Ah Heng dan sahabat karibnya Zulkifli memasuki satu kedai kopi di kawasan pedalaman.
“Saya nak order 2 cawan kopi, dan satu cawan kopi di dinding.”
Ah Heng dan Zulkifli melihat seorang pelanggan di meja sebelah membuat order.
“Cawan kopi di dinding apa itu?” tanya Ah Heng pada Zulkifli.
“Tak tahu. Kita order satu tengok,” jawab Zulkifli.
Ah Heng dan Zulkifli membuat pesanan yang sama.
Dua cawan kopi dihantar ke meja dan sekeping kertas kecil tertulis “Kopi dinding X 1. Jazakallah” dilekatkan di satu ruang di dinding kedai kopi.
Di atas ruang itu tertera: “Kopi dinding untuk hamba Allah yang memerlukannya.”
Ketika membayar, Ah Heng dan Zulkifli membayar untuk tiga cawan kopi, dua yang diminum dan satu di atas dinding.
Mereka tidak menyoal lalu meninggalkan kedai tersebut.
Setelah beberapa bulan, Ah Heng dan Zulkifli kembali ke kedai kopi itu.
Mereka membuat pesanan yang sama.
Ketika menikmati kopi, datang seorang ibu yang serba daif bersama anaknya seorang.
Ibu itu terus pergi ke “Kopi dinding untuk hamba Allah yang memerlukannya” dan mengambil dua keping kertas yang terlekat di sana dan membuat order menggunakan dua kertas kpi
Dua cawan kopi di hantar ke meja ibu tersebut beserta roti bakar. Selepas makan, ibu dan anaknya beredar tanpa membuat sebarang bayaran.
Zulkifli yang berasa hairan terus bertanya kepada pekerja di situ, konsep di belakang kopi dinding.
“Ini idea ustaz Ibrahim (pemilik kedai). Dinding itu bagi mereka yang dalam kesusahan untuk datang minum di kedai kopi ini. Bagi setiap cawan dinding, ustaz berkata kata kedai pula akan menyumbang roti bakar. Jadi sesiapa pun mempunyai rezeki untuk menikmati kopi di kedai ustaz ini,” terang pekerja itu.
“Tak takut ke orang salahguna?” tanya Ah Heng.
“Itu terpulanglah pada niat masing-masing. Alhamdulilah, kertas di dinding tidak pernah kehausan sehingga kini. Orang menderma dengan ikhlas. Dan orang yang mengambilnya pula, hanya akan mengambil apabila terpaksa. Di kampung ini, mereka lebih suka menjadi manusia yang menambahkan kopi dinding daripada mereka yang mengurangkannya,” jelas pekerja itu tadi.
“Kamu dah bekerja lama di sini?” tanya Zulkifli.
“Semenjak arwah meninggal. Saya balik dari luar negara untuk meneruskan semangat ayahanda,” jawab pekerja itu sambil tersenyum.
Ah Heng dan Zulkifli bergenang air mata mengetahui penghormatan yang diberikan oleh ustaz Ibrahim kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Wahai anakku,
Lihatlah pada penghormatan yang diberikan oleh kedai kopi (walaupun ianya hanya sebuah cerita) di atas pada golongan yang amat memerlukannya.
Mereka yang memerlukan tidak perlu merendahkan diri untuk memasuki kedai kopi tersebut. Mereka tidak perlu meminta sedekah untuk secawan kopi. Mereka hanya perlu memandang dinding, dan membuat order, menikmatinya tanpa rasa malu.
Itulah semangat amal yang wajib dipraktikkan. Orang yang menderma tidak pentingkan nama, yang orang yang menerima tidak disusahkan, digunakan untuk mendapat nama dan penghargaan bagi penderma. Dan perkara amal diperluaskan sehingga ‘menjangkit’ masyarakat sekitar.
Senyum.
Dato' Tuan Ibrahim
No comments:
Post a Comment