Sunday, 16 February 2014

Politik Thailand: Pengajaran Buat Kita


KRISIS POLITIK THAILAND: APA PENGAJARAN UNTUK MALAYSIA?


Thailand adalah sebuah negara yang paling kerap bertukar kuasa antara orang awam dan tentera. Dari 1932 hingga 2006, telah berlaku sebanyak 17 kali rampasan kuasa—10 kali berjaya dan 7 kali gagal. 

Rampasan kuasa pertama dilakukan pada tahun 1932 oleh sekumpulan anak muda lulusan luar negara sehingga memaksakan Raja Prajadhipok ketika itu mengubah Thailand daripada sebuah negara monarki mutlak kepada negara raja berperlembagaan.

Rampasan kuasa terakhir pula adalah pada 19 September 2006 apabila pihak tentera yang diketuai Jeneral Sonthi Boonyaratglin mengambil alih kuasa dan menyingkirkan PM Thaksin Shinawatra yang ketika itu berada di New York menghadiri persidangan PBB.

Sejak rampasan kuasa terakhir tersebut, Thailand tidak pernah aman. PM bertukar tangan, tetapi keamanan tidak juga tercapai. Semuanya kerana satu sebab—pengaruh bekas PM Thaksin yang berada dalam buangan. Thaksin Shinawatra dicintai oleh jutaan rakyatnya yang miskin kerana dasarnya yang prorakyat, akan tetapi tidak mendapat dukungan dari pegawai kerajaan, tentera dan golongan kelas menengah. Mengapa begitu? Ini kerana Thaksiin menggunakan wang rasuah untuk merasuah rakyat miskin supaya menyokongnya.

Setelah enam tahun dalam buangan, adiknya Yingluck Shinawatra menjadi PM wanita Thailand yang pertama setelah menang besar dalam pilihan raya pada 3 Julai 2011 mengalahkan Abhisit Vejjajiva. Pun begitu, politik Thailand terus bergolak. Krisis terakhir ialah pada November 2013 apabila Yingluck cuba meluluskan Undang-Undang Pemberian Amnesti untuk membolehkan abangnya pulang ke tanah air setelah hidup di luar negara kerana tuduhan rasuah yang dihadapinya.

Tindakan Yingluck ini mendapat bantahan keras pembangkang yang diketuai oleh bekas ahli Parlimen Demokrat, Suthep Thaugsuban. Suthep menuduh Yingluck menjadi boneka abangnya, Thaksin. Tindakan Yingluck yang tidak menghiraukan bantahan Suthep ini menyebabkan beliau dan kumpulan baju kuningnya mengadakan demonstrasi jalanan sehingga mencetuskan krisis yang besar di Thailand.

Kesan Krisis kepada Thailand


Krisis ini telah memberi kesan besar kepada Thailand. Pertama, krisis ini telah menyebabkan ekonomi Thailand merosot. Pelabur tidak datang lagi kerana bimbang berlakunya rampasan kuasa tentera. Akibatnya, pertumbuhan ekonomi Thailand menjunam dari 6.5% pada tahun 2012 menjadi hanya 2.7% pada suku ketiga 2013.

Kedua, sektor pelancongan yang menyumbang 7% kepada pendapatan negara telah merosot kerana pelancong asing tidak lagi datang ke Thailand kerana bimbang ancaman terhadap keselamatan mereka, apatah lagi peringatan telah diberikan oleh kedutaan mereka supaya menangguhkan dahulu perjalanan ke Thailand.

Ketiga, ketidakstabilan politik ini meredam belanja pengguna domestik serta rancangan pelaburan oleh syarikat-syarikat asing. Banyak syarikat multinasional yang menangguhkan pelaburan mereka di Thailand. Akibatnya ramai rakyat Thailand kehilangan peluang pekerjaan.

Keempat, krisis ini memberi kesan kepada kestabilan politik Thailand. Kerajaan gagal berfungsi dengan baik dan jika hal ini berterusan, maka Thailand sekali lagi terdeddah kepada rampasan kuasa tentera.

Bagaimana Menyelesaikan Krisis Politik Thailand?


Justeru krisis ini memberi kesan kepada ekonomi dan politik Thailand, maka ia perlu segera diselesaikan. Pertama, dua pihak yang bertelagah ini—kumpulan baju kuning dan baju merah—perlulah bersedia untuk berdialog dan berbincang. Jika gagal untuk bertolak ansur, maka perlulah ada orang tengah yang dapat menganjurkan perbincangan di antara kedua-dua pihak ini.

Kedua, isu Thaksin tidak boleh dibiarkan berlarutan. Sekiranya Thaksin masih dibiarkan bebas di luar negara tanpa pulang menghadapi undang-undang negara, maka selagi itulah rakyat Thailand akan terus berpaksi kepada dua kumpulan—baju kuning yang penyokongnya ramai di Bangkok dan bahagian selatan Thailand—dan baju merah yang penyokongnya juga ramai di Bangkok dan utara Thailand.

Yang pastinya, jika krisis ini tidak dapat diselesaikan, ia bakal menyaksikan lebih banyak keganasan serta pertumpahan darah. Kematian 90 orang penyokong baju merah dalam demonstrasi pada tahun 2010 hendaklah dielakkan dari berlaku lagi.

Dari kisah di atas, apakah pengajaran untuk kita? Tafsirlah!



Kredit: Prof. Agus

No comments:

Post a Comment