Sunday, 23 February 2014

Edisi Senyum: Alkisah seorang pakcik tua


Ah Seng lama tidak kembali ke kampungnya sepanjang tahun ini. Meneruskan tradisi keluarga, Ah Seng tetap pulang meraikan Tahun Baru Cina di kampung.

Setibanya di rumah, Ah Seng seperti biasa disambut dengan penuh kesayangan oleh keluarganya. Menjadi kewajiban untuk mereka yang bekerja untuk memberikan duit kepada ibu bapa dan saudara mara yang lebih tua sebagai tanda ketaatan.

Rumah kampung Ah Seng hanyalah rumah terus setingkat. Di belakang rumah, dapur menghadap dapur.

Setibanya di dapur, Ah Seng terlihat Pak Chong, jirannya sedang memasak untuk makan besar sekeluarga.

“Pak Chong, 'Gong Xi Fa Cai'” jerit Ah Seng pada Pak Chong.

Pak Chong melihat ke arah Ah Seng: “Oi, lama tak jumpa. Sihat?”

“Baik sahaja,” jawab Ah Seng.

“Ah Seng, tak perlu ucap untuk pakcik jadi kaya. (Gong Xi Fa Cai adalah ucapan untuk seseorang menjadi kaya) Kaya tak guna bila tua-tua ini. Yang penting semua keluarga selamat dan badan sihat,” jawab Pak Chong.

“Mengapa Pak Chong? Pak Chong tak sihat ke?” jawab Ah Seng.

“Ya. Mungkin kali ini ialah kali terakhir pakcik masak untuk keluarga. Tahun depan mungkin tak berpeluang lagi. Pakcik dapat kanser prostat tahap 3,” jawab Pak Chong.

“Maaf Pak Chong…” jawab Ah Seng.

“Ingatlah Ah Seng. Jagalah tubuh badanmu. Lakukan apa yang patut supaya badan kekal sihat. Jangan malas. Kalau kamu boleh rajin mencari duit, mengapa tidak rajin menjaga badan Tuhan bagi. Pakcik dulu hebat cari duit, sekarang ada duit pun tak leh repair badan yang pakcik hancurkan tanpa penjagaan.

Pakcik rela menukar semua duit pakcik sekarang untuk mendapat balik kesihatan dan masa yang hilang bersama keluarga dan cucu pakcik. Tapi sayang, pakcik dah tua baru faham perkara ini. Pakcik selama ini rasa duit adalah segala-galanya. Sebenarnya bukan duit. Manusia paling kaya ialah manusia yang sihat. Selagi dia sihat, selagi itulah dia boleh mencari duit,” jawab Pak Chong.

“Ah Seng, tolong sediakan meja makan,” jerit ayah Ah Seng dari dalam rumah.

“Cepat pergi. Bila tua, Ah Seng akan tahu, inilah perkara yang sebenarnya paling bernilai di dalam kehidupan,” jawab Pak Chong.

Wahai anakku,
Betulkah kamu sayang pada badanmu? Jika ya, mengapa kamu sanggup membiarkannya tidak bersukan untuk sekian lama? Jika ya, mengapa kamu sanggup menyuapkannya dengan makanan tidak sihat untuk sekian lama? Jika ya, mengapa kamu tiada disiplin untuk menjaganya sebagaimana kamu menjaga kereta kamu.

Jangan tunggu sampai hari badan kamu mengkhianati kamu, baru engkau insaf dan kesal kezaliman yang kamu lakukan pada badan kamu.

Senyum.

Dato' Tuan Ibrahim

No comments:

Post a Comment