Tuesday, 18 February 2014

Muhasabah Maghrib: Kisah A,B dan C


Ada satu cerita yang diceritakan kepada saya, masih saya ingat hingga ke hari ini.

Ada tiga orang kawan, A, B dan C. A & B orang Islam, manakala C bukan.

Satu hari C cuba menyusupkan ideologinya bahawa Islam pun menyembah berhala. Maka dia berkata:

"A, B, korang tahu tak, masa korang punya Nabi Muhammad tu runtuhkan semua berhala di Kaabah, dia ada tinggalkan satu untuk terus disembah korang hingga ke hari ini?"

A yang punya pengetahuan agama mendalam diam sahaja. Memberikan peluang C untuk mengemukakan hujah. B yang tak ada pengetahuan agama yang baik, mula teruja.

"Iya ke? Apa berhalanya?" B tanya.

C jawab: "Itulah dia Hajarul Aswad."

A nak tergelak tetapi B sudah mematikan gelaknya dengan berkata: "Ha'ah kan, tak terfikir pula aku selama ini."

Respon B terus menyebabkan A menepuk tubuhnya. "Weh, apa la kau ni. Hajarul Aswad berhala apanya. Kita bukan sembah Hajarul Aswad. Hajarul Aswad pernah dicuri dan kita masih solat menghadap Kaabah juga sebagai simbolik kesatuan aqidah & matlamat ummat Islam yang berimankan Allah Yang Esa. Kalau Kaabah runtuh pun, kita masih solat. Bukti, Allah pernah suruh tukar kiblat kita menghadap Baitul Maqdis. Tu tanda-tanda kita bukan sembah Kaabah atau Hajarul Aswad."

B mula perasan. C tersengih sahaja kerana hujahnya terbatal.

Adakah kita ini, dalam dunia penuh rencam seperti hari ini, menjadi orang seperti A, atau seperti B?

Lebih buruk, apakah kita ada sikap seperti C?

Muhasabah.



No comments:

Post a Comment