Digitalisasi Buku Teks: Langkah baik tapi bukan keutamaan.
1. Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak Kerajaan dan Kementerian Pendidikan atas kejayaan melancarkan buku teks digital yang boleh diakses secara atas talian. Fasa I pengenalan buku teks digital ini yang masih mengekalkan buku teks bercetak adalah boleh dianggap sebagai langkah terkehadapan dan diharapkan dapat membantu meningkatan prestasi pendidikan negara.
2. Namun demikian, saya merasa sangat bimbang dengan nasib masa depan projek digitalisasi buku teks ini akibat sikap Kerajaan yang sering ‘flip-flop’ dalam meluluskan dan melaksanakan dasar-dasar yang diperkenalkan. Sikap tidak cermat dan terburu-buru Kerajaan memperkenalkan dasar-dasar itu juga mengakibatkan dasar-dasar itu tidak mencapai matlamat sasarannya serta melibatkan tanggungan kos kerugian yang besar oleh Kerajaan.
3. Sebagai contoh, PPSMI yang diperkenalkan dan dilaksanakan, akhirnya terpaksa dimansuhkan setelah mendapat maklum balas negatif dan bantahan terhadapnya oleh pelbagai pihak. Terbaru ialah berkenaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sudah diperkenalkan lebih setahun dikesan bermasalah pada sistem perkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS itu sendiri.
4. Arahan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan semalam supaya PBS dikaji semula memperlihatkan dan membuktikan sikap tidak cermat dan berhati-hati Kerajaan dalam mengurus polisi dan dasar pendidikan negara sehingga pendidikan negara diiktiraf oleh intitusi antarabangsa sebagai berprestasi rendah dan tidak berkualiti.
5. Oleh demikian, saya mendesak dan menasihatkan Kerajaan agar memberi tumpuan dan keutamaan untuk menyelesaikan terlebih dahulu masalah-masalah sedia ada khususnya yang berkaitan dengan PBS. Para guru dan pelajar sangat terkesan dan terbeban dengan pelaksanaannya yang tidak teliti oleh Kerajaan.
Nasrudin bin Hassan
AJK PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
p/s: Adakah nasib buku teks digital ini sama seperti sistem PBS? Keberkesanan dan sejauh mana ianya relevan haruslah diambil kira terlebih dahulu.
"Membantah bukan tanda benci, Marah itu Tanda Sayang"
No comments:
Post a Comment