja, tiba-tiba kampung itu jadi cantik. PM pun tak dapat gambaran sebenar kerana apa yang beliau lihat atau dengar hanya yang elok-elok sahaja.
4. PM terlalu mencuba untuk mendekati orang muda : Orang muda sukakan seorang PM yang “cool” katanya. Mungkin atas dasar itu juga, PM cuba menjadi seperti orang muda, antaranya “selfie”, ikut menyanyi dan menari. Namun, ia kelihatan janggal dan kekok sekali bagi seorang anak bekas perdana menteri yang telah terbiasa dengan protokol kepimpinan semenjak kecilnya lagi melakukan semua itu.
Anda mungkin suka pemimpin yang cool, tetapi kami mahukan pemimpin seperti seorang pemimpin. Kita mungkin akan cabut lari jika tiba-tiba ayah kita berpakaian seperti artis K-Pop Korea. Ini bukan salah PM sahaja, bahkan kerana kebanyakan kita juga rasanya suka perkara-perkara populis begini. Pemimpin harus berdiri dengan prinsipnya dan bukan popularitinya.
5. PM kesuntukan masa : Malam perjumpaan itu kebetulan ulangtahun pertama kemenangan BN dalam PRU13. Tinggal 4 tahun berbaki dan kelihatan seperti PM sendiri masih belum pasti apakah kuasa partinya akan bertahan pada penggal mendatang. Masa sudah semakin singkat dan kelihatan PM agak gusar kerana beliau juga di kelilingi orang-orang yang berkepentingan.
6. Lobi melobi : Perbualan malam itu juga didominasikan oleh individu undangan yang banyak melobi akan idea-idea perniagaan berbanding idea nasional ke arah penyatuan. Pertanyaan tentang agenda penyatuan juga dipotong sehingga berpatah balik kepada topik projeknya. Kami yakin itu hanya salah seorang dari ramai yang lain. Di PMO dan pelbagai jemaah penasihat PM juga ramai orang-orang yang bertujuan mengaut laba. HAKIKAT ini mendapat perhatian banyak pihak.
7. BN tiada komandan perancang strategi Social Media Warfare : Jika ada pun, kita tak lihat seperti ia ada. Banyak kebaikan yang dibuat oleh kerajaan tidak sampai kepada masyarakat. Ia kurang tersusun dan kurang strategik berbanding Pakatan.
Perancang media warfare BN tak mungkin mampu menandingi keikhlasan perancang perang media PR yang kebanyakannya tidak berbayar. Mereka lakukan atas dasar fahaman perjuangan yang berjaya dijadikan satu penguat. Bukan sahaja tiada bayaran, malah mereka turut infaq. Pasti jauh berbeza semangat juang askar gurkha yang bergaji dengan orang Melaka yang berperang menampan serangan Portugis yang tidak bergaji pada tahun 1511 dahulu?
8. Kekuatan PR ialah apabila kebaikan mereka banyak diperkatakan oleh pihak ketiga. Namun, kebaikan BN tidak diceritakan kepada umum oleh pihak ketiga. Yang cuba menceritakan juga akan di belasah secara maya. Akhirnya, terpaksa BN menyatakan sendiri apa yang telah mereka lakukan, ibarat masuk bakul angkat sendiri. Itu sangat kurang murni dan akan gagal melahirkan empathy.
9. secara umumnya, perbincangan berjalan sangat baik sekali : SN agak kagum dengan keterbukaan PM berjumpa dengan bloggers juga personaliti facebook yang tak kurang juga menghentam polisi atau keputusan yang dirasakan teruk oleh kerajaan.
10. Masih adakah lagi golongan neutral dan tanpa kepentingan?: Soalan daripada YAB PM ini kami tinggalkan kepada anda untuk turut mencari jawapannya. Ia muncul apabila kami katakan penyatuan nasional memerlukan penganjur yang neutral dan tidak berkepentingan pangkat maupun harta. Sebenarnya masih ada, cuma golongan ini harus dicari kerana mereka tidak semudah itu untuk ‘jual muka’ dan berasak-asak dengan golongan pelobi projek dan pangkat. Apatah lagi jika terpaksa melalui tapisan yang berderet-deret.
KESIMPULAN
Sebenarnya pemburuan kepada laba dunia sudah menjadi terlalu biasa. Pencarian RAHMAT (kurniaan ilmu dan keberkatan amal soleh yang membawa islah/pembaharuan) dan RAHIM (kasih sayang) sudah lama pupus. BASMALAH hilang entah ke mana. Kita sudah terlalu biasa dengan budaya ‘ada ubi ada batas’. Ubi dan batas itu juga yang menarik perhatian spesis khinzir yang menyondol batas dan kera yang masuk kampung hanya kerana ubi dan pisang (QS:5/60).
Kerana itu kita katakan sudah mustahil masih ada orang yang LILLAH BILLAH, yang kerjabuatnya bermatlamatkan redha Allah sahaja, tidak dicemari dengan buruan pangkat dan harta, hatta apa yang dikatakan ‘pahala’ atau pujian sekalipun. Inilah sebenarnya sunnah Rasulullah SAW yang kita tidak ikuti. Baginda yang berasal dari keluarga penguasa dan kaya, wafat dalam keadaan sehelai sepinggang. Setelah menawan Mekah, baginda juga tidak ambil tahta dari Abu Sufian. Demikian juga semua para sahabat R.A. Kita bagaimana?
Jika kita sanggup mengikuti sunnah itu pasti dakwah kita mudah diterima. Orang yang kita nasihati tidak akan merasa terancam lalu memusuhi kita kerana kita tidak akan merebut tahta dan harta mereka. Terlalu banyak ayat Allah yang menyentuh soal larangan mengambil upah dari usaha dakwah ini. Antaranya,
“Katakanlah, "Aku tidak meminta upah sedikitpun padamu atas dakwahku dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan. Al Quran ini tidak lain hanyalah peringatan bagi semesta alam.Dan sesungguhnya kamu akan mengetahui berita kebenaran Al-Quran dalam beberapa waktu lagi." (QS; Shaad 86-88)
“Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam. Sempurnakanlah takaran dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang merugikan. Dan timbanglah dengan timbangan yang lurus. Dan janganlah kamu merugikan manusia pada hak-haknya dan janganlah kamu merajalela di muka bumi dengan membuat kerusakan; (QS: Asy Syu'araa' 180-183).
Sekali lagi, ada terlalu banyak untuk dinyatakan dalam ruangan yang sempit ini. Yang baik kita contohi, yang buruk sama-sama kita baiki dan kita sekat agar tidak merebak.
Seruan penyatuan
Warga Prihatin.
P/S: Pertemuan ini turut dimuatkan di FB YAB PM dan beberapa yang lain seperti pautan berikut.
No comments:
Post a Comment