Dahulu, mutu bolasepak negara kita tidaklah teruk. Pada tahun 1972, kita melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Munich setelah menewaskan negara-negara hebat Asia seperti Jepun dan Korea Selatan. Pemain-pemain kita ketika itu ialah seperti adik beradik Namat dan Shaharuddin Abdullah, Abdullah Nordin (ketua pasukan) Wong Fook Chuan, Zulkifli Norbit dan N. Thanabalan.
Pada tahun 1980, negara kita sekali lagi layak ke Sukan Olimpik Moscow, namun memboikotnya kerana menentang tindakan Kesatuan Soviet menceroboh Afghanistan. Antara pemain yang menjadi sanjungan peminat ketika itu ialah Mokhtar Dahari, V. Arumugam, Santok Singh, Serbegeh Singh dan Soh Chin Aun.
Namun, memasuki tahun 1990-an, mutu bola sepak kita merudum sekali. Faktornya banyak untuk dibincangkan bermula dari rasuah, perubahan format liga dan kepimpinan FAM. Akibatnya ranking Malaysia yang berada di tangga 75 pada Ogos 1993 (di atas Turki dan Afrika Selatan), kini berada di kedudukan 154 pada Januari 2014 mengikut senarai FIFA, hanya setanding dengan pasukan Bangladesh, Maldives dan Chad.
MINAT BOLA SEPAK MENINGKAT SEMULA
Setelah beberapa waktu bola sepak negara kita sepi, ia kembali mendapat perhatian peminat setelah negara kita menjadi juara Bola Sepak ASEAN yang dikenali sebagai Piala Suzuki pada tahun 2010. Kehebatan Malaysia menyerlah lagi apabila di Stadium Bong Karno, kita membaham Garuda dengan penalti 4-3 untuk menjadi juara Sukan Sea 2011.
Dalam perlawanan liga tempatan pula, bola sepak Malaysia juga mulai mendapat dokongan peminat apabila muncul pasukan Kelantan dan beberapa pasukan hebat dari negeri lain yang bertanding dalam Liga Super. Kesengitan ini bertambah lagi apabila pasukan Johor yang dikenali sebagai JDT membawa warna baru dalam bola negara dengan mengimport pemain-pemain mahal. Maka bergemalah kembali stadium dengan laungan dan sorokan penonton.
BOLA SEPAK MULA MENJADI GANAS
Namun, kemeriahan ini tidak lama. Pada 15 Januari 2013, pasukan JDT membawa askarnya sendiri ke stadium Kota Bharu untuk mengawal keselamatan pasukannya, suatu tindakan yang disifatkan oleh DS Ahmad Shabery Cheek, menteri sukan ketika itu sebagai bukan budaya sukan kita dan tidak sewajarnya berlaku.
Awal tahun 2014 pula, sudah berlaku dua kekecohan besar, semuanya melibatkan pasukan Johor. Pada 2 Februari, riuh satu negara pasal insiden dalam terowong yang melibatkan pasukan JDT dengan T-Team sehingga pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan atas alasan keselamatan. Pada 7 Februari, berlaku pula kekecohan di Stadium Darul Makmur yang juga melibatkan pasukan JDT.
Jelasnya, sudah wujud budaya samseng dan ganas dalam bola sepak kita.
FAM PERLU TEGAS
Pertanyaannya, mengapa bola sepak yang sepatutnya menjadi sukan yang dapat menghiburkan anak muda dan menyatukan rakyat sudah bertukar menjadi satu pemainan ganas yang melibatkan pergaduhan? Di manakah semangat kesukanan kita? Siapakah yang membawa budaya ini?
Football Association Malaysia (FAM) credits to: Pemilik Gambar |
Bagi mengekalkan minat rakyat kepada sukan bola sepak kita, adalah penting bagi FAM mengambil tindakan yang tegas untuk memastikan kejadian yang sama tidak lagi berulang dalam sukan bola sepak kita. FAM perlu menghukum sesiapa sahaja pemimpin tertinggi, pengurus atau pemain bola sepak yang terlibat dalam kejadian yang mencemarkan maruah bola sepak negara.
Jangan hanya nila setitik rosak susu sebelanga.
credits to: Prof. Mohammad Agus Yusoff
AYUH SEMARAKKAN LIGA KITA!!!
"Jika bukan kita, siapa lagi?,
Jika tidak sekarang, bila lagi?"
No comments:
Post a Comment