Friday, 4 April 2014

ILMU BISNES DARI PERGURUAN AINON MOHD. 5.0



1. Saya masih mengantuk, namun kelas tetap kelas. Tiada istilah ponteng. Puan Guru Ainon Mohd memulakan sesi pagi dengan menulis:

Pandai berbisnes....
Tetapi tidak pandai menjual....

2. Beliau kemudiannya menghadap kami dan berkata, jelas dan terang, sebiji sebiji keluar dari mulut beliau bagikan letupan peluru:


Bakat bisnes tidak sama dengan bakat menjual.

3. Majoriti mereka yang memiliki bakat bisnes tinggi tidak mempunyai bakat menjual. Meskipun mereka tidak pernah menjual apa-apa, namun syarikat yang mereka uruskan berjaya menghasilkan jualan berpuluh, malah beratus ribu ringgit setiap bulan. Ada sampai berjuta juta.

4. Saya mencatat cepat. Puan Guru meneruskan kuliahnya,

Sekali sekala ada individu yang memiliki kedua-dua bakat itu, yakni dia pandai menjalankan bisnes dan juga pandai menjual. Sebagai contoh, ada banyak salesman yang membuka syarikat sendiri dan berjaya.

5. Namun penting untuk kita kenalpasti, bakat mana yang lebih dominan. Apakah bakat bisnesnya yang lebih dominan, ataupun bakat menjualnya?

6. Salah satu risiko apabila kita memiliki kedua-dua bakat bisnes dan bakat menjual adalah kita mula hilang fokus. Kita sibuk dengan kerja-kerja menjual. Lalu kita kurangkan masa menjalankan kerja-kerja bisnes yang hakiki.

7. Saya berfikir sambil mencatat ilmu bisnes ini. Benar banyak saya tekuni, kerja-kerja menjual menghasilkan duit-cepat. Inilah yang mudah mendorong kita menyibukkan diri dengan kerja-kerja menjual.Kita terlupa kita sedang menguruskan bisnes.

Mentor saya dahulu, Datuk Hassan Harun selalu berkata, kemaskan benteng pertahanan, supaya pertahanan tidak bolos. Asyiknya menyerang menghasilkan gol, namun apabila gol selalu bolos tiada maknanya juga. Ia memenatkan dan kita bakal berdepan kesan jenuh.

8. Puan Guru memberi jawapan segera, di situ kita menjual, di situ kita nampak duit masuk. Ia sangat seksi!

Lalu kita semakin seronok menjual. Kitalah pemilik syarikat, kitalah ketua salesman syarikat.

9. Kita mula masuk dalam perangkap "Berapa sales hari ini?" Pertanyaan hari hari ini sungguh merbahaya. Kita bukan peruncit dan penjaja jalanan. Kita adalah usahawan.

10. Benar, sambung Puan Guru Ainon Mohd., kerja-kerja bisnes lambat menghasilkan duit, lalu kita kurang menumpukan masa dan otak kepada kerja-kerja bisnes yang hakiki.

11. Puan Guru seperti biasa, sesuatu yang menjadikan saya sentiasa kagum, mengeluarkan kata kata mempesonakan di akhir kelas:

Apabila orang bisnes sibuk dengan kerja-kerja menjual, hasilnya jualannya laris tetapi dia tidak dapat memimpin tim-nya mengembangkan sayap bisnesnya.

Dia umpama tukang gali telaga yang berjaya menggali telaga lamanya semakin lebih dalam, dan lebih dalam.

Dia tidak menggali lebih banyak telaga-telaga baru.

12. WOW. Inilah detik detik wow antara saya dengan Puan Guru Ainon Mohd. Detik yang melekat dalam jiwa. Saya mentup buku nota dan membuat catatan hujung:

Si miskin yang berkebolehan yang diajar supaya pintar peluang, yang tidak mengeluh dengan kesusahan, InsyaAllah tidak menghadapi kesulitan untuk meninggalkan masa sukar dalam kehidupan untuk berjaya pada masa depan.

13. Saya menuruni tangga kelas ke Masjid untuk solat Zohor dengan rasa syukur dianugerahi pertemuan indah indah ini. Sedikit yang diberikan, namun nikmat kata kata Puan Guru membekas jelas menumbuh tanaman kesedaran mahu berkongsi dengan orang lain pula.

Saya mahu berikhtikaf di Masjid. Bapa Datuk A. Samad Said selalu berpesan. Duduk sendirian di Masjid umpama menyiram segar idea baik untuk kita kongsikan kepada khalayak.


via Dato Roslan Abd Hamid

No comments:

Post a Comment