Saturday, 15 February 2014

Politikus dan Pejuang Islam




1. Sang politikus atau pemain politik mempunyai padang dan pentasnya yang tersendiri. Gerak tari politiknya licik dan seni bicaranya menawan. Kadangkala memukau dan mampu menawan minda awam. 



2. Fokus dan capaian mereka ialah cita - cita politik. Mereka sanggup merempuh sempadan hukum dan tembok syariat demi menggapai objektif dan matlamat politik mereka. 

3. Mereka juga tergamak melacurkan prinsip perjuangan, asal sahaja mereka bebas melunas kemahuan dan melampias keinginan. Politik mereka tiada sempadan dan pedoman syara'. Sandaran mereka ialah Machiavelli, kiblat mereka ialah kepuasan dan prinsip mereka ialah matlamat menghalalkan cara.

4. Firman Allah swt :

Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih, dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?

Sural Al Munaafiqun : 4

5. Sangat ketara perbezaan bagi seorang Pejuang Islam. Matlamat mereka adalah mencari "wajah" ( keredhaan ) Allah swt. Lapangan dan pentas mereka tersangat luas sementara aksi politik adalah sebahagian daripada kewajipan yang mesti ditunai dengan penuh kebijaksanaan. 

6. Politik mereka dihiasi akhlak dan komitmen yang tinggi terhadap sumber syara' iaitu Al Quran dan As Sunnah. Politik menjadi wadah dan wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt serta menjadi alat untuk mendaulatkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah swt.

7. Firman Allah swt :


Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menguatkuasakan al Ma'aruf ( Asy Syariah ) serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Surah Al Hajj : 41

8. Kesimpulannya, Pejuang Islam juga adalah seorang ahli politik sementara Politikus tidak semestinya seorang Pejuang Islam. Politikus hanya merencana strategi mereka untuk berkuasa dan berpengaruh di dunia ini, lalu dosa pahala tiada dalam kamus politik mereka sementara Pejuang Islam mengatur langkah menguasai dunia untuk kejayaan dan kemenangan di akhirat. 

9. Al Quran dan As Sunnah menjadi jarum kompas yang memandu arah politik seorang Pejuang Islam. 

10. Cara apa pun mesti dilakukan asal matlamat politik dapat diraih oleh Sang Politikus, sementara Pejuang Islam pula sanggup mati kerana taat kepada kehendak Allah swt berbanding hidup mendurhakaiNya sebagai azimah perjuangan. Demikian sabda Rasulullah saw :

موتٌ في طاعةِ الله خيرٌ من حياةٍ في معصيةِ الله

(Riwayat At Tabarani fil Mu'jaamil Kabir)

Nasrudin bin Hassan
AJK Dewan Ulamak PAS Malaysia
Ahli Parlimen Temerloh

No comments:

Post a Comment