Friday, 28 February 2014

Surat untuk Kerajaan Kelantan

Saya telah bertemu dengan MB dan TMB Kelantan pada 14 Oktober 2013 seperti yang dijanjikan. Pertemuan dengan TMB adalah secara empat mata dan dengan MB adalah enam mata.

Dalam pertemuan tersebut saya menyampaikan soalan-soalan yang saya kumpul dari rakan-rakan fb dan memohon kerajaan negeri supaya mengambil perhatian berat kepada semua perkara yang ditimbulkan oleh rakan-rakan. Alhamdulillah, kerajaan negeri berjanji akan melihat kesemua teguran dan cadangan yang kita berikan dan akan menyelesaikan kesemuanya secepat mungkin dengan syarat kita yang menuntut memahami satu perkara: kerajaan negeri mempunyai kekangan kewangan.

Saya telah nyatakan kepada kerajaan negeri, soal menambahbaik pentadbiran negeri tidak memerlukan kewangan dan soal menjaga kebersihan bandar juga tidak memerlukan peruntukan kewangan yang banyak. Kerajaan negeri memahami kehendak kita tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada kita semua atas desakan, teguran dan cadangan yang kita berikan.

Fokus pertemuan saya adalah kepada masalah air dan lebuh raya rakyat. Ini memang merupakan agenda utama saya. Saya berpuas hati dengan penjelasan kerajaan negeri mengenai pembinaan lebuh raya. Apa yang boleh saya katakan setakat ini ialah: (i) kerajaan telah mempunyai RM2.6 juta hasil kutipan dari orang ramai; (ii) kerajaan negeri akan membina laluan Machang-Kuala Krai dengan peruntukan RM669 juta; (iii) laluan Kota Bharu-Machang akan dibina oleh kerajaan pusat seperti pengumuman yang telah dibuat oleh kerajaan pusat dengan kerajaan negeri memudahkan urusan pengambilan tanah; (iv) kerajaan negeri mempunyai 3 pilihan untuk membiayai laluan Machang-Kuala Krai (pilihan tersebut logik pada saya dan saya simpan dahulu maklumatnya); (v) kerajaan negeri dalam perundingan terakhir dengan kontraktor untuk memulakan pembinaan dan sekiranya berjalan dengan baik, Insya' Allah, pembinaan akan dimulakan secepatnya pada (awal) tahun 2014.

Mengenai masalah air pula, saya tidak mendapat jawapan yang konkrit mengenainya, melainkan kerajaan negeri mempunyai masalah kewngan. Begitupun, kerajaan negeri memberi perhatian serius tentang masalah ini dan sekarang ini sedang berurusan dengan pihak pusat untuk menyerahkan air supaya diurus oleh SPAN.

Berkaitan dengan soalan yang saya berikan kepada kerajaan negeri, saya akan meletakkan soalan tersebut di wall saya kemudian.

Saya juga berjanji dengan kawan-kawan untuk menguruskan hal rakyat dengan kerajaan pusat selepas ini. Saya akan mengadakan pertemuan dengan Dato Seri Mustapha Mohamed dalam masa yang terdekat ini bagi menyampaikan perasaan dan permintaan rakyat Kelantan kepada kerajaan pusat. Saya akan tetap meminta kerjasama kawan-kawan untuk memberikan saya soalan dan permintaan yang perlu saya bawa apabila berjumpa dengan kerajaan pusat nanti. Mohon tunggu pengumuman yang saya akan buat.

Doakan yang terbaik untuk kebaikan rakyat dan negeri kita. Salam.


kredit: Prof. Agus

No comments:

Post a Comment