1. Puan Guru Ainon Mohd bukan setakat mengajar supaya "usah melayan ajakan bertumbuk" tetapi beliau juga mengajar supaya duduk dan angguk angguk sahaja. Diam itu bererti emas.
2. Beliau berpesan supaya BUANG EGO, BUAT DUIT. Leburkan ego budak pandai dari dunia korporat. Tiada makna pandai bercakap apabila hidup kita kekal merempat. saya tekun mencatat, "Orang yang pandai bercakap tanpa melakukan, persis kebun bunga yang penuh rumput"
3. Apabila beliau memberikan tip ini yang khusus ditulis untuk bacaan 'budak pandai' tatkala mereka sedang bersiap sedia mahu membuka bisnes sendiri, saya merasa sungguh senang hati dan suka cita diri. Saya teringat pesan Iman as Syafii, "Memilih kata kata yang baik dan pantas adalah termasuk budi pekerti mulia"
4. Dalam dunia bisnes, kita akan terpaksa berurusan dengan banyak orang-orang yang pandai-pandai macam kita juga. Orang-orang pandai itu berada di tempat-tempat yang penting. Mereka duduk di kerusi-kerusi penting dalam jabatan, agensi dan GLC.
5. Tangan orang-orang pandai memegang banyak kuasa. Tanda tangan mereka sangat kita perlukan. Mereka adalah orang-orang penting. Mereka dapat memberikan banyak peluang bisnes kepada kita.
6. Sebagai orang pandai, kata Puan Guru, kita perlu mempelajari skill-skill menjalin hubungan baik dan bekerjasama dengan 'orang-orang pandai' lain.
7. Hakikat Nyata, orang-orang pandai sangat konfiden bahawa mereka adalah orang pandai.
Jadi, apabila bersama dengan orang-orang pandai, kita jangan 'tunjuk pandai'. Dengan cara itu, mereka akan suka berurusan dengan kita. Dalam kata lain belajar buat bodoh dan selalu angguk dan setuju sahaja.
8. Orang pandai sangat suka mendengar pendapat mereka sendiri.
Jadi, apabila orang pandai bercakap, kita diam sahaja. Biar orang pandai itu yang banyak bercakap. Biarkan dia berasa puas hati mendengar suaranya sendiri. Sekali lagi diam dan senyum. Tumpu perhatian. Tekuni apa yang dia kata.
9. Puan Guru melanjut kata, meneruskan bicara. Apabila orang pandai sudah puas hati dengan biji butir percakapannya, barulah nanti dia suka bercakap-cakap dengan kita. Puji percakapan dia. Kata yang lemah lembut dari kita adalah anak kunci membuka hati manusia, membuka hati orang pandai.
10. Seperkara lagi kata Puan Guru Ainon Mohd, orang pandai pantang dibuktikan pendapat mereka salah. Pada saat Puan Guru berkata begitu saya ternganga mengenangkan banyaknya silap saya pada masa silam. Saya gemar menegakkan benang basah. Sebab pulut santan binasa, sebab mulut (kata) badan binasa.
11. Jadi, meskipun sah-sah pendapat orang pandai itu salah, kita diam sahaja. Biarkan orang lain yang membuktikan dia salah. Tambah Puan Guru lagi, dengan membuktikan kayu orang lain bengkok tidak bermakna kayu kita lurus.
12. Apa yang utama kata Puan Guru Ainon Mohd., Kita fokus pada menjaga hubungan baik. Saya tekun mencatat, "Percakapan itu seperti ubat. Apabila sedikit bercakap memberi manfaat. Apabila banyak bercakap nescaya dia jadi peluru pembunuh".
13. Dengan sikap kita yang banyak berdiam apabila orang pandai bercakap, insyaAllah orang-orang pandai itu akan terus suka bercakap-cakap dengan kita. Apabila mereka gemar bercakap dengan kita maka makin banyak lah peluang terhampar depan kita.
via Dato' Roslan Abd Hamid
No comments:
Post a Comment