Saturday, 1 March 2014

Surat untuk Kerajaan Kelantan (PART II)


Bersama ini saya sertakan senarai panjang permintaan kawan-kawan yang saya susun serta berikan kepada kerajaan negeri untuk semakan dan penilaian lanjut semua. Permintaan kawan-kawan supaya saya sampaikan komen, permintaan dan cadangan kepada kerajaan negeri telah saya lakukan dan diterima dengan baik oleh kedua-dua MB dan TMB kita dan mereka menyampaikan ucapan terima masih kepada usaha kita semua.

Hasil daripada usaha kita ini, ada tiga orang pelabur yang telah datang berjumpa dengan saya secara peribadi dan meminta kerjasama saya untuk menolong mereka mendapatkan tapak tanah bagi membina kilang yang dapat menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 700 orang kepada rakyat Kelantan dan seorang lagi mahu membina hotel tiga bintang di Bachok. Seorang lagi memohon tanah untuk mengusahakan pertanian di Loging. 

Saya menilai hanya dua projek yang saya sebutkan awal sahaja yang reliable dan saya telah sampaikan hal ini kepada kedua-dua MB dan TMB. Mereka menyambut baik dan meminta pelabur tersebut memohon melalui saluran yang betul dan berjanji akan meminta UPEN menilai hal ini dengan cepat dan cekap.

Selepas ini, saya akan lanjutkan usaha ini dengan kerajaan pusat pula dan akan berjumpa dengan Dato' Seri Mustaffa Mohamed dalam masa yang terdekat bagi menyampaikan hasrat rakyat Kelantan kepada kerajaan pusat pula. Saya akan meminta soalan yang sama dari kawan-kawan semua nanti.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berperanan memajukan negeri kita. Terima kasih atas semua kerjasama yang diberikan.

PENGURUSAN KERAJAAN TEMPATAN


1. Kebersihan bandar teruk sangat. Kutipan sampah sarap tidak terurus. Cadang sediakan banyak tong sampah dan belikan lori sampah. 
2. Tandas awam kotor dan tidak terurus. Tidak menggambarkan Kelantan sebagai sebuah negeri Serambi Mekah.
3. R&R Gua Musang kotor sebagai tempat makan dan singgahan. Tandasnya juga tidak terjaga. Tidak sesuai untuk dijadikan sebagai pintu masuk ke Kelantan.
4. Tempat buang sampah dan tong sampah di bandar-bandar tidak disediakan. 
5. Restoran dan kedai makan kotor. Contohnya, medan selera belakang pantai timur. Tempat makan memang ramai, tetapi persekitarannya tidak bersih dan penuh dengan tikus dan lalat. Tempat parkir juga teruk dengan jalan yang berlubang hingga apabila hujan, air bertakung.
6. Sistem perparitan bandar yang kotor dan tersumbat dan berbau busuk. Apabila hujan pula, air mudah melimpah jalan. Lihat HUSM.
7. Papan tanda yang uzur. Mohon kerajaan negeri melengkapkan papan tanda di jalan-jalan utama, khususnya pintu masuk ke Kelantan seperti di Gua Musang.
8. Ceriakan landskap Kota Bharu dan bandar-bandar utama. Sekurang-kurangnya tanamlah rumput di sepanjang jalan dan bersihkan kawasan tepian jalan secara berkala, terutamanya di laluan utama yang sentiasa dilalui oleh pengunjung luar. Misalnya, di Kota Bharu, tidak ada pokok-pokok bunga yang sedap mata memandang. Kalau ada pun sedikit sahaja dekat dengan bulatan jam saja. Di Rantau Panjang paling kotor dengan sampah yang bersepah.
9. Kerajaan negeri perlu perbaiki kelemahannya jika mahukan rakyat membayar cukai pintu dan lainnya.
10. Perancangan bandar lemah dengan pembinaan rumah dan taman perumahan yang tidak tersusun.
11. Kerajaan negeri perlu sediakan ruang penjaja kecil yang lebih tersusun, selesa dan kemas kerana kawasan pasar Siti Khadijah sudah padat. Bersihkan juga kipas angin dan longkang di Pasar Siti Khadijah.
12. Sediakan tong sampah bagi setiap taman perumahan. Rakyat tidak puas hati kerana cukai pintu kena bayar, tapi tong sampah dan lampu jalan tidak disediakan.
13. Rakyat cadangkan penguatkuasaan ke atas kebersihan dilakukan seperti di Singapura. Mesti saman biarpun RM5. 
14. Untuk menangani kebersihan, usaha terapkan pendidikan di kalangan masyarakat (contoh melalui kuliah agama, khutbah Jumaat, roadshow ke sekolah-sekolah) dan tindakan penguatkuasaan. 
15. Wajibkan setiap premis perniagaan mempunyai tong sampah yang standard untuk diletakkan di luar premis.

AGAMA

1. Masjid tidak ada penjagaan.
2. Tandas masjid kotor.
3. Masjid dikelilingi dengan pengemis dan tidak ada tindakan yang diambil seperti Masjid Muhamammadi. 

POLITIK

1. Apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk menunjukkan komitmennya dalam melaksanakan hudud?
2. Apakah langkah yang diambil untuk merapatkan hubungan ulama dan profesional dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang?

KEBAJIKAN SOSIAL

1. Pengemis yang ramai, mengapa tidak ambil tindakan? Mana Jabatan kebajikan masyarakat? Mana wang zakat?

PERUMAHAN RAKYAT

1. Apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan agenda perumahan rakyat? Apa kemajuannya setakat ni?
2. Selain rumah kos rendah, kerajaan negeri perlu juga beri perhatian pada rumah kos sederhana. Jangan hanya bina projek kondo mewah, tetapi bina juga apartmen di bawah 150k.
3. Rakyat mengeluh kerana harga rumah di Kelantan juga tinggi seperti di Kuala  Lumpur.
4. Rakyat mahu tahu berapa projek preumahan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri setakat ini dan projek perumahan yang sedang dibina pada tahun 2013 dan akan dibina pada tahun berikutnya?

MASALAH AIR

1. Bila kerajaan negeri mahu selesaikan masalah air rakyat? Apa tindakan yang telah diambil setakat ini?
2. Kerajaan sediakan tangki air kepada rakyat supaya bila tidak ada air, setiap rumah sudah ada simpanan air di tangki.
3. Tindakan untuk mengatasi masalah air berkarat dan juga tekanan air yang perlahan.
4. Bilakah masalah air di Kelantan akan dapat diatasi oleh kerajaan negeri?


PENGANGKUTAN DAN LEBUH RAYA RAKYAT

1. Sejauh mana kerajaan negeri serius untuk menyiapkan lebuh raya rakyat? Ini kerana tidak ada peruntukan dalam bajet 2014. Jika kerajaan tidak ada peruntukan untuk siapkan lebuh raya rakyat, mengapa tidak beri kepada syarikat swasta untuk siapkannya dengan bayaran tol dikenakan kepada rakyat?
2. Mencadangkan kerajaan negeri membuka tender tol, tetapi tender tersebut hendaklah telus dan tidak dirahsiakan dari pengetahuan rakyat. Jika tendernya telus, rakyat sanggup untuk membayar tolnya.
3. Rakyat mohon kerajaan sediakan laman web yang up-to-date untuk melaporkan perkembangan lebih raya rakyat.
4. Jika kerajaan negeri tidak mampu untuk menyiapkan lebuhraya rakyat sekarang, mohon buat bypass di persimpangan lampu isyarat Gua Musang-Kota Bharu dan persimpangan lampu isyarat Guchil kerana inilah punca kesesakan.
5. Kelantan perlukan road map jangka panjang untuk kemudahan pengangkutan awam rakyat. Selain jalan menghubungkan antara bandar ialah mengatasi kesibukan di bandar Kota Bharu. Apa tindakan kerajaan negeri setakat ini untuk mengatasi masalah kesesakan ini?
6. Kerajaan negeri perlu campur tangan dalam sistem bas ulang alik. Sudahlah perkhidmatannya sejam sekali, waktu pun tidak tepat dan ini membazirkan waktu. 
7. Mohon kerajaan negeri bina satu lagi jambatan menghubungkan Machang-Tanah Merah atau hidupkan semula Jambatan Kusial.
8. Minta kerajaan negeri baiki banyak jalan yang rosak.
9. Minta kerajaan negeri baiki dan tingkatkan jalan Kota-Bharu-Pasir Puteh.
10. Minta kerajaan negeri buat flyover dari pejabat kerajaan negeri Kota Darulnaim melepasi Wakaf Che Yeh sampai ke traffic light Tendong bagi mengelakkan kesesakan dekat kawasan Wakaf Che Yeh.
11. Gaji pekerja Jurutera Perunding Zaki (JPZ) yang tidak dibayar hingga sekarang. Seminggu sebelum Aidil Fitri, gaji dibayar separuh bagi bulan Januari dan tidak dibayar lagi sejak Januari hingga Mei. Sudah berapa kali pekerja berjumpa pihak berwajib, tapi tidak selesai. Surat terbaru dari Baldah Toyibah lagi menyakitkan hati pekerja JPZ, nampak sangat mereka tidak hendak bayar baki gaji (hal ini telah saya nyatakan secara khas kepada MB dan TMB. Jawapan MB dan TMB memuaskan hati saya).

PENDIDIKAN

1. YIK kekurangan guru terlatih dan tidak terlatih.
2. Bilakah hendak selesaikan masalah guru kontrak yang telah bekerja melebihi lima tahun dengan YIK?
3. YIK perlu tubuhkan sekolah vokasional Islam
4. Kerajaan negeri sediakan kolej teknikal supaya dapat memahirkan anak-anak Kelantan untuk memenuhi jawatan-jawatan profesional.
5. Kerajaan negeri wujudkan satu maahad tahfiz sains bagi setiap daerah dengan memulakannya sejak dari sekolah rendah lagi.
6. Minta YIK tingkatkan dua perkara: infrastrukur sekolah agama rakyat yang terlalu daif dan meningkatkan lagi sistem pembelajaran yang lebih baik supaya setanding dengan sekolah-sekolah kerajaan.
7. Mohon kerajaan buat pemantauan yang agresif ke atas kemudahan infrastruktur sekolah-sekolah YIK dan juga sistem pengajaran dan pembelajarannya.
8. Bagaimana dengan status sekolah agama negeri (SAN) dan SAR? Masih terbuka lagi ke untuk diserap ke status SABK (sekolah agama bantuan kerajaan). Ramai yang mengeluh dan tertanya-tanya apa sebabnya masih tidak diserah?

KEWANGAN NEGERI

1. Apa tindakan dan strategi kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan kerajaan negeri tanpa hanya bergantung kepada hasil balak dan hasil sedia ada? Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan kerajaan negeri tidak boleh uruskan pembangunan negeri kerana masalah dengan kerajaan pusat atau tunggu duit royalti sahaja.
2. Bagaimana dengan status pengunaan Dinar dan Dirham serta pencairannya? Rakyat yang menyimpannya mengadu kerana simpanan mereka masih belum dapat dicairkan untuk keperluan harian. Mereka membeli masa harganya tinggi dan sekarang, KGT sendiri pun tidak berusaha untuk mempromosikan penggunaannya lagi. Duit simpanan dilaburkan ke situ, tetapi tidak boleh digunakan. Apabila Dinar mahu dicairkan dengan wang kertas dengan wakil PMBK, ia mengambil masa yang sangat lama untuk dilunaskan. Mereka dakwa Dinar yang diserahkan kapada wakil PBMK untuk dicairkan telah disimpan sebagai stok kerajaan negeri untuk keperluan kerajaan negeri. Di Kota Bharu, belum ada satu pun kedai yang mahu menerima Dirham untuk belian barangan. Kalau ditanya pada KGT, jawapan mudah yang diberi adalah tidak tahu, dan banyak kali panggilanpun tidak dijawab (hal ini telah saya nyatakan secara khas kepada MB dan TMB. Saya sendiri masih kabur dengan jawapannya). 

PELANCONGAN

1. Apa tindakan kerajaan negeri untuk menarik pelancong luar ke Kelantan?
2. Mengapa kerajaan negeri tidak menjaga tempat rekreasi sehingga Kelantan yang kaya dengan ekopelancongan sepi aktivitinya? Contoh Pantai Sri Tujuh, siapa yang menyelia kawasan ini kerana pantainya kotor dan tidak terurus?
3. Apa rancangan untuk memajukan tanah tinggi lojing menjadi kawasan pelancongan seperti Cameron Highlands? Mengapa tidak dibuka ladang sayur dan strawberi serta menyediakan kemudahan hotel untuk penginapan?
4. Rakyat mahukan tempat rekreasi yang boleh dikunjungi seisi keluarga. Jika adapun sudah terabai seperti zoo di Kuala Krai, hutan lipur Bukit bakar, Jeram dan lainnya. Selain itu, surau dan tandas yang ada di kawasan ini kotor sekali sehingga tidak tergamak menggunakannya. Mengapa kolam air panas Tok Bok tidak dimajukan macam kolam air panas di Baling, Kedah? 
5. Mohon jadikan kawasan Tok Bali betul-betul sebagai pusat pelancongan.
6. Mengapa kerajaan Kelantan tidak membangunkan flora dan faunanya? Melaka telah menggunakan setiap inci dan ruang yang ada untuk menambah daya tarik ke negerinya. Ada Jeram Pasu, Jeram Linang dan lainnya. Jika tidak mampu usahakan, kenapa tidak diswastakan?
7. Majukan kelebihan yang ada seperti kebudayaan dan kesenian.
8. Beca adalah salah satu keunikan Kelantan, namun semakin pupus kerana pendapatannya tidak seberapa. Mengapa tidak menjadikan beca sebagai ikon Kota Bharu seperti di Penang dan Melaka? Mengapa tidak sediakan sedikit peruntukan untuk penarik beca ini menghias beca mereka dan sediakan kawasan khas untuk mempromosikan beca mereka?

PERINDUSTRIAN

1. Apakah sektor perindustrian tempatan yang kerajaan Kelantan bangunkan sekarang ini? Bagaimana dengan industri pertukangan, perak, emas, wau bulan, batik dan lainnya? 
2. Apakah strategi yang diambil oleh kerajaan negeri untuk membangunkan teknologi industri pertanian?
3. Apakah plan infrastruktur untuk masa depan pembangunan perindustrian di Kelantan? 
4. Apakah strategi kerajaan untuk menarik pelabur domestik atau asing? Mengapa permohonan serius dari pelabur untuk memohon bantuan kerajaan negeri sukar dilayan dan mendapat kelulusan? Kesan kelembapan pengurusan kerajaan negeri ini ialah berlakunya brain drain.
5. Tingkatkan industri pembuatan budu dan keropok, jika boleh dipasarkan sehingga ke Eropah. Thailand jual budunya sehingga ke Eropah dan Amerika.
6. Rakyat mahu tahu program-program yang dirancang berkaitan dengan pembangunan usahawan dan keusahawanan.
7. Mengapa kerajaan negeri tidak gunakan teknologi tinggi untuk industri perkapalan di Tok Bali bagi membolehkan nelayan kita guna kapal besar untuk ke laut. Ramai anak muda Kelantan berkebolehan dalam bidang bina kapal dan penyelenggaraan. 
8. Bagaimana dengan perkembangan industri gelatin halal?
9. Berapakah projek industri yang ada dalam perancangan kerajaan negeri dan berapakah bilangan pekerjaan yang boleh diwujudkan dari perindustrian ini?

SUKAN DAN BELIA

1. Apakah dasar sukan kerajaan negeri untuk meningkatkan sukan negeri supaya boleh cemerlang di peringkat negara?
2. Apakah perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan aktiviti belia?
3. Apakah perancangan negeri untuk mewujudkan taman rekreasi di setiap bandar bagi membolehkan anak muda dan warga tua berehat dan berjogging?
4. Apa tindakan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah gejala dadah yang teruk dalam kalangan kaum belia? Masalah dadah jangan dilepaskan tanggungjawabnya kepada kerajaan pusat sahaja. Kerajaan negeri juga perlu ikhtiar dengan memberi penerangan/kerjasama atau buat program untuk belia. 
5. Mana janji kerajaan kepada Persatuan Bola Keranjang (KBA) untuk membina sebuah gelanggang bola keranjang awam untuk rakyat Kelantan? Janji ini diberikan oleh Exco negeri berkaitan pada waktu itu. Rujuk link. 

https://fbcdn-sphotosba.akamaihd.net/hphotosakprn1/35436_121767067866367_7201114_n.jpg; 
stadium-baru-1.3056; dan 
http://www.sinarharian.com.my/cmlink/sinar-harian/edisi/kelantan/sedia-bina-stadium-baru-1.3056) 
(Saya menyatakan hal ini secara khusus kepada MB dan TMB. Kerajaan negeri akan melihat semula hal ini).

PERTANIAN DAN PENTERNAKAN

1. Apakah projek pertanian di tanah lojing?
2. Apakah dasar projek pertanian untuk menyediakan keselamatan makanan kepada rakyat Kelantan?
3. Bagaimana status projek kambing jamnapari?
4. Bagaimana dengan projek padi organik?
5. Apakah rancangan kerajaan negeri untuk membantu petani supaya menjadi lebih efektif?

PERHUTANAN, TANAH DAN GALIAN

1. Bagaimana dengan status lombong bijih besi yang kononnya mempunyai rezab sebanyak 2 billion Ringgit? Rakyat mahukan penjelasan kepada dakwaan YB Husam ini.
2. Rakyat minta kerajaan negeri bersikap telus dalam soal pemberian konsesi balak kerana maklumat dalaman mengatakan walaupun berlainan nama syarikat, tetapi sebenarnya hanya 2,3 org Cina sahaja yang sama membolotnya.
3. Apakah inisiatif kerajaan untuk membangunkan tanah-tanah terbiar di Kelantan, lebih-lebih lagi tanah yang dahulunya adalah bekas penanaman padi? 
4. Mengapa saban tahun tempat yang sesuai untuk menanam padi digantikan dengan bangunan? Mengapa tidak ambil model contoh Kuala Selangor?
5. Mengapa kompleks perkayuan Kelantan selalu rugi? Apakah tindakan kerajaan negeri untuk mengatasi kerugian ini?
6. Bagaimana dengan status hutan simpan gunung Stong yang dimohon untuk milikan oleh penduduk? Dahulunya kerajaan kata tanah tersebut boleh dipohon untuk milikan.
7. Bagaimana dengan perkembangan perlombongan emas di Sokor, Kuala Krai dan Gua Musang serta bijih besi di Felda Kemahang,Temangan dan Gua Musang?
8. Mengapa wujudnya sehingga lebih 200 perlombongan pasir yang terlalu banyak di sepanjang Sungai Kelantan? Akibatnya, berlaku beberapa kesan negatif seperti hakisan, pencemaran, merendahkan paras sungai dan suburnya amalan rasuah kepada pihak penguatkuasa PTG. Rakyat mohon kurangkan lesen-lesen perlombongan pasir ini kerana ia menyebabkan ekosistem sungai hancur.
9. Sejauh manakah kerajaan negeri mengadakan perundingan dengan peladang besar yang mempunyai lebih 200 ekar ke atas untuk meningkatkan pendapatan hasil negeri? 
10. Mohon kerajaan negeri mengkaji semula kedudukan tanah terbiar laluan TNB semasa LLN dulu. Tanah berkenaan tidak dibayar LLN, hanya pampasan hak laluan sahaja yang diberi. Sepatutnya TNB membayar semula tanah ini mengikut harga semasa atau dikenakan terus pungutan hasil kepada TNB.
11. Bagaimana dengan dasar dan polisi pemilikan tanah di Jajahan Kuala Krai, Mukim Enggong secara khususnya? Ini kerana dasar kerajaan hanya membenarkan satu nama sahaja di atas mana-mana lot dan tidak membenarkan tanah-tanah di sini dipecah lot walaupun ia mempunyai keluasan untuk dibahagi. Isu ini akan menjadi masalah besar apabila ia melibatkan pembahagian harta pusaka dan akan menjadi lebih rumit apabila melibatkan generasi kedua dan ketiga. 
12. Apakah status sebenar royalti minyak yang dikatakan milik kerajaan Kelantan? Rakyat minta kerajaan neegri menyediakan laman web khusus untuk melaporkan perrkembangan tentang hal ini.
13. Apakah langkah kerajaan negeri untuk memastikan pengeluaran bijih besi dikawal selia supaya tidak berlaku penipuan oleh pemaju? Mencadangkan supaya wujudkan mekanisme untuk pihak berkuasa tempatan atau kastam memantau proses pemindahan hasil bumi keluar dari Kelantan.
14. Pengeluaran bijih besi sekarang dieksport 100% keluar negara dan ini merugikan kerana kerajaan negeri hanya mengutip royalti sahaja. Mencadangkan supaya diwujudkan satu industri berkaitan besi dengan mensyaratkan supaya 30% daripada pengeluaran diproses dalam negeri dan eksport yang sudah siap. Pelabur juga disyarat mewujudkan satu kilang pemprosesan bagi menyediakan satu industri baru dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
15. Apakah betul bijih besi yang bercampur tanah telah dieksport melalui pelabuhan Tok Bali? Sekiranya ini benar, maknanya kita telah bersetuju menjual tanah kita kepada orang luar. Dalam konteks ini, kerajaan negeri dicadangkan memikirkan satu kaedah supaya yang dieksport ini adalah 100% bijih besi sahaja. Teknologi pengasingan ini telah dibina di Teluk Kalung, Kemaman dan ianya sepatutnya digunakan juga di Kelantan.


PENTADBIRAN DAN GOVERNANS 

1. Rakyat tidak puas hati dengan tadbir-urus dan ketelusan dalam membuat keputusan. Misalnya, rakyat mahukan sebarang kenaikan kos atau tarif di bawah bidang kuasa kerajaan negeri diumumkan terlebih dulu sebelum dilaksanakan untuk menunjukkan ketelusan kerajaan.
2. Sistem tender kerajaan perlu telus. Ikut Pulau Pinang yang menggunakan sistem tender terbuka, tapi Kelantan masih dengan sistem runding terus. Contohnya, pembinaan lebuhraya rakyat.
3. Rakyat minta kerajaan mewajibkan semua YB-YB terutamanya yang memegang jawatan di kerajaan negeri untuk mengisytihar harta masing-masing. Jangan hanya pandai berceramah menggunakan cerita Khalifah Umar Abdul Aziz dan minyak kereta kerajaan jika pengisytiharan harta pun tidak berlaku. 
4. Rakyat mahu tahu tentang kewajaran kerajaan negeri yang hanya memilih calon dari kalangan anak beranak dan suku sakat saja dalam menjawat setiap jawatan kosong yang diwujudkan. Kata rakyat, iklan jawatan kosong ada siap dengan jual borangnya sekali, tetapi akhirnya calon menunggu dari keluarga sendiri sudah ada. Jika begitu, apa gunanya iklankan jawatan kosong jika sudah ada calon?
5. Kerajaan negeri perlu tubuhkan Jawatankuasa Hibah bagi meningkatkan ketelusan dalam pentadbirannya seperti kerajaan Pulau Pinang yang ada CAT dan Selangor yang ada SELCAT.
6. Pentadbiran Tanah dan Jajahan perlu dipertingkatkan untuk melicinkan perkhidmatan kepada rakyat dan menambahkan hasil negeri. Pejabat Penggawa perlu diperkasa bukan ditutup. Pengurusan tunggakan hasil tanah perlu diserahkan kepada penggawa seperti masa Dato`Asri dulu. 
7. Pentadbiran tanah di peringkat mikro seperti pecah sempadan, pecah bahagian dan permohonan tanah baru diserahkan kepada Pejabat Penggawa. Satu badan pemantau perlu ditubuhkan kerana ada JET (Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah) yang opportunis. Contohnya, di mukim Meor Long Jeli, ada tanah lebih 100 ekar diluluskan kepada individu, sedangkan had sebenar yang boleh diluluskan adalah 50 ekar sahaja.

LAIN-LAIN

1. Bila YB Dato' MB (dan Exco) hendak bertemu mata dan adakan dialog bersama dengan anak-anak Kelantan di Lembah Kelang?
2. Tubuhkan sebuah entiti ilmuan seperti Majlis Profesor Negeri atau lain-lain demi memerah idea cendikiawan untuk membangunkan Kelantan. 
3. Lantik penasihat ekonomi kerajaan Kelantan.
4. Bagaimana hubungan-pusat negeri?
5. Apakah keajaan negeri mempunyai rancangan untuk memperkenalkan insurans perubatan kepada kakitangannya supaya mereka boleh ke klinik swasta untuk mendapatkan perawatan kerana mutu perkhidmatan dan masa menunggu di klinik dan hospital kerajaan adalah lama.
6. Sebelum pilihan raya, wisma Tok Guru dirasmikan di Kmpung Padang Pak Amat Pasir Puteh, namun sehingga kini hanya rumput yang makin panjang. Apa perancangan kerajan negeri untuk Wisma ini? Mengapa tidak digunakan Wisma ini?
7. Rakyat mahu kerajaan negeri tetapkan gaji minimum untuk mereka yang bekerja di kedai makan dan juga pasaraya. Ini kerana gaji di Kelantan sangat rendah berbanding dengan gaji di negeri lain, hatta lebih murah dari bandar Kuala Terengganu dan Kuantan.
8. Bagaimana dengan perkembangan projek stadium?

CADANGAN

1. Adakan makmal bagi setiap portfolio untuk merangka strategi membangunkan negeri. Jemput sama pegawai kerajaan berkaitan dan juga pemimpin UMNO untuk membincangkan hal ini.
2. Kerajaan negeri memperkasakan bahagian komunikasi korporatnya supaya aduan rakyat dapat dijawab dengan cepat oleh kerajaan negeri. Laman web juga perlu ditingkatkan untuk membolehkan kerajaan negeri berhubung dengan rakyat di alam maya. 

Selamat membaca. Sekian, terima kasih.

Kredit: Prof. Agus

No comments:

Post a Comment