Wednesday, 7 May 2014

Baca, Fikir dan Faham (BFF): TAKSUB YANG MEMBENTUK ASOBIYYAH - TIDAK NABI AKUI SEBAGAI UMATNYA



Umat Islam adalah Umat nabi Muhammad SAW, nama dan sifat yang kita akui penyaksiannya dalam syahadah kita. Apabila baginda tidak mengakui kita sebagai ummat, itu bermakna tertolaklah syahadah kita. Asobiyyah adalah salah satu sifat atau tabiat yang membuatkan status kita selaku ummat Nabi Muhammad SAW tertolak.

Manusia adalah makhluk bersifat baharu dan penuh dengan kesilapan. Mengagungkan pemimpin atau kelompok sendiri secara keterlaluan adalah 'taksub' kepada makhluk. Ketaksuban ini membentuk tabiat 'asobiyyah' yang akan menjadikan keislaman kita tertolak. Ini kerana ketaksuban kepada makhluk yang lemah akan membuatkan kita mudah tersasar dengan menolak kebenaran dan membenarkan kebatilan.

PERUMPAMAAN MUSLIMAH YANG IKUT BERDEMO SEBAGAI PELACUR AMAT KETERLALUAN

Ya, memang kami dengan jelas ada nukilkan pendapat kami dalam rencana mengenai demontrasi membantah GST baru-baru ini bahawa kami tidak setuju dengan wanita dan kanak-kanak yang ikut keluar berdemo. Namun ulasan mengumpamakan mereka sebagai pelacur, yang keluar dari mulut seorang yang digelar ‘ustaz’ benar-benar menggetarkan hati kita. Ia amat keterlaluan. Alangkah beratnya tuduhan itu.

Islam adalah agama ilmu dan nasihat yang penuh toleransi dan perdamaian. Tidak semua pemikiran dan tindak tanduk kita, pemimpin maupun kelompok kita sentiasa benar dan betul kerana kita adalah manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan. Kerana itu tindakan menyokong atau membangkang secara membabi buta melalui pelbagai tindakan dan ulasan adalah satu ketaksuban yang akan membuatkan kita bersikap asobiyyah yang tertolak keIslamannya.

Sifat taksub ini membuatkan mata hati dan fikiran waras kita tertutup. Itulah yang menjadikan kita tidak nampak atau buat-buat tidak nampak akan kebenaran kelompok lain dan kesilapan kelompok kita. Di situlah berjayanya Dajjal yang membuatkan kita melihat kebenaran dengan sebelah mata lalu menolaknya.

Ketaksuban juga akan membuatkan kita menutup sebelah mata untuk menerima bulat-bulat segala kebatilan yang ada pada kelompok kita. Ini membuatkan kita bersifat TOGHO, iaitu melampaui batas dan susah menerima nasihat. Di situlah hilangnya keadilan dalam pertimbangan. Inilah juga antara ciri yang membuatkan assobiyyah itu tertolak Islamnya, kerana Islam itu agama yang 'adil dan tidak melampui batas'.

Melalui sifat taksub dan ciri asobiyyah ini turut terhimpunnya rasa kebencian yang meluap-luap terhadap kelompok lain dan menyemarakkan lagi pecah belah. Hal ini turut menolak keislaman kita kerana Islam itu agama penyatuan. AN AQIMUDDINA WALA TATAFARRAQUFIH – "Tegakkanlah Dien dan janganlah berfirqah firqah tentangnya".




WASATIYYAH SERTA BIJAKSANALAH DALAM BERDAKWAH DAN BERPOLITIK

Islam itu agama yang mengamalkan kesederhanaan (WASATIYYAH). Berlebih-lebihan dalam agama itu tabiat syaitan. Ia jelas dinukilkan dalam alquran dan kita semua sudah sedia tahu. Hari-hari kita dengar seruan untuk bersederhana dan jangan keterlaluan (ekstrim). Ketaksuban kepada makhluk akan membuatkan kita sering kecundang dan tersasar kerana sifat manusia itu adalah lemah dan terdedah kepada khilaf.

Malangnya kita juga memerhatikan banyak pihak yang melakukan seruan WASATIYYAH itu turut melakukan tabiat yang sama. Kita tidak bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang kita kata. Samada kita ini seperti burung tiung atau orang gila dan mabuk yang tidak benar-benar memahami apa yang kita kata, atau seperti thoghut yang suka melanggar perintah dan larangan Allah dengan sengaja. Inilah yang membuatkan Allah, para malaikat dan manusia yang melihat gelagat kita jadi semakin membenci.

Surah As-Saff, AYAT 2-3:
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? 'Amat besar' kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

Ketaksuban kita seharusnya tertumpu kepada Allah dan dibuktikan melalui kepatuhan kita kepada tuntutan wahyuNya. Inilah yang dijamin benar dan akan menghasilkan kesejahteraan dalam hidup kita. Kesejahteraan hasil perlaksanaan itulah hakikat ISLAM yang sebenarnya. Jika kesejahteraan itu tidak terhasil, maka mari muhasabah mencari di mana TIDAK ISLAMNYA KITA.

KESIMPULAN

Selagi kita hanyut dengan 'umpan' sistem demokrasi tajaan Dajjal ini, selagi itulah kita tidak akan bersatu. Kebebasan bersuara telah menghapus kedaulatan agama melalui sistem kepimpinan negara. Selagi itu jugalah kita akan bersifat melampau dan taksub. Rasa kebencian semakin meluap-luap dan itu amat membuatkan hidup kita sengsara laksana neraka. Kasih sayang dan nikmat kesejahteraan hidup bersaudara tidak akan kita nikmati sampai bila-bila. Itulah kesan besar dari taksub dan asobiyyah yang dikatakan tertolak Islam (kesejahteraan)nya.

Kami suka jika para ustaz sentiasa bersifat neutral dan tidak keterlaluan dalam menegur masyarakat dan pemimpin. Yang betul kita katakan betul yang salah tetap salah biar pada kelompok mana sekalipun. Meletak misal ‘pelacur’ kepada muslimah yang tersilap menyertai demontrasi adalah amat keterlaluan dan melukakan hati banyak pihak. Bersederhanalah, bijaksanalah dalam berdakwah.

Islam itu agama ilmu dan nasihat. Nasihatilah dengan ilmu, bukan dengan nafsu. Toleransi dan perdamaian serta kesabaran dalam menasihati dan menyeru manusia adalah kunci kepada kejayaannya. Apabila nasihat yang benar dapat disampaikan dengan sabar dan mampu diterima, insyaAllah pembaikan (ISLAH) akan terhasil jua. Itulah hakikat AMAL SOLEH yang Allah mahukan.

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal SOLEH. Dan ingat mengingati dengan kebenaran. Ingat mengingati dengan kesabaran.” (SURAH AL-ASR)

Seteruk perangai jahiliayah itu telah dapat Rasulullah SAW didik dan Islamkan dalam masa 23 tahun sahaja. Semakin hari masyarakat menjadi semakin baik (ISLAH). Itulah tanda amal SOLEH dari usaha baginda SAW dan para sahabat R.A. Semua 'manual' pengurusan yang penuh strategi dalam pembentukan serta pengurusan negara dan umat itu telah diwariskan kepada kita melalui kitab dan sunnah baginda.

Sudah berapa lama kita merdeka dan mengurus negara ini? adakah kita di sini, bahkan Islam di seluruh dunia menjadi semakin teruk atau semakin baik? anda tahu jawapannya negetif. Apakah sebabnya? Adakah kerana ilmu, isi dan cara nasihat kita itu masih belum betul-betul BENAR? Atau kita sebenarnya tidak SABAR? Sudahkah kita berbuat kerana Allah, dengan sistem Allah? atau kerana kepentingan peribadi dan dengan menurut hawa nafsu sendiri?

Kita tahu ada 1001 macam kelamahan dan kekurangan pada YAB PM, isterinya dan partinya. Kita (mungkin hanya sebahagian sahaja yang buka mata) juga tahu banyak kesilapan dan kelemahan DSAI, TGNA, TGHA dan lain-lain serta parti mereka, kerana mereka juga manusia biasa dan tidak terlepas dari khilaf belaka.

Dengan hanya semata-mata mahu meraih simpati, lalu kita tunduk akur dengan membiarkan anak dan isteri DSAI terjerumus dalam konflik politik ini. Kita sanggup lihat rumah tangga mereka porak peranda. Sebenarnya kita yang faham akan batas seorang wanita sedang menipu diri sendiri. Wanita itu memerlukan perlindungan, perlu dipimpin, bukan memimpin. Allah tetapkan lelaki pemimpin kepada wanita (QS;4:34) bukan sebaliknya. Oleh kerana itu,

1. Kami ingin semua pemimpin lelaki yang hebat di negara ini bersatu dan disatukan untuk memimpin kita dengan bersatu hati dan berkasih sayang.

2. Kami ingin melihat TGNA nikmati sisa usianya dengan melihat hudud terlaksana dengan baiknya, bermanfaat kepada umat Islam dan juga bukan Islam sepertimana berjayanya PIAGAM MADINAH.

3. Kami seru agar DSAI dimaafkan dan tidak dipenjarakan. Hidup ini tidaklah lama pun. Berilah peluang dia menikmati sisa usia bersama keluarganya. Sementara itu kami juga seru DSAI agar berhenti merasuk rakyat dari perjuangan yang bersifat ananiah yang emosional. Janganlah ikuti nafsu dengan ingin meletakkan diri menggantikan tahta pemimpin yang ingin ditumbangkan. Itu bukan sunnah Rasulullah SAW. Baginda tidak gantikan Abu Sufian dan ketua negara lain yang menerima Islam. Jika kita ikhlas, jadilah orang bijak yang memberi nasihat tanpa mengejar pangkat dan harta. InsyaAllah nasihat kita akan mudah didengar. Kami harapkan, agar kerajaan ambil DSAI jadi penasihat atau berkerjasama dengan YAB PM dalam kabinet. WIN WIN SITUATION.

4. Kami kagumi kebijaksanaan Y.Bhg Tun Mahathir. Alangkah baik jika beliau dijadikan penasihat kepada kita di hujung usia beliau. Kita dengar nasihat beliau selagi tidak bercanggah dengan agama. Beliau juga manusia biasa. Jika beliau tersilap dalam isu yang bukan bidangnya, mari kita yang tahu pula nasihati beliau dengan ilmu dan penuh hormat. Hentikanlah caci maki kepada warga emas ini di hujung usianya.

5. Kami nampak kebijaksanaan YAB PM dan ketelusannya untuk menyelamatkan dan membangun negara. Tidak habis-habis beliau temui rakyat melalui pertemuan teh tariknya untuk mencari idea dan saranan bernas. Namun sebagai manusia, beliau juga banyak silap. Alangkah baiknya jika kita ada wadah yang berakhlak sebagai saluran untuk menasihati beliau.

6.Terlalu berat juga cercaan terhadap isteri YAB PM. Ya beliau juga manusia biasa yang banyak silap dan memerlukan nasihat berbentuk seruan murni. Kami seru dan berdoa agar kita sabar untuk terus menasihati DS ROSMAH dengan penuh kasih sayang, agar beliau berubah menjadi wanita, ‘muslimah contoh’ yang terbaik, agar layak dijadikan ikon wanita di negara ini. YAB PM akan jadi lebih hebat dan bersemangat dengan perubahan isterinya dan dengan sokongan padu kita semua InsyaAllah.

7. Islam tidak boleh lari dari Sultan dan Raja. Itulah isi Fatihah pembukaan quran yang kita baca 17 kali sehari. Itu juga isi Surah An-Nas surah terakhir penutup Mushaf quran yang kita baca selepas mesyuarat. Kami sedih bila banyaknya pemegang institusi Raja sudah tidak lagi senonoh akhlaknya dan menjadi cercaan rakyat dan pemimpin negara di sini sana sepanjang masa. Mari kita tarik nafas dan cari di mana silapnya.

8. Kami simpati dengan kerja keras TGHA, TG Harun Din, Dr Hasan Ali, Ismail Kamus, Dr MAZA dan banyak lagi tokoh agama negara kita. Kami harap mereka ini segera diberi peluang untuk membentuk jemaah orang alim, Majlis Ulamak yang bersatu padu dan tulus buat menunjang usaha menerapkan Islam yang sebenar di negara ini.

Kami yakin, majlis ulamak yang bersifat LILLAH BILLAH akan mampu mengawal keadaan, menasihati mana yang perlu dinasihati, mendidik mana yang perlu dididik, melantik yang perlu dilantik dan menukar yang perlu ditukar (TERMASUK DI KALANGAN RAJA).

Hentikanlah adu domba, caci maki yang banyak sekali membazirkan dana negara dan keringat rakyat. Jika ketaksuban masyarakat asobiyyah dan kempen partisan yang berterusan ini dapat dihentikan, kita akan dapat menjimatkan banyak belanja, masa dan tenaga. InsyaAllah penjimatan yang ditambah dengan pemberhentikan KETIRISAN pengurusan dana negara ini akan menjadikan ekonomi dan politik Malaysia akan teguh dan stabil semula. Mungkin GST pun kita tidak perlukan lagi.

Kudap petang
WARGA PRIHATIN

P/S:

Kami kepilkan semula firman berikut untuk renungan bersama:

"Serulah kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk".(SURAH 16. An Nahl 125)

"Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan".(SURAH 10. Yunus 36).

"Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu. Sesungguhnya Allah memperhitungankan segala sesuatu."(SURAH 4. An Nisaa' 86)

"Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar."(SURAH 16. An Nahl 126)

"Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik. Dan biarkanlah Aku (saja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar".(SURAH 73. Al Muzzammil 10-11)

“Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan Hari AKHIRAT," pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar.”

“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta. Dan bila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi". Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan." Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerusakan, tetapi mereka tidak sadar.” (SURAH 2. Al Baqarah 8-12)

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (SURAH 2. Al Baqarah 208)

Renung-renungkanlah. Anak-anak kita sudah lama keliru dengan tindak tanduk kita…


Perkongsian dari Warga Prihatin

Artikel daripada: http://goo.gl/6aygYW

No comments:

Post a Comment